OLEH: Dr Fadlan Mohd Othman
Jika anda mempunyai 3 nikmat ini, perbanyakkanlah syukur kepada Allah Taala. Sebenarnya anda telah diberikan 3 bentuk nikmat dunia. Dengan kesyukuran inilah Allah akan tambahkan nikmat itu untuk anda baik dari sudut keberkatan (kualiti) mahupun bilangan (kuantiti).
Jangan dilihat orang yang nikmat dunianya lebih daripada anda, kerana pada hakikatnya nikmat yang diperolehinya tidaklah lain daripada 3 bentuk nikmat ini. Ya, bezanya adalah banyak atau sedikit, itu sahaja.
Namun, tips Nabawi dalam menghargai nikmat dunia adalah dengan melihat tahap minimum nikmat yang diperolehi dan bukannya membandingkan nikmat minimum yang diperolehi dengan nikmat orang lain yang lebih banyak berbanding nikmat kita.
Sebagai muhasabah, lihatlah orang yang kehilangan 3 bentuk nikmat dunia ini atau kehilangan salah satu daripadanya. Bandingkanlah diri kita dengannya. Pasti kita akan mensyukuri nikmat-nikmat minimum yang Allah kurniakan kepada kita.
Lihatlah hadis berikut:
عَنْ سَلَمَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ مِحْصَنٍ الْخَطْمِيِّ عَنْ أَبِيهِ وَكَانَتْ لَهُ صُحْبَةٌ قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ آمِنًا فِي سِرْبِهِ مُعَافًى فِي جَسَدِهِ عِنْدَهُ قُوتُ يَوْمِهِ فَكَأَنَّمَا حِيزَتْ لَهُ الدُّنْيَا
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ
(الترمذي، كتاب الزهد، باب في التوكل على الله، رقم ٢٢٦٨، عن عبيد الله بن محصن رضي الله عنه. قال الترمذي: حسن غريب، وقال الألباني: حسن)
Daripada Salamah bin Ubaidillah bin Mihsan al-Khatmi daripada ayahnya yang merupakan seorang sahabat, katanya: Berkata Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam: Sesiapa di kalangan kalian berpagian dalam keadaan aman pada dirinya dan keluarganya (atau dibaca sarbih:jalannya* atau dibaca sarabih:rumahnya*), sihat pada badannya, di sisinya makanan asasi untuk harinya itu; maka seolah-olah telah di kumpulkan dunia untuknya."
* sebagaimana dalam Tuhfatul Ahwazi syarah Sunan al-Tirmizi (7/11).
وقال المناوي رحمه الله :
" يعني : من جمع الله له بين عافية بدنه ، وأمن قلبه حيث توجه ، وكفاف عيشه بقوت يومه ، وسلامة أهله ، فقد جمع الله له جميع النعم التي من ملك الدنيا لم يحصل على غيرها ، فينبغي أن لا يستقبل يومه ذلك إلا بشكرها ، بأن يصرفها في طاعة المنعم ، لا في معصية ، ولا يفتر عن ذكره" انتهى. "فيض القدير" (6/88)
Al-Munawi berkata: "Ertinya, sesiapa yang Allah kumpulkan untuknya kesihatan pada badannya, keamanan pada hatinya ke mana sahaja dia pergi, kecukupan hidupnya dengan makanan asasi untuk harinya itu dan kesejahteraan keluarganya; maka sesungguhnya Allah telah mengumpulkan untuknya seluruh bentuk nikmat yang mana orang yang memiliki dunia ini tidak akan me dapati bentuk nikmat selain nikmat-nikmat ini. Justeru hendaklah dia menerima harinya itu dengan mensyukuri nikmat-nikmat itu dengan cara menggunakannya dalam melakukan ketaatan kepada Pemberi nikmat dan bukannya dengan membuat maksiat terhadapNya serta hendaklah dia sentiasa berzikir padaNya."
Konklusinya, jadilah insan yang mensyukuri nikmat walaupun nikmat itu kecil dan minimum.
___________________________
~Dr Fadlan Mohd Othman~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment