Muzik Itu Termasuk 'Umum Al-Balwa'

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Saya bersetuju bahawa muzik hari ini termasuk dalam perkara yang tidak dapat dielakkan atau dipanggil ‘umūm al-balwā. Akan tetapi, ‘umūm al-balwā tidak menjadikannya halal. ‘Umūm al-balwā sekadar menjadikan muzik dimaafkan jika didengar atau dipasang tanpa disengajakan.

Muzik pada hari ini seperti tahi cicak di masjid yang dipenuhi tahi cicak atau seperti persentuhan antara lelaki dengan perempuan semasa tawaf. Dalam keadaan itu, disebabkan kesukaran untuk mengelak, tahi cicak dan persentuhan lelaki perempuan dimaafkan.

Adakah ia bermakna tahi cicak itu suci sehingga boleh dimasukkan ke dalam kocek dan lelaki secara suka-suka boleh menyentuh perempuan? Tidak. Tahi cicak tetap najis dan persentuhan lelaki perempuan tetap haram. Ia dimaafkan hanya kerana tidak dapat dielak. Jika dapat dielak, hukumnya kembali kepada asal iaitu haram.

Begitu juga muzik. Disebabkan muzik tidak dapat dielakkan di tempat kita, kita tidak perlu lari atau menutup telinga apabila mendengarnya. Tetapi, kita tetap perlu menahan diri daripada memasang muzik kerana kita mampu melakukannya.

Contoh lain adalah seperti melihat aurat wanita. Maklum pada hari ini, aurat wanita terlihat di mana-mana baik secara nyata atau melalui gambar. Jika diikutkan hukum asal, haram lelaki membaca surat khabar atau membeli belah di pasar raya.

Namun, mengambil kira ‘umūm al-balwā maka semua itu dimaafkan. Tetapi, adakah dimaafkan bererti lelaki sewenang-wenangnya boleh menonton drama dan filem? Atau, perempuan boleh bergambar dalam keadaan mendedahkan aurat? Tidak. Tidak sama sekali.

Wallahualam.



___________________________
~ Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi ~
Unit Asatizah
_____________________________

Comments