Akidah Imam Ahmad Telah Diselewengkan?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi



Supaya tidak didakwa tidak menjawab, di sini saya menjawab artikel sebuah pertubuhan yang mendakwa Ahli Sunnah semalam secara terperinci:

1. Menurut mereka, aliran akidah yang dinisbahkan kepada Imam Aḥmad telah diseleweng oleh sebahagian ulama mazhab tersebut. Dakwaan mereka betul, tetapi siapakah yang menyeleweng itu? Menurut mereka, yang menyeweleng ialah jumhur ulama Ḥanābilah seperti Imam Ibnu Qudāmah al-Maqdisī dan Ibnu al-Qayyim, manakala yang benar adalah seperti Imam Ibnu al-Jawzī.

Mereka mengatakan akidah yang dipertahankan oleh Imam Ibnu al-Jawzī adalah akidah yang sebenar tidak lain tidak kerana bermuwāfaqah dengan akidah Ashā‘irah yang mereka anuti. Walhal, untuk mengenal pasti siapakah yang benar-benar mewakili Imam Aḥmad, mereka perlu mengkaji akidah Imam Aḥmad menerusi riwayat-riwayat yang disampaikan oleh murid-muridnya.

Sebagaimana Islam, Ahli Sunnah dan Syiah semuanya mengaku Islam dan menyesatkan kelompok yang bertentangan dengan mereka. Jadi, untuk mengetahui siapakah yang benar, kita perlu merujuk nas yang asal iaitu al-Quran dan sunnah. Jika bertanya ulama setiap kelompok, Ahli Sunnah akan mengatakan merekalah Islam sebenar, dan Syiah juga mengatakan merekalah Islam sebenar.

Begitu juga, tentang akidah Imam Aḥmad, kalau kita merujuk Ibnu al-Jawzī, sudah tentu beliau akan mengatakan ulama-ulama Ḥanābilah yang mempunyai akidah yang bertentangan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Imam Aḥmad yang sebenar. Kalau kita merujuk Ibnu Qudāmah pula, sudah tentu Ibnu al-Jawzī yang dituduh menyeleweng.

Sebab itulah, tidak hairan apabila Ibnu Qudāmah mengatakan, “kami tidak reda dengan tulisan-tulisannya tentang sunnah (akidah), dan manhajnya dalam perkara tersebut, walaupun orang ramai mengagungkannya.” Abū Isḥāq al-Tha‘lī pula menulis surat kepadanya, mengatakan “dan ketahuilah olehmu bahawa telah banyak tentangan daripada ulama, orang yang mulia, dan orang yang baik di pelosok dunia ke atasmu berkenaan kata-katamu yang fasid tentang sifat…”

Jadi, yang menjadi kata putus ialah kata-kata Imam Aḥmad, dan daripada riwayat-riwayat yang sahih dan sabit daripada Imam Aḥmad, jelas bahawa beliau berpegang dengan akidah yang sama seperti yang dipegang oleh jumhur Ḥanābilah, bukan seperti Ibnu al-Jawzī dan kelompoknya.

2. Saya sangat gembira apabila mereka mengatakan bahawa “golongan terbesar adalah Ashā‘irah dan Mātūridiyyah, maka ulama berkata, jika disebut Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah secara mutlak, maka maksudnya adalah kedua aliran tersebut. Tetapi itu bukan berarti menafikan Athariyyah sebagai Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah” kerana ini bererti orang yang menyelisihi akidah Ashā‘irah dan Mātūridiyyah seperti Zakir Naik masih berpeluang dianggap sebagai Ahli Sunnah di sisi mereka.

Dan itulah tujuan sebenar saya menulis artikel yang dibantah oleh mereka. Saya mahu mengilzam mereka menggunakan ṣanī‘ mereka sendiri bahawa mana-mana Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya dianggap terkeluar daripada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah hanya kerana menolak, bahkan menyesatkan akidah Ashā‘irah mahupun akidah Mātūridiyyah.

Tetapi, sangat pelik, dalam mengatakan "jika disebut Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah secara mutlak, maka maksudnya adalah kedua aliran tersebut. Tetapi itu bukan bererti menafikan Athariyyah sebagai Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah" mereka memperlakukan diri mereka sebagai Ahli Sunnah tunggal yang tidak boleh dicanggahi atau diselisihi.

3. Dakwaan mereka bahawa khilaf antara Ashā‘irah dan Athariyyah yang paling besar ialah sifat kalam dan mengecilkan perselisihan itu dengan menganggapnya “masih dalam furuk akidah, bukan usul akidah yang manjatuhkan dalam takfir atau tabdī‘” adalah karut. Khilaf Ashā‘irah dengan Athariyyah sebenarnya melampaui masalah usul, kerana jumhur mereka mengisbatkan sifat-sifat Allah yang ditakwil oleh Ashā‘irah secara hakiki.

Bahkan, dalam masalah kalam sahaja, Imam al-‘Imrānī yang kata mereka, “dalam sifat kalam Allah cenderung pada akidah Athariyyah” dalam al-Intiṣār mengisbatkan sifat suara. Katanya, “dan dalil mengisbatkan suara firman Allah kepada Mūsā, ‘dan Aku memilihmu, maka dengarlah apa yang diwahyukan’ dan Allah subḥāna-hu berkata-kata dengannya di sebalik hijab tanpa ada penterjemah di antara kedua-duanya, dan pendengaran manusia secara hakiki tidak berlaku kecuali kepada suara.”

Walhal, menurut Aswaja, mengisbatkan suara kepada Allah adalah kesesatan. Dalam laman sekutu mereka disebutkan, “agama Yahudi adalah agama tajsim (meyakini bahwa Allah adalah jisim/benda) dan mereka juga meyakini tashbīh (menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya). Jejak mereka ini diikuti oleh para pengikut Ibn Taimiyyah yaitu Wahhābiyyah yang juga meyakini Allah bersuara persis layaknya kaum Yahudi.”

Bahkan, Ustaz Zamihan Mat Zin al-Ghari mengulas kata-kata Imam al-Ṭaḥāwī “barangsiapa yang menyifatkan Allah dengan sifat-sifat makhluk maka dia jatuh kafir” dengan mengatakan, “antara sifat makhluk adalah bergerak, duduk diam, turun, naik, bersemayam, duduk, berukuran, bercantum, berpisah, berubah, berada di tempat, berarah, berkata-kata dengan huruf, suara, bahasa dan lain-lain.”

Jadi, mereka hanya mempunyai dua pilihan dalam masalah suara Allah: pertama, mengakui bahawa akidah Allah bersuara adalah akidah sebahagian Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah; atau kedua, menyesatkan Imam al-‘Imrānī dan menafikan beliau sebagai Ahl al-Sunnah.

4. Dakwaan bahawa kitab al-Ghunyah dipertikaikan itu benar, tetapi yang mempertikaikan adalah ulama-ulama Ashā‘irah juga. Tidak pelik kalau Ashā‘irah meragui kitab yang mengandungi akidah-akidah yang bertentangan dengan akidah mereka. Selama ini pun, mereka meragui kesahihan kitab al-Ibānah, biarpun kitab disahkan oleh ulama-ulama mereka sendiri dan disokong dengan pelbagai sumber lain.

5. Mereka mendakwa Imam al-Jaylānī menyalahi akidah Salafī-Wahhābī hanya kerana mengatakan “tidak boleh bagi Allah ada had dan penghujung” dan menafikan tafsiran istiwā’ dengan makna duduk dan bersentuhan. Dakwaan ini menunjukkan mereka tidak memahami akidah Salafī-Wahhābī dengan baik.

Untuk pengetahuan mereka, had di sisi ulama Salafī-Wahhābī termasuk dalam perkataan yang mujmal yang mempunyai pelbagai maksud. Ada sebahagian daripada Salafī-Wahhābī sendiri menafikan had kepada Allah, tetapi sebahagian yang lain mengisbatkannya.

Imam Ibnu Taymiyyah pun mengakui Imam Aḥmad dalam satu riwayat menafikan had. Tetapi, harus difahami bahawa maksud had oleh orang yang menafikan tidak sama dengan maksud had yang difahami oleh orang yang menafikannya. Ia bergantung kepada maksud orang yang mengatakannya. Kata Imam Abū al-Qāsim al-Ṭalḥī (535 H):

“Jika maksud orang yang mengatakan ‘Dia tidak mempunyai had’ adalah bahawa ilmu makhluk tidak meliputi-Nya (atau: meliputi had-Nya), maka ia benar. Jika maksudnya dengan kata-kata itu, ‘ilmu Allah tidak meliputi zat-Nya sendiri’ maka ia sesat. Atau kalau maksudnya bahawa Allah berada di semua tempat dengan zat-Nya, maka ia juga sesat.”

Kemudian, menafikan istiwā’ dengan makna bersentuhan itu juga merupakan pegangan Salafī-Wahhābī. Jadi, tiada pertentangan antara al-Jaylānī dengan Salafī-Wahhābī di situ. Adapun takwilan istiwā’ dengan duduk, ia seperti had tadi. Sebahagian Salafī-Wahhābī menerimanya dan sebahagiannya menolak.

Yang menerimanya bukan menerimanya kerana tajsīm atau tashbīh, tetapi kerana mengikut riwayat-riwayat hadis dan athar yang sahih atau sabit di sisi mereka. Kata Ibnu Taymiyyah, “orang yang mengitlakkannya hanya mengikut athar, dan tidak syak bahawa Allah taala laysa ka-mithli-hi shay’…”

Yang menolaknya pula menolak kerana hadis-hadis dan athar yang mengisbatkan sifat duduk itu tidak sabit di sisi mereka, bukan kerana mereka menolak atau mentakwil sifat duduk semata-mata kerana mustahil pada pandangan akal mereka seperti yang dilakukan oleh Ashā‘irah.

Perkara ini disarihkan oleh al-Jaylānī sendiri, di mana selepas menolak tafsiran dan takwilan istiwā’ oleh Mujassimah dengan duduk dan bersentuhan, oleh Ashā‘irah dengan makna agung, dan Mu‘tazilah dengan makna menguasai, beliau menjelaskan alasan takwilan-takwilan itu ditolak iaitu tidak lain tidak bukan “kerana syarak tidak mendatangkan yang demikian, dan tiada nukilan daripada sahabat dan tabiin daripada kalangan salaf soleh daripada ahli hadis, bahkan yang dinukilkan daripada mereka menanggungnya secara mutlak.”

Jadi, penafian yang dilakukan oleh al-Jaylānī bermaksud beliau termasuk dalam kalangan ulama-ulama Ḥanābilah yang menafikan had dan tafsiran istiwā’ dengan duduk.

6. Akhir sekali, saya tidak mengelak daripada menjawab kritikan mereka. Jika kritikan mereka sampai ke pengetahuan saya, saya jawab seperti sebelum-sebelum ini. Namun, wallahualam, mungkin jawapan saya tidak sampai ke pengetahuan mereka.

Wallahualam

___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments