Lafaz Niat, Suatu Peringatan

OLEH: Shahrul Aiman


Bismillahirahmanirrahim,

Lafaz niat seringkali menjadi buah mulut berkenaan hukumnya. Samada ia bid'ah ataupun ia adalah sunnah. Ada sebahagian pendakwah terlalu bersemangat membid'ahkan perkara ini, dan ada juga sebahagian yang lain mungkin atas faktor kejahilan, mereka mensunnahkan lafaz niat. Bagi saya, ia bukanlah satu isu yang besar sekiranya ia di huraikan secara berhikmah.

Lafaz niat, jika diperhatikan secara terperinci. Saya melihat apa disebutkan oleh kebanyakkan kitab atau risalah ulama' Syafieyyah, mereka mengatakan, bahawa niat di dalam hati adalah wajib dan lafaz niat pula merupakan sunnah. Sebenarnya kebanyakkan pengajar pondok atau semisalnya yang menggunakan mazhab Syafie sebagai rujukan, mereka terlalu bermudah untuk mengatakan sesuatu itu sunnah. Sebenarnya apa yang mereka ingin katakan adalah benda itu "lebih baik" dan menjadi perbalahan hanyalah pada perkataan sunat yang tidak difahami dengan baik oleh mereka yang mensunatkan lafaz niat. Kerana melafazkan niat itu, lebih baik bagi menghilangkan was-was di hati ketika melaksanakan ibadat. Bahkan mereka sepakat mengatakan bahawa amalan itu tidak sah sekiranya lafaz dimulut dan hati itu berbeza.

Lafaz niat, hanyalah sesuai digunakan bagi ibadat yang pertama kali, atau jarang kita lakukan. Kerana bagi mereka yang tidak biasa melakukannya akan berasa was-was, dan disinilah fungsinya lafaz niat itu tadi. Iaitu menghilangkan keraguan pada seseorang selepas menunaikan ibadah. Namun begitu, sekiranya ibadat tersebut dilakukan setiap hari, misalnya wudhu', solat fardhu, dan semisalnya, maka tidak digalakkan untuk melafazkan niat, bahkan ia menjadi bid'ah kerana kita menjadikan ia suatu kebiasaan dan kewajipan bagi kita, sedangkan orang yang belajar hanya memerlukan tempoh, bukan dipratikkan setiap masa.

Ibadat sunat juga mampu mengatasi was-was bahkan boleh dijadikan sebagai langkah pertama untuk mempratikkan niat sekadar di hati dan tidak di mulut sekiranya seseorang itu mempunyai was-was yang teruk.

Peringatan:

1. Lafaz niat perlulah daripada bahasa yang difahami, dan bukannya melafazkan dalam bahasa arab, lalu diterjemahkan ketika takbiratul ihram. Ini merupakan kesalahan dalam solat, serta kesalahan dalam memahami lafaz niat solat. Kerana lafaz niat solat diadakan supaya kita mengetahui tujuan kita, bukan bacaan mantera, atau jampi.

2. Niat sebelum melakukan amalan. Apabila amalan telah dikerjakan, fokus pada amalan dan bukan lagi pada niat tadi. Ada sebahagian manusia memanjangkan takbiratul ihram kerana ingin melafazkan niat dalam bahasa melayu di dalam hati, sehinggakan ia mampu mengubah makna dan lafaz Allahu Akbar itu sendiri. Bahkan ada yang kembali was-was kerana perbuatan tersebut.

3. Sebaik-baik cara ibadat adalah, ibadat yang dicontohkan oleh Nabi Shallahu 'alaihi wasallam. Usahakan setiap ibadat kita untuk tidak melafazkan niat. Mudah-mudahan Allah memberi kemudahan kepada kita untuk beramal dan memahami ilmu agama.


___________________________
~Shahrul Aiman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments