OLEH: Muhammad Azzudin
Firman Allah: “Bulan Ramadan diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi petunjuk dan menjelaskan antara yang benar dan salah.” (Al-Baqarah:185)
Firman Allah: “Berikanlah peringatan, sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada mereka yang beriman.” (Az-Zariyat:55)
PERBANYAKKAN BACA AL-QURAN KERANA RASULULLAH 2 KALI KHATAM BERSAMA JIBRAIL AS PADA BULAN RAMADAN
Sunnah Nabi ﷺ menunjukkan baginda bertadarus dengan menyemak bacaan dengan Jibril as. Pada tahun Rasulullah wafat, baginda membaca sebanyak 2 kali khatam dengan Jibril as. Bulan Ramadan diturunkan Quran, kita perlu memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Sebaik-baiknya kita dapat khatamkan Al-Quran bulan ni, kalau tidak dapat setengah Al-Quran atau cubalah baca sebanyak mana pun. Yang penting jangan tidak dibaca langsung.
2 ASPEK DALAM BACAAN AL-QURAN IAITU MEMBACA TEKS ARAB DAN MEMBACA TERJEMAHANNYA. SETIAP HURUF BACAAN MENDAPAT 10 KEBAIKAN, MANAKALA MEMAHAMINYA MEMBAWA RASA KHUSYUK DAN KEINSAFAN
1. Membaca teks Arab
Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesiapa membaca 1 huruf dari kitab Allah, dia akan mendapat 1 kebaikan (pahala). Satu kebaikan itu berganda menjadi 10 sepertinya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (HR Tirmizi)
2. Membaca terjemahan Al-Quran
Sebagaimana kita membaca teks Al-Quran dalam Bahasa Arab, kita sewajarnya mengkhatam terjemahan Al-Quran kerana kitab ini diturunkan untuk kita faham dan daripada kefahaman itu akan melahirkan khusyuk dan keinsafan dalam hati sebagai seorang yang beriman. Ini sesuai dengan sebuah hadis dari Imam Bukhari.
AIR MATA RASULULLAH BERLINANGAN APABILA DIBACAKAN AL-QURAN KEPADA BAGINDA
Sabda Rasulullah ﷺ: “Bacalah Al-Quran untuk ku”
Kata Ibnu Mas’ud: “Aku berkata; ‘Aku baca untukmu, sedangkan ia diturunkan untukmu?”
Sabda Nabi Rasulullah: “Sesungguhnya aku ingin mendengar daripada orang lain.”
Ibn Mas’ud pun membaca surah An-Nisa’ hingga kepada ayat “Maka bagaimanakah jika kami bawakan kepada umat itu setiap saksi, maka Kami bawakan engkau Muhammad sebagai saksi keatas mereka.”
Sabda baginda: “Berhentilah wahai Ibn Mas’ud”.
Lalu Ibn Mas’ud melihat mata Rasulullah ﷺ berlinangan air mata.”
(HR Bukhari)
RASULULLAH BUKAN SAHAJA MENYAMPAIKAN TEKS ARAB, TETAPI BAGINDA MEMAHAMI DAN MENGHAYATINYA – JADI BAGAIMANA JIKA KITA TIDAK FAHAM LAFAZ AL-QURAN?
Kita lihat Rasulullah bukan sahaja menyampaikan teks atau lafaz Al-Quran, namun Rasulullah memahami dan menghayati apa yang dibaca sendiri atau dibaca oleh sahabatnya. Ia sebagai satu peringatan sampai di tahap mana kita boleh memahami, menghayati dan merasa insaf apa mendengar bacaan Al-Quran. Persoalan yang timbul adalah bagaimana sekiranya kita tidak dapat memahami lafaz-lafaz yang dibaca?
TIDAK MUNGKIN RASULULLAH MENGALIR AIR MATA TANPA MEMAHAMI MAKSUD AL-QURAN
Kalau kita sekadar membaca tanpa memahami maksudnya, tidak mungkin berlaku kepada kita apa yang berlaku kepada Rasulullah ﷺ iaitu ‘penghayatan dan keinsafan’. Rasulullah membayangkan Allah mendatangkan setiap umat itu seorang saksi, dan Allah mendatangkan Rasulullah ﷺ sebagai saksi ke atas umat Islam.
PENTINGNYA MENGANGKAT DIRI KITA SUPAYA MEMAHAMI BACAAN AL-QURAN DAN BUKAN SEKADAR MEMBACA TEKS ARAB
Ini menunjukkan ia perkara penting untuk kita berada di ‘suatu peringkat’ semasa membaca Quran. Kita tidak boleh lagi berada di takuk yang lama iaitu membaca Quran tanpa memahaminya. Kita perlu mengorak langkah supaya kita sampai ke peringkat lebih tinggi dan lebih utama iaitu memahami apa yang kita baca.
KAEDAH MEMAHAMI QURAN IALAH MEMBACA TEKS ARAB BERSERTA TERJEMAHAN DAN MENAMBAH PERBENDAHARAAN KATA ARAB (VOCAB)
Ada banyak cara kita boleh memahami Quran seperti:Membaca teks Quran dan terjemahan di sebelahnya
Menambah perbendaharaan kata (vocab)
Kita menambah perbendaharaan kata sedikit demi sedikit setiap hari. Contohnya, Bismillahirrahmanirrahim dengan Bi – Dengan, Ismi – Nama, Allah – Allah, Ar-rahman- Pemurah dan seterusnya. Saya rasa Al-Fatihah pun kita tidak ada masalah dalam terjemahannya.
MEMAHAMI QURAN DENGAN ‘KONSEP MAKNA HARFIAH’ IAITU FAHAM PERKATAAN DEMI PERKATAAN AL-QURAN
Seterusnya kita pergi terjemahan surah Al-Baqarah. Alif, Lam, Miim. Zalikallkitabula raibafi iaitu zalika – itu, Al-Kitab – Kitab, Raiba – keraguan, Hi – nya … dan seterusnya. Yang sudah tahu kita teruskan sahaja. Tapi perkataan tidak tahu kita terus tambah vocabnya. Ini supaya apabila imam baca kita tahu maksudnya. Begitulah kita buat setiap hari iaitu kita hafal perkataan demi perkataan secara konsisten yang masih belum hafal. Kaedah ini khususnya di Malaysia dinamakan ‘konsep tafsir harfiah’.
TIDAK DIBENARKAN TAFSIR AL-QURAN MENGGUNAKAN KAEDAH HARFIAH IAITU DENGAN CUKUP HARFIAH SAHAJA, SEBALIKNYA PERLU MEMAHAMI TAFSIR MAKNAWIYAH (BUKU TAFSIR)
Syaikh Ibn Uthaymin mengatakan tafsir harfiah tidak dibenarkan kalau kita hanya berpada (cukup) dengan tafsir harfiah itu sahaja. Tafsir Harfiah bermaksud tafsir secara huruf. Itu tidak boleh. Apa yang perlu, kita perlu pergi ke langkah seterusnya untuk mentafsirkan Al-Quran dengan tafsir maknawiyah. Apa yang kita perlu buat kena faham setiap huruf sebagaimana orang Arab faham, selepas itu kalau nak tafsir Al-Quran kena tafsir secara maknawiyah (secara maksud).
MEMAHAMI AL-QURAN DENGAN KONSEP HARFIAH HANYA UNTUK MENAMBAH VOCAB BAHASA ARAB
Tafsir Al-Quran perlu merujuk kepada kitab-kitab tafsir dan sebagainya. Namun, kita tekankan bukan tafsirkan Quran dengan Harfiyah, tetapi kita hendak memahami Al-Quran dengan konsep Al-Harfiyah. Apa yang kita dapat selepas kita hafal setiap patah perkataan ialah lama-lama kita banyak vocab. Kalau sehari kita hafal 1 patah perkataan, sebulan kita hafal 30 perkataan. Hafalan bukan kita ambil kitab mufradul Quran dan kita hafal, tetapi kita baca Quran dan tengok perkataan belum hafal, maka itu yang dihafal.CONTOH BACAAN MENGGUNAKAN KONSEP HARFIAH
ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ
(Al-Baqarah:2)
ذَلِكَ – Itu
الْكِتَابُ – Kitab
لَا – Tidak
رَيْبَ – Ragu
فِيهِ – Dalam , nya(ه ِnya)
هُدًى – Hidayah (petunjuk)
لِلْمُتَّقِينَ – Bagi (لِ), orang bertaqwa (مُتَّقِينَ)
HAFALAN VOCAB SEDIKIT DEMI SEDIKIT MELALUI KAEDAH HARFIAH BOLEH MEMANTAPKAN PENGUASAAN BAHASA ARAB
Kalau tidak ingat satu-satu perkataan kita ulang 10 kali, 20 kali atau 40 kali. Boleh ikut mana-mana kaedah hafal mengikut kemampuan kita, barulah perkataan itu lekat dalam kepala. Beberapa perkataan yang kita tak faham boleh dihafal untuk hari ini, esok kita akan sentiasa tambah walaupun sikit. Yang penting jangan berhenti kerana ia akan menyebabkan kita kembali kepada level bawah semula. Perlu berterusan kerana hidup perlu terus tambah baik dan tidak boleh berada di takuk lama. Lakukan secara konsisten.
BERJANJILAH KEPADA DIRI SENDIRI UNTUK MEMBACA QURAN SETIAP HARI KERANA AMARAN RASULULLAH ﷺ BAHAWA ‘UMAT ISLAM AKAN MENINGGALKAN AL-QURAN’
Setiap seorang perlu berjanji pada dirinya bahawa dia janji dengan Allah dengan menghabiskan 1 muka surat sehari. Tidak perlu lapor kepada Ustaz Idris atau saya. Buat sendiri. Al-Quran ini telah disebut sebagai sesuatu yang dibiarkan oleh umat Islam.Firman Allah: “Berkatalah Rasul: wahai Rabbku sungguh kaumku telah menjadikan Al-Quran ini “mahjura” (sesuatu yang ditinggalkan)”. (Al-Furqan:30)
MUZIK WAJIB DITINGGALKAN KERANA IA MEROSAKKAN BACAAN DAN HAFALAN AL-QURAN
Kita tidak mahu ia berlaku kepada diri kita. Apabila kita hendak membaca Al-Quran, salah satu cara ialah kena kurangkan perkara yang boleh merosakkan bacaan dan hafalan. Antara yang merosakkan bacaan Quran ialah Muzik. Muzik hendaklah ditinggalkan.
MUZIK BUKAN ALAT UNTUK HIBURAN KEPADA MANUSIA, SEBALIKNYA AL-QURAN ADALAH SEBENAR-BENAR HIBURAN
Bagi sesetengah orang susah nak tinggalkan muzik. Mahu atau tidak muzik hendaklah ditinggalkan. Tidak boleh menjadikan muzik untuk keriangan (hiburan) untuk kita. Keriangan untuk kita ialah Al-Quran nul kareem. Apa untuk alternatif untuk muzik? Jawapannya ialah Al-Quran. Kita mungkin biasa dengar hadis.
BACALAH QURAN DENGAN LAGU (BERTAJWID DAN SEBUTAN YANG BETUL). APA SAHAJA BERLAWANAN DENGAN QURAN ADALAH KELALAIAN SEPERTI MENONTOH BOLA SEPAK, TELEVISYEN, MEMBACA MAJALAH DANN LAIN-LAIN
Sabda Nabi ﷺ: “Siapa yang tidak melagukan Al-Quran bukan dari kalangan kami.” (HR Ahmad & Abu Daud)Yang penting kita melagukan Quran iaitu bertajwid dan sebutan yang betul mengikut kemampuan. Apa sahaja yang berlawanan dengan Quran ialah kelalaian. Setiap kelalaian hendaklah dikurangkan atau ditinggalkan. Antara kelalaian seperti menonton bola sepak, majalah, televisyen dan sebagainya. Apabila ada rasa hendak tengok satu rancangan bola sepak atau majalah, kita tangguhkan dulu dan terus baca Al-Quran.
KITA SUDAH TIDAK ADA MASA – ADAKAH KITA SANGGUP BERJUMPA DENGAN ALLAH DALAM KEADAAN KITA TIDAK SAMPAI SEPERTI ORANG ARAB MEMAHAMI AL-QURAN?
TAHAP-TAHAP MEMAHAMI AL-QURAN
1. Apa yang difahami oleh orang Arab
2. Apa yang difahami oleh orang mahir sahaja (ulamak)
3. Hanya difahami oleh Allah SWT
4. Difahami oleh semua orang
BERAZAMLAH MEMAHAMI AL-QURAN SEPERTI ORANG ARAB KERANA BOLEH TERUS AMBIL MANFAAT DARI BACAAN AL-QURAN, DAN MERUJUK KEPADA ASATIZAH JIKA BERJUMPA ISTILAH YANG RUMIT
Apabila jumpa perkataan ‘as-samak’, adakah kita faham ‘as-samak’ itu langit? Kalau faham, itulah yang sepatutnya. Kita tidak boleh biarkan diri kita berada pada tahap hanya mengetahui secara umum langit, bumi dan sebagainya. Tetapi apabila baca Quran kita tidak tahu mana satu menunjukkan langit, bumi, menunjukkan redha Allah, syaitan dan lain-lain. Dah setelah kita tahu dan kita jumpa istilah yang rumit sedikit, kita tanya para ulamak atau asatizah. Alhamdulillah, tahap ini seolah-olah kita sudah jadi seperti orang Arab yang Allah telah turunkan Al-Quran kepadanya. Maknanya dia boleh terus ambil manfaat daripada bacaan Quran yang dibaca dengan terus boleh faham dan tak perlu lagi nak buka terjemahan untuk cari maksud.Apabila kita dengar Al-Quran terus faham, dan mungkin beberapa perkataan perlu ditanya untuk mengetahui maksudnya, contohnya perkataan Haadu (mereka yang mendapat hidayah). Sebenarnya mereka ialah golongan Yahudi yang telah mendapat hidayah. Jangan biarkan diri kita di luar dari peringkat memahami Al-Quran apabila dibacakan Al-Quran kepada kita.
SESUATU YANG MEMALUKAN (AIB) APABILA BACAAN SEDAP (BERTAJWIB DAN SEBUTAN BETUL) TETAPI TIDAK FAHAM APA YANG DILAFAZKAN
Kita boleh baca dengan tajwid dan taranum, atau suara yang merdu. Sesuatu yang aib dan memalukan ialah membaca Al-Quran tapi tak faham. Orang Arab dengar bacaan kita yang sedap, dan disangka kita sudah belajar dan ada sanad dalam Quran. Malangnya, apabila ditanya satu apa pun tak tahu. Sungguh memalukan. Kita tidak boleh biarkan diri kita dalam keadaan aib ini selamanya. Kita kena berubah kepada keadaan lebih baik.
TANAMKAN AZAM SUATU HARI NANTI DAPAT MEMBACA AL-QURAN TANPA BANYAK BERGANTUNG TERJEMAHAN LAGI
Semoga Allah memudahkan untuk kita membaca Al-Quran nul Kareem, semoga kita dapat menanamkan satu azam yang kuat dalam diri iaitu membaca Quran dengan niat mahu faham apa yang Allah hendak sampaikan. Suatu hari nanti kita membaca Quran tanpa memerlukan terjemahan di sebelahnya. Jangan tangguh lagi niat ini.
___________________________
~Muhammad Azzudin~
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment