Pembetulan Buku 'Bersama Niqab' Halaman 122-123

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Di sini ingin dijelaskan satu kesilapan fakta yang terkandung dalam Bersama Niqab, iaitu dalam halaman 122-123 di mana saya mengatakan Imam al-Bājī (474 H) memahami kata-kata Imam Mālik (179 H) tentang keharusan wanita makan bersama lelaki ajnabi dengan makna lelaki ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Kata-kata tersebut berbunyi begini:

“Dalam (nas) itu terdapat petunjuk bahawa muka dan tapak tangan boleh dilihat oleh qurbā daripada (badan) perempuan.”

Sebenarnya, kata-kata ini merupakan sambungan kata-kata Kadi Abu Isḥāq (282 H) yang dinukilkan oleh beliau sebelumnya, sebagai menjelaskan makna “yang zahir daripadanya” dalam ayat 31, surah al-Nūr, iaitu:

“Dan yang zahir, wallahualam, ia menunjukkan bahawa ia adalah muka dan tapak tangan kerana perempuan wajib menutup dalam solat seluruh bahagian daripada (tubuh)-nya kecuali muka dan tapak tangan...”

Semasa menulis Bersama Niqab, saya menyangka kata-kata pertama merupakan kata-kata al-Bājī sendiri sementara kata-kata kedua adalah kata-kata Kadi Abu Isḥāq, sehinggalah pada hari ini saya mendapati al-Bājī menukilkan keseluruhan ayat dengan lafaz yang hampir sama daripada Kadi Abu Isḥāq dalam jilid sebelumnya daripada kitab yang sama, al-Muntaqā Sharḥ al-Muwaṭṭa’, iaitu:

“Zahirnya yang dimaksudkan ialah muka dan tapak tangan, kerana perempuan wajib menutup daripada (tubuh)-nya dalam solat semua tempat yang tidak boleh dilihat oleh qurabā’. Tidak harus baginya mendedahkan dalam solat selain muka dan tapak tangan. Dalam (ayat) itu terdapat petunjuk bahawa qurbā tidak boleh melihat (bahagian) itu daripada (tubuh)-nya.”

Qurbā atau qurabā’ yang digunakan dalam kata-kata ini jelas merujuk kepada mahram, dan bukannya ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

Kata-kata ini sebenarnya disebutkan oleh Kadi Abu Isḥāq dalam kitab Aḥkām al-Qur’ān dan kitab ini telah dicetak. Namun, petikan ini tidak ditemui dalam kitab tersebut kerana termasuk dalam bahagian manuskrip Aḥkām al-Qur’ān yang telah hilang.

Daripada kata-kata tadi disimpulkan bahawa Kadi Isḥāq berpendapat rambut, lengan, dan betis tidak boleh dilihat walaupun oleh mahram. Kata al-Bājī mengomentari kata-kata tadi:

“Kata-kata Kadi Abu Isḥāq bererti bahawa beliau melarang mahram daripada melihat rambut perempuan dan mengharuskannya melihat muka dan tapak tangan.”

Pendapat ini ada asasnya daripada athar salaf, tetapi memerlukan kajian dan penelitian untuk mengetahui hakikat sebenar pendapat tersebut.

Dengan ralat ini, saya menarik semula penisbahan pendapat keharusan mendedahkan muka kepada ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan kepada Ibnu ‘Aṭiyyah (546 H), kerana penisbahan tersebut menjadi lemah dengan zahirnya kesilapan ini.


Kesimpulannya:
1. Kata-kata tersebut bukan kata-kata al-Bājī, tetapi kata-kata yang dinukilkan oleh al-Bājī daripada Kadi Isḥāq
2. Kata-kata tersebut bukan mentafsirkan nas Imam Mālik, tetapi ayat 31, surah al-Nūr
3. Qurbā atau qurabā’ merujuk kepada mahram, bukan kepada ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan
4. Penisbahan pendapat harus mendedahkan muka secara khusus kepada ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan kepada al-Bājī adalah silap, manakala penisbahannya kepada Ibnu ‘Aṭiyyah adalah lemah.

Maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul disebabkan kesilapan ini. Wallahualam.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments