OLEH: Zulfikar Egar
Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam ada memberi perumpamaan bahawasanya seorang mukmin itu bagaikan seekor lebah.
Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Amru radhiallahu’anhu di mana beliau berkata, Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam telah bersabda:
“Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya perumpamaan mukmin itu bagaikan lebah yang selalu memakan yang baik dan mengeluarkan yang baik. Ia hinggap (di ranting) namun tidak membuatnya patah dan rusak” [HR Ahmad].
Cuba kita perhatikan dengan teliti. Lebah tidak pernah kacau apatah lagi menggangu orang. Sekiranya lebah ini lapar, lebah ini keluar daripada sarangnya pergi mencari makanan.
Tahukah kita kemanakah lebah ini akan pergi?
Pernahkah kita melihat lebah-lebah ini berkumpul di tempat pembuangan sampah atau pergi dan hinggap di tempat yang kotor atau bangkai seumpamanya? Tiadakan?
Lebah-lebah ini akan pergi dan hinggap di atas bunga dan pokok. Bunga ini pula sememangnya disukai oleh semua orang bukan? Disukai kerana kewangiannya.
Untuk apa lebah-lebah ini hinggap di pokok dan bunga tersebut? Sebab nak cari makanan.
Apa yang lebah ini makan dan apa yang diambil daripada pokok dan bunga itu? Manisan.
Lebah-lebah ini ambil nektar daripada pokok itu, pokok ini. Bunga itu, bunga ini. Diambil dan disedut semuanya.
Tapi lebah-lebah ini tidak merosakkan pokok dan bunga dihinggap itu. Bunga itu tetap mekar dan segar. Apa yang diambil hanyalah kemanisan daripada bunga itu.
Inilah perumpamaan orang beriman. Dia tidak akan sekali-kali pergi ke tempat-tempat yang kotor dan maksiat.
Bila dia mencari rezeki, dia tidak akan merosakkan tempat atau suasana yang dia bekerja atau cari makan. Juga tidak akan merosakkan dirinya. Dia hanya memakan makanan yang halal dan menjauhi makanan yang haram.
Seperti lebah-lebah ini. Bila sudah kenyang menghisap madu di bunga, lebah ini akan ke pulang rumahnya, ke sarangnya. Tidak pergi melepak di tempat lain. Setelah kenyang, terus pulang ke sarang.
Di sarangnya itulah lebah itu rehat lalu membuang atau mengeluarkan sesuatu daripada dirinya.
Itulah madu, yang membawa pelbagai kebaikan dan manfaat didalamnya.
Justeru itu, orang mukmin hendaklah sentiasa mengeluarkan ucapan dan perbuatan yang baik dan bermanfaat sebagaimana lebah yang mengeluarkan madu yang bermanfaat untuk manusia.
Wallahualam.
___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment