Zakat Bayar Dengan Apa?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi





Sebenarnya terdapat banyak perbezaan antara amalan setempat dengan sunnah, bahkan dengan mazhab Shāfi‘ī sendiri berkenaan zakat fitrah. Perbezaan-perbezaan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, dalam hadis, zakat ini disebut “zakat fitri” (zakāh al-fiṭr) atau “sedekah fitri” (ṣadaqah al-fiṭr), bukan zakāt al-fiṭrah. “Fitri” di sini sama dengan “fitri” dalam “Aidilftri” (‘Īd al-Fiṭr) iaitu buka puasa kerana zakat ini dikeluarkan sempena tamatnya puasa Ramadan.

Tetapi, istilah “zakat fitrah” (zakāh al-fiṭrah) atau “fitrah” (fiṭrah) yang muncul pada beberapa ratus tahun kemudian dan difahami merujuk kepada fitrah kejadian manusia umumnya digunakan di Malaysia.

Kedua, zakat fitrah sebenarnya disyariatkan untuk membantu golongan fakir miskin. Dalam hadis riwayat Abū Dāwūd disebutkan, “Rasulullah SAW memfardukan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada kelalaian dan kekejian dan memberi makan kepada orang-orang miskin.” Atas alasan itu, zakat fitrah tidak boleh diberikan kepada asnaf selain fakir miskin di sisi Imam Mālik.

Tetapi, amalan hari ini berdasarkan mazhab jumhur yang menyamakan aṣnāf zakat fitrah dengan aṣnāf zakat-zakat lain.

Ketiga, melalui nas hadis, zakat fitrah dikeluarkan dengan makanan asasi. Mazhab Shāfi‘ī sendiri tidak membenarkan zakat fitrah dibayar dengan wang tunai.

Tetapi, untuk kemudahan pembayaran, pengumpulan, dan pengagihan, majlis agama memilih pendapat mazhab Ḥanafī yang membenarkan makanan asasi digantikan dengan wang tunai.

Keempat, zakat fitrah asalnya langsung tidak diperintahkan untuk dibayar melalui amil yang ditugaskan oleh kerajaan. Pada zaman salaf, zakat fitrah sama ada dibayar sendiri terus kepada aṣnāf, diserahkan kepada wakil, atau diberikan kepada amil. Kata Imam al-Shāfi‘ī dalam al-Umm, “aku memilih untuk membahagi-bahagikan sendiri zakat fitrah daripada menyerahkannya kepada pengumpul zakat.”

Tetapi, pada hari ini, majlis agama mewajibkan zakat fitrah dibayar melalui amil untuk tujuan dan maslahat tertentu.

Kelima, seperti namanya, “zakat fitri” iaitu zakat berbuka puasa, zakat fitrah asalnya dibayar pada hari raya Aidilftri. Untuk mengelakkan sebarang kesulitan pada pagi raya, sebahagian salaf mengawalkannya sehari atau dua hari sebelumnya. Mazhab Shāfi‘ī pula membenarkan zakat fitrah diawalkan sejak awal Ramadan kerana sebab pertama kewajipannya iaitu bulan Ramadan sudah masuk.

Tetapi, pada hari ini, ramai yang sengaja memperawalkan zakat fitrah dengan anggapan membayarnya pada penghujung Ramadan atau hari raya sebagai sangat lewat.

Keenam, zakat fitrah asalnya tidak disimpan, tetapi diagih-agihkan terus kepada fakir miskin supaya sempat digunakan pada hari raya kerana itu tujuan sebenar zakat fitrah difardukan.

Itulah sebabnya ‘Abd al-Razzāq al-Ṣan‘anī tidak membayar zakat fitrah melalui wakil atau amil, sebaliknya menyerahkannya terus kepada aṣnāf. Katanya, “kalau mereka tidak menyimpannya, ya (aku meletakkannya di masjid). Apabila aku tahu bahawa mereka menyimpannya, aku mengagih-agihkannya kepada jiran-jiranku.” Dikatakan kepada beliau, “(bukankah) Ma’mar menghantarnya ke masjid?” Beliau menjawab, “ketika itu mereka tidak menyimpannya.”

Tetapi, pada hari ini, wallahualam. Sekiranya zakat fitrah dibayar pada waktunya yang paling afdal iaitu pagi raya, kemungkinan besar selepas waktu perayaan baru zakat tersebut sampai kepada penerima.

Wallahualam.

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments