Bahaya Kitab Al-Futuhat Al-Makiyyah, Ibnu 'Arabi

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Ketika saya dan kawan ke Amman untuk membeli kitab, rakan kami, seorang perempuan mengirim al-Futūḥāt al-Makkiyyah tulisan Ibnu ‘Arabī. Saya terkejut. Kitab yang diminta itu sangat bahaya. Disebabkan kesesatan yang terkandung di dalam kitab yang dinamakan sempena tempat ia dikarang iaitu Makkah al-Mukarramah, Abū Ḥayyān al-Andalusī menggelarnya dengan nama al-Futūḥāt al-Halakiyyah.

Kitab ini sama sahaja dengan kitabnya yang lain, Fuṣūṣ al-Ḥikam yang dikatakan oleh Ibnu Kathīr, “mengandungi banyak perkara yang zahirnya kekufuran yang jelas,” cuma “Fuṣūṣ ringkasan daripada al-Futūḥāt. Jadi, apa yang ada dalam Fuṣūṣ secara terhimpun, ada dalam al-Futūḥāt secara terpisah-pisah," sebagaimana kata Burhān al-Dīn al-Ḥalabī, imam Masjid Sultan Muḥammad al-Fātiḥ di Istanbul.

Kebatilan kitab tersebut menyebabkan sebahagian orang yang mengiktiraf Ibnu ‘Arabī mengatakan kitab tersebut madsūs, iaitu ditokok tambah oleh orang lain. Ada juga yang menolak memahaminya mengikut makna zahir, kerana kononnya ia mengandungi makna batin yang hanya difahami oleh ahli sufi.

Lantaran itu, Ibnu Ḥajar al-Haytamī yang mengiktiraf Ibnu ‘Arabī sendiri tidak menggalakkan orang ramai membaca kata-katanya yang bermasalah itu. Katanya, “walhasil setiap orang yang mahu keselamatan untuk agamanya tidak melihat kata-kata yang memusykilkan itu dan tidak menjadikannya pegangan, sama ada kita mengatakannya mempunyai (makna) batin yang benar atau tidak.”

Saya yakin rakan kami yang perempuan itu tidak mengetahui kandungan kitab tersebut, dan dia mahu membelinya kerana ia kitab agung di sisi ahli tasawuf. Begitu juga dengan orang lain yang memuja Ibnu ‘Arabī dan terkini, Jalāl al-Dīn al-Rūmī. Mereka tidak tahu apa-apa tentang mereka selain cerita-cerita tentang karāmah dan petikan kata-kata mereka yang indah.


___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments