Sirah Perang Badar

OLEH: Zulfikar Egar

Perang Badar berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadan tahun Kedua Hijrah (2H) di Hijaz, bahagian barat Semenanjung Arab.

Kenapa Terletusnya Perang Badar?

Tahukah mengapakah peperangan Al-Badar Al-Kubra (Badar Besar) antara kaum Muslimin dan Musyrikin tercetus? Dan berapakah bilangan tentera kaum muslimin yang terlibat?

Berlakunya Peperangan Badar bukanlah kerana kaum muslimin ingin berperang atau kaum Quraisy datang menyerang.

Tapi pada asalnya adalah kerana Rasulullah S.A.W hendak keluar menyekat Kafilah perdagangan Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufian bin Harb yang dalam perjalanan pulang dari Syam bersama keuntungan yang besar.

Di mana barang-barang perdagangan tersebut asalnya merupakan harta rampasan dari kaum muslimin (Muhajirin) yang mereka tinggalkan semasa di Mekah ketika berhijrah ke Madinah sebelum itu.

Maka Nabi S.A.W keluar bersama para Sahabat yang hendak bersama (tidak diwajibkan) dalam persediaan yang biasa sahaja kerana mereka tidak keluar pada asalnya untuk berperang, hanya untuk menyekat Kafilah dagang dan merampas harta kaum musyrikin Mekah sebagai Ghanimah.

Dalam Sahih al-Bukhari bahawa Ka'ab bin Malik r.a berkata:

"Aku tidak pernah terlepas daripada bersama Rasulullah S.A.W dalam apa-apa peperangan yang baginda berperang padanya kecuali perang Tabuk, demikian juga aku tidak menyertai baginda dalam perang Badar namun tidak dicela orang yang tidak menyertainya (Badar) kerana sesungguhnya Rasulullah S.A.W keluar untuk menawan Kafilah dagangan Quraisy sehinggalah ALLAH menghimpunkan antara mereka dengan musuh mereka tanpa sebarang perjanjian."

Apabila Kafilah Quraisy yang diketuai oleh Abu Sufian mengetahui berita persiapan kaum muslimin untuk menyekat dan menyerang mereka, maka segera beliau mengutuskan Domdom al-Ghifari untuk meminta kaum Quraisy Mekah datang segera untuk menyelamatkannya.

Tatkala Abu Jahal mendapat isyarat kecemasan tersebut, maka dipersiapkan segera tentera kaum musyrikin Mekah untuk menyelamatkan Kafilah dagangan mereka.

Harus diingat di sini, antara sumber utama ekonomi di Mekah adalah dari hasil perdagangan. Jadi menyelamatkan kafilah tersebut adalah tersangatlah penting.

Namun tak disangka, atas kebijaksaan Abu Sufian maka kafilahnya berjaya meloloskan diri daripada disekat oleh kaum muslimin. Setelah berjaya selamat, lalu dihantarnya isyarat ke Mekah supaya kaum Quraisy Mekah berpatah balik sebab mereka dah selamat.

Namun bagi Abu Jahal, dia enggan berpatah balik. Katanya pada masa inilah untuk mereka untuk menunjuk-nunjuk kekuatan tentera mereka kepada kaum muslimin. Lalu dengan degil dan angkuhnya tetap diteruskan kemaraan tentera Quraisy Mekah sehingga tiba di Badar.

Tarikh berlakunya Perang Badar al-Kubra adalah pada bulan Ramadan, tahun ke-2 Hijrah. tarikhnya pada 17 Ramadan sebagaimana yang dinyatakan kebanyakan Ulama Sirah. Pada tahun itu umat Islam baru sahaja menjalani ibadah puasa.

Namun adakah kaum muslimin tetap berpuasa ketika berperang?

Fakta yang tepat pada ketika tercetusnya peperangan Badar, kaum muslimin sebenarnya tidak pun berpuasa ketika berperang.

Umar bin al-Khattab R.A pernah berkata:

"Kami berperang dalam 2 buah perang (Badar dan Pembukaan Kota Mekah) bersama Rasulullah S.A.W pada bulan Ramadan, LALU KAMI BERBUKA PUASA PADA KEDUA PERANG TERSEBUT" (Sunan al-Tirmidhi).

Bagaimanakah situasi kedua-dua angkatan tentera kaum muslimin dan juga musyrikin Mekah?

Kaum Muslimin dalam keadaan kekurangan orang dan kelengkapan di mana Bilangan tentera Badar jika dilihat dari riwayat al-Bukhari dalam kitab Al-Maghazi menyatakan بضعة عشر وثلاثمئة. Iaitu dalam lingkungan 313 - 319.

Dalam riwayat Muslim disebutkan 319. Dan dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah menyebutkan nama-nama Badriyyun sehingga 340. Tidak ada kitab Sirah yang menjazamkan (menetapkan) 313.

Tapi yang masyhur dan didengari oleh kita adalah seramai 313 orang jumlah tentera kaum muslimin.

Manakala kaum musyrikin dalam keadaan persiapan perang yang penuh dan persenjataan yang lengkap bahkan jumlah mereka seramai 1000 orang.

Mengapakah tentera kaum muslimin itu sedikit dan tidak lengkap?

Ini kerana kaum muslimin pada asalnya keluar untuk menyekat kafilah dagangan Abu Sufian dan bukannya nak berperang. Tapi pihak kaum Quraisy Mekah memang tujuan utama mereka keluar adalah untuk berperang.

1 lagi perkara penting. Zaman dahulu, tidak ada askar tetap dan kem tentera. Penduduk Madinah itulah tentera. Setiap lelaki yang berumur 15 tahun keatas dah boleh keluar untuk berperang.

Apabila Rasulullah S.A.W mengetahui bahawa kaum muslimin tidak berjaya menyekat Kafilah Abu Sufian yang telah pun terlepas dan lolos dan pada masa yang sama mendapat berita kemaraan tentera Quraish Mekah yang telah keluar menuju di Badar, maka baginda terus mengadakan mesyuarat dengan para Sahabat berkenaan tindakan yang wajar dilakukan sama ada mereka meneruskan untuk berperang atau berpatah balik.

Bagaimanakah sikap Para Sahabat Rasulullah S.A.W dalam isu ini?

Dalam mesyuarat itu, maka telah bangkit dan berkatalah salah seorang sahabat iaitu al-Miqdad bin al-Aswad R.A. Katanya:

"Kami sama sekali tidak akan berkata seperti kaum Musa: Pergilah kamu dan Tuhan kamu berperang, namun kami akan berperang di kanan kamu, di kiri kamu, di hadapan kamu, dan di belakang kamu"

Baginda Rasulullah S.A.W tetap terus meminta pendapat para Sahabat, lebih-lebih lagi baginda hendak mendengar pendapat kaum Ansar kerana menurut perjanjian sebelum baginda berhijrah ke Madinah, kaum Ansar hanya wajib melindungi Nabi di dalam Madinah bukan di luar Madinah.

Maka bangunlah Sa'ad bin Mu'az R.A seraya berkata dengan kata-kata yang cukup mengentarkan jiwa:

"Kami telah beriman denganmu dan membenarkan kamu dan kami saksikan bahawa apa yang kamu bawa itu Benar dan kami telah berikan atas dasar ini janji kamu untuk dengar dan taat kepadamu, maka teruskanlah wahai Rasulullah dengan apa yang kamu hendak lakukan maka kami bersama kamu, demi yang mengutusmu dengan sebenarnya jika kamu merentas lautan dan menyelam ke dalamnya nescaya kami akan menyelam bersama kamu tidak ada yang ketinggalan antara kami seorang pun dan kami sama sekali tidak gentar untuk berhadapan dengan musuh kami esoknya, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sabar dalam peperangan, benar ketika bertemu musuh (tidak gentar) mudah-mudahan ALLAH menunjukkan kepada kamu apa yang menggembirakan matamu daripada kami maka teruskanlah perjalanan dengan berkat dari ALLAH".

Maka demikianlah ALLAH membantu kaum mukminin kerana Iman dan Tauhid mereka yang kuat dan kental bukan kerana senjata dan persiapan mereka yg canggih

Firman ALLAH Ta'ala:

Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
  [Ali Imran: 123]

(Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan?," 
[Ali Imran: 124]

Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing. 
[Ali Imran: 125]

Gambar hiasan


Bilangan Tentera Yang Terlibat Di Perang Badar


Penjelasan 1
Sebagaimana jumlah bilangan tentera kaum muslimin semasa Perang Badar pun tidak ada kitab Sirah yang menjazamkan (menetapkan) seramai 313 orang.

Begitu juga jumlah bilangan tentera kaum Musyrikin Mekah yang terlibat dalam Perang Badar. Tidaklah jumlahnya tepat 1000 orang.

Jumlah bilangan tentera kaum Musyrikin Mekah dianggarkan antara 900 - 1000 orang. Ini berdasarkan jumlah unta yang disembelih oleh mereka dalam satu hari iaitu antara sembilan hingga sepuluh ekor unta.

Jumlah tentera kaum muslimin jika dilihat dari riwayat al-Bukhari dalam kitab Al-Maghazi menyatakan:

"Diriwayatkan dari Al Bara’ radliallahu ‘anhu berkata, telah menceritakan kepadaku para sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang turut dalam perang Badar, bahawa jumlahnya sama dengan jumlah para sahabat (tentera) Thalut yang menyeberangi sungai bersamanya, iaitu sekitar tiga ratus sepuluh orang (310)”. Al Bara’ berkata; “Demi Allah, tidak ada dari mereka yang dapat menyeberangi sungai melainkan orang beriman.” [Boleh Lihat Surah Al-Baqarah ayat 249]

Dalam riwayat Muslim disebutkan 319. Dan dalam Al-Bidayah wa Al-Nihayah pula menyebutkan nama-nama Badriyyun sehingga 340.

Bahkan ketika tentera kaum Musyrikin Mekah mula bergerak keluar dari kampung halaman mereka menuju ke Badar, jumlah mereka terdiri daripada 1300 pejuang.

Bersama mereka 100 ekor kuda dan 600 pejuang memakai baju besi. Bilangan untanya terlalu banyak dan tidak dapat diketahui secara tepat.

Kepimpinan keseluruhannya diketuai oleh Abu Jahal Bin Hisham manakala pembiayaan perang mereka ditanggung oleh 9 orang bangsawan Quraisy.

Namun dalam riwayat lain disebutkan bahawa pasukan Quraisy Mekah ini mencapai 1000 orang. [Syarah An-Nawawi 'Ala Shahih Muslim]

Ibnu Ishaq menyebutkan bahawa mereka berjumlah 950 orang disertai oleh 200 ekor kuda. Mereka juga disertai oleh para penyanyi wanita yang memukul rebana dan bernyanyi seraya mengejek kaum muslimin.

Cuma selepas tentera Musyrikin Mekah ini menerima surat di al-Juhfah yang menyatakan kafilah Abu Sufiyan sudah selamat dan Abu Sufiyan meminta mereka semua pulang ke Mekah, ada sebahagian tentera yang pulang tapi kebanyakannya terpengaruh dengan kata-kata Abu Jahal untuk terus menuju ke Badar.

Sebahagian yang pulang semula ke Mekah itu terdiri daripada 300 orang lelaki Bani Zuhrah yang diketuai oleh al-Akhnas bin Syariq.

Bani Hashim juga ingin pulang pada asalnya, tetapi didesak dengan keras oleh Abu Jahal dengan katanya:

"Janganlah kumpulan ini hendak berpisah daripada kami melainkan setelah kita semua pulang nanti".

Lalu bergeraklah tentera Musyrikin Mekah dengan kekuatan 1000 orang pejuang ke Badar manakala 300 orang Bani Zuhrah pulang meninggalkan mereka.

Wallahualam.


Penjelasan 2
Perang Badar ini ada riwayat menyatakan jumlah tentera Islam yang terlibat ialah seramai 313 orang (ini yang paling masyhur).

Namun ada juga riwayat yang menyatakan jumlah tentera Islam yang terlibat sebenarnya 319 orang dan ada juga riwayat yang kata jumlahnya ialah 315 orang.

Mengapa ada perbezaan pendapat tentang jumlah bilangannya?

Harus diingat. Zaman dahulu (dalam budaya Arab) mana ada macam sekarang. Ada kem askar dan tersusun organisasi ketenteraannya. Rakyat Madinah itulah tentera.

Maka perawi yang menyatakan itu membuat anggaran atau agakan sahaja. Cara kira pun berbeza antara perawi-perawi ni.

Ada yang kira pengintip sekali. Ada yang tak kira pengintip dan anggap pengintip itu bukan tentera. Abbas bin Abdul Mutalib R.A adalah pengintip Nabi.

Sebelum perang meletus, Nabi mengarahkan agar para Sahabat tidak mengapa-apakan Abbas bin Abdul Mutalib R.A yang berada bersama dengan tentera Musyrikin Mekah.

Uthman Bin Affan R.A tak pergi Perang Badar sebab menjaga isterinya Ruqayyah R.A yang sakit, yang juga merupakan anak perempuan Rasulullah S.A.W.

Tapi Nabi tetap kira Uthman bin Affan R.A tu dapat pahala seperti Ahli Badar yang lain. Jadi ada perawi kira beliau sekali. Tapi ada juga perawi tak kira juga walaupun Uthman bin Affan R.A ni dapat pahala sama seperti Ahli Badar.

Maka itulah sebabnya mengapa ada perbezaan bilangan tentera Islam yang terlibat dalam Perang Badar.

Akhirnya tentera Islam menang. 70 musuh berjaya dibunuh dan 70 lagi ditawan.

Wallahualam.

___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments