Rasulullah Membelah Bulan?

OLEH: Ustaz Zulfadhli Bin Mohd Razi


Saya ditanya tentang kesahihan kisah yang terkandung dalam posting yang telah di"like" oleh puluhan ribu netizen. Oleh kerana kesibukan, maka saya ringkaskan dalam beberapa point penting:

Pertama: Kisah pembelahan bulan adalah suatu mukjizat yang thabit berdasarkan hadith-hadith sahih tanpa keraguan. Ianya masyhur disebutkan dalam kitab-kitab sirah mahupun kitab-kitab hadith yang telah berlaku sewaktu Baginda masih di Kota Makkah.

Kedua: Kisah al-Habib bin Malik yang panjang lebar tersebut tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab hadith yang muktamad disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kisah tersebut sebenarnya ada disebutkan dalam kitab Durrah al-Nasihin Fi al-Wa'z Wa al-Irsyad oleh 'Uthman al-Shakir (m/s 249-251. Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyah)

Kisah ini tidak diriwayatkan secara bersanad bahkan penulis Durrah al-Nasihin sendiri menyebutkan sighah tamrid روي iaitu "diriwayatkan" ketika menyebutkan kisah ini. Penggunaan sighah tamrid dalam kitab-kitab terdahulu biasanya sebagai isyarat bahawa ianya kisah yang lemah.

Tambahan pula, kitab Durrah al-Nasihin itu sendiri diakui oleh para ulama hadith bahawa ianya dipenuhi dengan hadith-hadith lemah, munkar dan palsu.

Ketiga: Kisah tersebut adalah rekaan tukang-tukang cerita. Dalam kisah panjang lebar tersebut, turut disebutkan bahawa bulan yang terbelah telah masuk ke lengan baju Nabi Shallallahu'alaihiwasallam. Tentang hal ini, al-Imam Ibn Kathir ada menulis:

"Adapun kisah yang disebutkan oleh sebahagian tukang-tukang cerita bahawa bulan telah jatuh ke bumi hingga masuk ke lengan baju Nabi Shallallahu'alaihiwasallam dan keluar melalui lengan baju yang lain, ianya TIDAK ADA ASALNYA, ianya PEMBOHONGAN YANG DIADA-ADAKAN, TIDAK SAHIH". (Al-Bidayah Wa al-Nihayah, juz 3 m/s 360-361. Tahqiq oleh Ma'mun al-Shagirji. Cetakan tahun 1436 H/2015 M. Kementerian Waqaf Dan Hal Ehwal Islam, Qatar)

Wallahua'lam.



___________________________
~Ustaz Zulfahdli Bin Mohd Razi ~
Pendakwah Bebas
_____________________________



Comments