OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Untuk pengetahuan mereka, tujuan saya menyenaraikan ulama-ulama tersebut ialah untuk mengatakan Ahli Sunnah tidak terhad dan terkongkong kepada ulama-ulama berakidah Ashā’irah dan Mātūridiyyah sahaja seperti yang didakwa oleh kebanyakan mereka. Saya bukan ingin mengatakan mereka bermazhab Salafī seperti Wahhābī (walaupun sebahagian mereka begitu).
Ini hal yang perlu difahami kalau mereka mampu memahami. Ini kerana, bagi saya, apabila terbukti bahawa ulama-ulama tersebut tidak menganut akidah Ashā’irah mahupun Mātūridiyyah, tetapi mereka tetap dianggap Ahli Sunnah, ini bererti ungkapan “Ahli Sunnah hanyalah Ashā’irah dan Mātūridiyyah” adalah batil dan tertolak.
Berkenaan tiga ulama-ulama tersebut, mereka sebenarnya menyelisihi Ashā’irah bukan dalam bab kalam sahaja. Kata-kata dan pendapat mereka yang disebutkan dalam tulisan saya sekadar contoh untuk mengatakan mereka bukan bermazhab Ashā’irah-Mātūridiyyah sahaja. Jika diperhalusi, Imam ‘Abd al-Qādir al-Jaylānī misalnya, menolak takwilan Ashā’irah (dan Mu'tazilah) tentang istiwā’ sama seperti yang dilakukan oleh Salafī-Wahhābī. Katanya dalam al-Ghunyah:
“Dan wajiblah mengitlakkan sifat istiwā’ tanpa takwil dan bahawa ia adalah istiwā’ zat di atas arasy bukan dengan makna duduk atau bersentuhan sebagaimana kata Mujassimah dan Karrāmiyyah, bukan dengan makna ketinggian (‘uluww) dan keagungan (rif’ah) SEBAGAIMANA KATA ASHĀ’IRAH, bukan dengan makna penaklukan (istīlā’) dan penguasaan (ghalabah) sebagaimana kata Mu‘tazilah, kerana syarak tidak mendatangkan demikian.”
Di sini beliau menolak takwilan istiwā’ dengan maksud 'uluww ma’nawī, atau dengan makna istīlā’ yang asalnya dimulakan oleh Mu‘tazilah sebelum diambil oleh Ashā’irah.
Dan sekali lagi saya bawakan kata-kata beliau yang jelas menyesatkan Ashā’irah, iaitu:
“Dan Imam Aḥmad rahimahullah mengisbatkan suara dalam riwayat segolongan aṣḥāb riḍwān Allāh ‘alay-him ajma‘īn, BERSALAHAN DENGAN YANG DIKATAKAN OLEH ASH‘ARIYYAH iaitu bahawa kalamullah adalah makna yang berdiri sendiri, dan Allah akan menghukum setiap MUSBTADI’ YANG SESAT LAGI MENYESATKAN, kerana...”
Ingin saya bertanya, apakah maksud beliau menyebut "Allah akan menghukum setiap MUSBTADI’ YANG SESAT LAGI MENYESATKAN" selepas menyebut pendapat Ashā’irah, kalau bukan untuk menyesatkan mereka? Kalau sampai ke tahap menyesatkan, adakah masih boleh dikira khilaf dalam "masalah furuk" sahaja?
Cukuplah setakat itu, kerana tidak mempunyai masa untuk menjawab satu-persatu kritikan tersebut di sini. Kalau mahu, saya bersedia untuk membuat pembentangan dengan tajuk “Ulama-Ulama Muktabar yang Tidak Bermazhab Ashā’irah dan Mātūridiyyah.”
Di sana insya-Allah saya akan buktikan bahawa khilaf mereka dengan Ashā’irah bukan dalam “masalah furuk” seperti yang digambarkan, tetapi sebesar khilaf Aswaja dengan Wahhābī.
Imam al-‘Imrānī, pengarang kitab terkenal dalam mazhab Shāfi‘ī, al-Bayān fī Madhhab al-Shāfi‘ī termasuk dalam kalangan ulama yang tidak menganut akidah Ashā‘irah mahupun Mātūridiyyah. Walaupun beliau tidaklah sampai bermusuhan dengan ulama-ulama Ashā‘irah dan sedikit sebanyak terpengaruh dengan mutakallimīn, namun beliau bukan Ashā’irah dan menolak akidah mereka.
Penolakan ini masyhur sampai dicatatkan oleh:
Pertama, ‘Umar b. Alī b. Samrah al-Ja‘dī (586 H) dalam Ṭabaqāt Fuqahā’ al-Yaman dengan katanya:
“Dan beliau (al-‘Imrānī) berdebat dengan al-Sharīf al-‘Uthmānī yang bermazhab Ash‘arī, dan mempertahankan mazhab Ḥanābilah Ahli al-Sunnah dalam masalah bacaan adalah apa yang dibaca.”
Kedua, al-‘Āmīrī (816 H) dalam Ghirbāl al-Zamān dengan katanya:
“Dan beliau (al-‘Imrānī) zalim terhadap Ashā’irah.”
Sebelum dibawakan nas beliau yang menolak akidah Ashā’irah yang melarang mengatakan “Allah di langit,” dijelaskan sekali lagi bahawa beliau terpengaruh dengan ilmu kalam. Jadi, walaupun beliau secara umumnya boleh dikatakan seorang Ḥanbalī atau Salafī, namun akidah beliau secara keseluruhan tidaklah menepati akidah Ḥanābilah-Salafiyyah.
Nas tersebut berbunyi begini:
“Telah kami sebutkan di awal kitab bahawa di sisi ahli hadis dan sunnah, Allah subḥana-hu dengan zat-Nya terpisah daripada makhluk-Nya, di atas arasy Dia beristiwā’ di atas langit-langit, tanpa bersentuhan dengannya, dan ilmunya meliputi segala sesuatu.”
Selepas itu, beliau menyebut akidah-akidah yang bertentangan dengan akidah tersebut:
“Kata Karrāmiyyah, Dia bersentuhan dengan arasy. Kata Mu’tazilah, zat Allah di setiap tempat sehinggakan di ḥashūsh (semak?) dan di perut binatang. Dikatakan kepada Bishr al-Marīsī, ‘jadi, Dia ada dalam perut keldai engkau ini?’ Jawabnya, ‘ya.’ Ini pendapat Ḥulūliyyah dan ia adalah kekufuran yang jelas tanpa kemusykilan mengenainya. DAN KATA ASHĀ‘IRAH, TIDAK HARUS MENYIFATKAN BAHAWA DIA DI ATAS ARASY ATAU DI LANGIT.”
Kemudian, beliau membawakan dalil-dalil akidah “ahli hadis dan sunnah” bahawa Allah di atas arasy dan di langit sama seperti dalil-dalil yang dibawa oleh golongan Salafī-Wahhābī, antaranya ayat “Al-Raḥmān di atas arasy Dia beristiwā’” dan hadis “di langit.”
Wallahualam
___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment