Beberapa Pendapat Tentang Batasan Melihat Wanita Yang Dipinang

OLEH: Saufy Jauhary



Islam telah mensyariatkan bahawa seorang lelaki ketika mahu meminang wanita dibenarkan untuk melihat wanita tersebut. Tidak ada khilaf dikalangan ulama bahawa dibolehkan melihat wajah dan kedua tapak tangan wanita yang dipinang.

Tetapi para ulama telah berselisih akan batas-batas melihat tubuh wanita yang dipinang selain wajah dan tapak tangan.

Pendapat pertama:
Tidak boleh dilihat kecuali wajah dan tapak tangan sahaja. Ini adalah pendapat jumhur ulama: Hanafiyah, malikiyah, Syafi’iyah dan satu pendapat dari kalangan Hanabilah. Mereka mengatakan, kerana wajah adalah pusat kecantikan, pusat perhatian, dan lambing kecantikannya, sementara tangan menunjukkan kesuburan badan. Malah kerana keduanya biasa nampak, maka tidak dibolehkan melihat kepada apa yang biasa tidak nampak.

Pendapat kedua:
Dibolehkan melihat apa yang biasa nampak seperti leher, kedua tangan dan kedua kaki. Inilah yang shahih dalam mazhab Hanbaliyah. Alasannya, Nabi s.a.w ketika mengizinkan melihat kepada wanita itu tanpa sepengetahuannya, maka dapat diketahui bahawa baginda mengizinkan untuk melihat seluruh bahagian tubuh yang biasa nampak. Apalagi kerana ia adalah wanita yang dibolehkan melihatnya seperti halnya para mahramnya yang lain.

Diriwayatkan dari Abu ja’far al-Baqir, beliau berkata, “Umar r.a meminang puteri Ali bin Abi Thalib r.a , maka Ali berkata, “Ia masih keci.” Dikatakan kepada Umar, “Sesungguhnya ia hanyalah bermaksud menolaknya.” Maka Umar pun berbicara kepadanya, maka Ali berkata, “Aku akan mengirimnya kepadamu. Jika engkau suka, maka ia adalah isterimu.” Ali pun mengirimnya kepada Umar, maka Umar mendatanginya dan menyingkap betisnya. Maka puteri Ali berkata, “Lepaskan! Seandainya engkau bukan Amirul Mukminin, nescaya aku akan memukul lehermu!.” (Riwayat Abdurrazaq dan Sa’id bin Mansur)

Namun, sanadnya terputus.

Pendapat Ketiga:
Boleh melihat bahagian tubuh yang ingin dilihat kecuali aurat. Ini adalah mazhab al-Auza’i.

Pendapat Keempat:
Boleh melihat seluruh tubuhnya. Ini adalah mazhab Imam Dawud az-Zahiri, Imam Ibnu Hazm az-Zahiri dan riwayat ketiga dari Imam Ahmad. Berdasarkan zahir hadis:

Dari Jabir bin Abdillah r.a, beliau berkata, Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda: “Jika salah seorang dari kalian meminang seorang wanita lalu ia mampu untuk melihat darinya sesuatu yang mendorongnya untuk menikahi, maka lakukanlah.”

Jabir r.a berkata: “Aku meminang seorang gadis, lalu secara diam-diam melihatnya hingga aku melihat sesuatu yang mendorongku untuk menikahinya lantas aku menikahinya.” (Hadis bertaraf hasan, diriwayatkan oleh Abu Dawud, Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Menurut Ustaz Fathul Bari Mat Jahya hafizhahullah: Pendapat ini Syaz (janggal) dan tertolak.

TARJIH
Berkata Syeikh Abu Malik Kamal bin Sayyid Salim hafizhahullah, penulis kitab “Shahih Fiqhus Sunnah Wa Adhilatuhu Wa Taudhih Mazahib al-A’immah” yang menjadi kitab rujukan saya:

“Yang membuat hati tenteram, jika lelaki pergi untuk meminang seorang wanita, maka si wanita boleh menampakkan wajah dan kedua tapak tangannya, sebagaimana dikatakan oleh jumhur. Tetapi tidak boleh memintanya untuk menampakkan lebih dari wajah dan tapak tangan.Namun ia boleh melihat meminta penjelasan selain itu , yang dimaklumkan oleh ibunya atau saudara-saudara perempuannya, atau ia datang secara sembunyi-sembunyi untuk melihatnya. Adapun jika lelaki datang secara sembunyi-sembunyi untuk melihatnya, maka ia boleh melihat darinya apa yang mendorongnya untuk menikahinya. Pendapat ini menurutku, adalah pendapat yang dimaksudkan oleh golongan yang membolehkan melihat lebih dari wajah dan tapak tangan. Wallahu a’lam”

Point Tambahan:-

Bolehkah melihat wanita yang dipinang dengan syahwat atau menikmatinya?

Jawapan:

Ulama Hanabilah membolehkan melihat apabila aman dari fitnah. Menurut mereka, adapun melihat dengan tujuan menikmatinya atau syahwat, maka ini tetap pada hukum asalnya iaitu diharamkan. (lihat al-Mughni 553/6)

Adapun jumhur ulama tidak mensyaratkannya . Bahkan mereka mengatakan, ia melihat dengan tujuan untuk menikahinya, walaupun ia khawatir (ragu-ragu) menginginkannya, berdasarkan dua alasan:

1) Hadis – hadis yang menyebutkan tentang disyariatkannya melihat wanita yang dipinang tidak membatasi melihat hal tersebut.

2) Kemaslahatan yang diperoleh oleh peminang dari melihat pinangannya jauh lebih besar daripada mafsadah yang ditimbulkannya. (lihat Ibnu ‘Abidin V/237, Jawahir al-Iklil I/275, Raudhah ath-Thalibin VII/20, dan majmu’ al-fatawa XV/419-XXI/251)

SUMBER:
1) Syeikh Abu Malik Kamal bin as-Sayyid Salim, Shahih Fiqih Sunnah.
2) Dr. Fathul Bari - Pinangan Menurut Sunnah (Khitbah): http://youtu.be/ctdkc2ZVGww


___________________________
~Saufy Jauhary~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments