Kebesaran Perang Badar

OLEH: Zulfikar Egar

Gambar hiasan semata-mata.

Saad bin Abi Waqas R.A pernah berkata;

"Kami menceritakan kepada anak-anak kami setiap peperangan yang disertai Rasulullah sebagaimana kami mengajar mereka al-Quran".

Setiap insan yang mengatakan cinta kepada baginda Rasulullah S.A.W pasti akan menyelusuri sirah baginda untuk mencontohi aplikasinya dalam kehidupan dan perjuangannya pada hari ini atau setidak-tidaknya sebagai pedoman.

Contoh kisah sirah popular yang sering kita dengar atau tidak bosan mendengarnya adalah kisah perang Badar, selain peristiwa Hijrahnya nabi dari kota Melah ke kota Madinah.

Mengapa perang Badar?

Kerana kisah ini disebut sebagai Yaum al-Furqan. Hari pembeza antara haq dan batil kerana ia merupakan peperangan yang pertama berlaku antara kaum muslimin dan golongan kafir.

Satu peperangan yang cukup mencabar bagi kaum muslimin di mana, andai kaum muslimin tewas pada ketika itu, pastinya tiada siapa akan mentauhidkan Allah S.W.T selepas itu.

Betapa besarnya gambaran yang diberikan bagi menunjukkan kisah perang Badar ini adalah kisah yang besar.

Hinggakan kisah perang Badar ini bukanlah seperti siri-siri peperagan yang lain kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda;

"Allah berfirman: 'Buatlah apa-apa sahaja yang kamu inginkan, sesungguhnya Aku ampunkan segala dosa kalian semua!" [HR. al-Bukhari & Muslim]

Hadis ini menunjukkan keistimewaan yang khusus ditujukan kepada para sahabat yang menyertai perang Badar.

Imam Ibnu al-Qayyim memberikan penjelasan yang cukup menarik dalam perkara ini di mana menurut beliau, ini menunjukkan bahawa Allah Maha Mengetahui bahawa mereka, yakni Ahli Badar ini tidak akan meninggalkan Islam. Di akhir hayat mereka nanti, mereka pasti kan mati dalam keadaan beriman.

Inilah keistimewaan yang ada pada setiap ahli Badar. Ya, mereka mungkin akan melakukan dosa kerana mereka juga adalah manusia biasa yang pasti akan buat silap

Tetapi Allah tidak akan membiarkan mereka berterusan dengan dosa tersebut. Maka sudah pasti Allah menyediakan taufik kepada mereka untuk segera bertaubat nasuha.

Maksudnya di sini, walaupun ahli Badar ini dianugerahkan jaminan yang hebat serta mempunyai kelayakan dan "tiket" yang amat mahal ke syurga sebagaimana dalam satu riwayat, baginda nabi bersabda;

"Sesungguhnya telah diwajibkan syurga untuk kamu semua". [ HR. al-Bukhari]

Namun ahli Badar ini tidak menyalahgunakan keistimewaan tersebut. Mereka ini masih lagi terikat dengan hukum-hakam agama seperti melakukan kewajipan yang dituntut dan kena meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan.

Sebab apa?

Kerana ahli Badar ini bukanlah seperti kita. Andai kita mendapat keistimewaan yang diberi itu, pastinya tiada lagi amal yang dilakukan kerana telah pun mengetahui syurga akan menanti.

Berbeza dengan para sahabat. Walaupun telah mendapat keistimewaan, mereka tetap berjuang dan beramal dengan amalan soleh hingga ke akhir hayat.

Apakah rahsia kemenangan kaum muslimin di perang Badar?

Rahsianya adalah terletak pada kekuatan pergantungan mereka kepada Allah S.W.T dan sifat wala' kepada Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin.

Ini boleh dilihat melalui jawapan yang diberikan oleh para sahabat tentang kesanggupan mereka untuk berperang.

Satu kata-kata yang cukup mengentarkan jiwa ketika Miqdad bin Amar R.A berkata:

"Wahai Rasulullah, teruskanlah langkahmu, kami pasti akan bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti Bani Israel berkata kepada Nabi Musa: 'Maka pergilah kamu wahai Musa bersama Tuhanmu, kami akan berkata: 'Pergilah ke medan perang wahai Rasulullah bersama Tuhanmu, kami juga pasti akan bersamamu!"

Demikian juga jawapan daripada wakil golongan Ansar yakni Saad bin Muaz R.A dengan katanya;

"Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepadamu, kami mempercayaimu, kami bersaksi bahawa setiap ajaranmu benar. Maka atas dasar itu kami telah memberikan kepercayaan untuk kami sentiasa patuh dan taat kepada kepimpinanmu. Jadi, teruskan langkahmu, kami pasti akan bersama-samamu!".

Itulah para sahabat. Setia bersatu hati dan tenaga di belakang kepimpinan Rasululullah. Inilah kisah sirah yang perlu kita wariskan dari zaman ke zaman agar generasi kemudian tidak akan melupakannya.

Wallahualam.


*Rujukan:
- Badar Nan Mekar dan Segar (Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Pasang)




[Gerakan PENA Malaysia]

Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI

Comments