Perbezaan Sahabat Dan Kawan

OLEH: Zulfikar Egar


Ada orang kata, kawan dan sahabat ada perbezaannya. Bukanlah semata-mata perkataan "K.A.W.A.N" dan "S.A.H.A.B.A.T" itu sendiri.

Sebab kawan di mana-mana pun ada, tapi sahabat, tidaklah seramai kawan. Hanya sahabat yang lebih rapat berbanding kawan.

Tapi ada ada juga yang mengatakan, tidak. Kawan atau sahabat itu sama sahaja. Dan bukanlah faktor rapat atau tidak kawan dan sahabat itu dengan kita.

Tidak kisahlah apa definasinya pun. Apa yang perlu kita ketahui ialah, dalam hidup bermasyarakat sememangnya kita memerlukan kawan atau sahabat serta orang lain yang akan saling tolong-menolong dan membantu bagi menyempurnakan kehidupan ini.

Tetapi apa yang penting adalah, kawan atau sahabat itu mampu membantu kita di kala susah dan meluruskan kita di kala kita tergelincir melakukan kesalahan.

Namun yang seeloknya kawan atau sahabat itu hendaklah melakukan teguran secara baik yang tidak menyakitkan hati demi perhubungan ukhwah itu agar tetap berkekalan.

Apalah guna kawan dan sahabat yang hanya mampu bergelak ketawa ketika senang tetapi tiada ketika kita susah.

Apalah guna kawan dan sahabat, andai hanya bisu memdiamkan diri tidak menegur bila kita melakukan kesalahan dan membiarkan kita lalai di bawah kemurkaan tuhan.

Ketahuilah, kawan atau sahabat sebenar akan kita ketahui ketika kita melalui kesusahan.

Bukanlah kawan dan sahabat itu setakat selalu bersembang di kedai kopi sambil gelak ketawa tidak ingat dunia.

Itu tidaklah dikira akrab. Sebab kata ulama; "Kita tidak akan benar-benar mengenali seseorang itu melainkan setelah bermusafir dengannya".

Ini kerana disebabkan dalam permusafiran inilah, ia akan membongkar serta menonjolkan karakter, sikap dan akhlak seseorang.

Pada masa dalam permusafiran itulah segala bermacam cabaran dan kesukaran akan dilalui bersama.

Justeru itu. Carilah kawan yang sayang kawan dan jaga kawan hanya kerana Allah agar persahabatan tu kekal dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Sebagaimana hadis di bawah ini yang boleh kita jadikan panduan.

“Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.” [HR. Bukhari]

Wallahualam.


___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments