Kepercayaan Khurafat Orang Melayu Dahulu

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman



Animisme ialah kepercayaan bahawa setiap benda (batu, kayu dan lain-lain) mempunyai 'semangat' (roh).

Masyarakat Melayu dahulu percaya kepada 'semangat' roh dan 'semangat' alam semula jadi dan melakukan pemujaan untuk menghormati roh-roh tersebut.

Sekalipun menganuti agama Islam dan percaya bahawa Allah sebagai Tuhan, tetapi dalam masa yang sama mereka percaya bahawa di alam ini ada ‘sesuatu’ selain daripada Tuhan Yang Maha Esa.

‘Sesuatu’ yang ada di alam ghaib.

Tidak jelas sama ada ‘sesuatu’ yang dimaksudkan ialah jin, syaitan, hantu atau yang lain. Barangkali kesemuanya.

Ini kerana menurut faham mereka Tuhan itu terlalu luas, tidak boleh digambarkan dan tidak pula boleh diberi sifat.

Berbeza dengan ‘semangat’ yang ada pada setiap sesuatu itu khususnya apa yang ada di sekeliling manusia seperti rumah, manusia, haiwan, hutan, tanaman, sungai, laut, hujan dan sebagainya.

Kesemua makhluk-makhluk ini ada 'semangatnya' yang perlu dihormati dan dipuja.

Pemujaan ini tidak semestinya dilakukan sepanjang masa, sebaliknya dilakukan secara berkala atau apabila 'dirasakan perlu'.

Lebih-lebih lagi apabila berlaku kejadian-kejadian di luar jangkaan atau apabila berlaku sesuatu yang 'tidak normal' seperti bencana alam, banjir, kemarau, penyakit, kematian dan sebagainya.

Barangkali setiap seorang itu tidak terlibat atau hadir dalam pemujaan tetapi hal ini cukup sebati dalam kepercayaan mereka.

Maka tertanam dalam diri mereka rasa hormat, tunduk dan takut kepada 'semangat-semangat’ ini.

Jika hendak masuk hutan misalnya untuk berburu, sebagai tanda hormat mereka meminta izin dengan mengucapkan "Hai mambang Merah, tuk cucu tumpang lalu!”.

Apabila hendak kencing dalam hutan mereka berkata “Tuk cucu tumpang kencing!”

Jika anak kecil jatuh sakit mereka ubah nama si anak dan memberi nama timangan kerana menganggap ‘ada yang tidak kena’ dengan nama asal yang diberikan.

Mungkin ‘semangat’ tidak bersetuju dengan nama asal!

Jika berlaku banjir maka diadakan upacara pemujaan memberi makan kepada ‘roh pelindung’ laut atau sungai bagi memuaskan hati ‘semangat’ dan meredakan kemarahannya.

Roh-roh orang mati juga dipuja khususnya daripada kalangan peneroka asal sesebuah tempat kerana mereka sentiasa ‘memantau’ dan bertindak sebagai pemayung penduduk setempat dan ‘menjaga cucu cicitnya’.

Berbagai-bagai ‘pantang larang’ diada-adakan kerana kepercayaan kepada ‘semangat’ ini lebih-lebih lagi apabila pergi ke tempat asing.

Jika mendaki gunung, wanita haid dan memakai baju merah atau hijau dilarang manakala si pendaki perlu sopan dan menjaga tingkah laku, tidak boleh sombong dan cakap besar.

Jika tidak, buruk padahnya seperti sesat, hilang arah sehingga tidak jumpa jalan keluar, berlaku kejadian-kejadian aneh atau kemalangan.



BAHAYA SYIRIK

Perlu ditegaskan di sini bahawa kepercayaan kepada ‘semangat’ ini SEMUANYA SYIRIK menyalahi ajaran ISLAM.

Firman ALLAH:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
“Ketahuilah bahawa TIADA SEMBAHAN KECUALI ALLAH.”
Al-Quran, Muhammad, 47:19.

TIADA SEMBAHAN maknanya TIADA di ALAM GHAIB yang LAYAK DISERU, dipanggil, diminta daripadanya pertolongan, perlindungan, bantuan, jagaan dan selainnya KECUALI ALLAH.

Firman ALLAH:

فَلَا تَدْعُوا مَعَ اللَّهِ أَحَدًا
“Maka JANGAN ENGKAU SERU dan SEMBAH sesiapapun BERSAMA-SAMA ALLAH.”
Al-Quran, al-Jin, 72:18.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ
“Sesungguhnya ALLAH TIDAK akan MENGAMPUNKAN dosa SYIRIK mempersekutukannya.”
Al-Quran, an-Nisaa’, 4:48.

Firman-Nya:

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ
“Sesesungguhnya barang siapa MENSYIRIKKAN ALLAH maka ALLAH HARAMKAN ke atasnya SYURGA dan TEMPAT TINGGALNYA dalam NERAKA.”
Al-Quran, al-Maa’idah, 5: 72.

Firman-Nya:

وَمَنْ يَكْفُرْ بِالْإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Dan sesiapa yang KUFUR sesudah dia beriman, maka sesungguhnya telah GUGUR AMALNYA (yang baik) dan di AKHIRAT kelak dia terdiri daripada kalangan orang-orang yang RUGI.”
Al-Quran, al-Maa’idah, 5:5.

Pentingnya MEMPELAJARI TAUHID dan MEMURNIKAN AKIDAH daripada segala hal-hal SYIRIK, KUFUR dan kepercayaan KHURAFAT.

Kepada ALLAH jua kita memohon petunjuk dan perlindungan.

___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments