Semangat Dalam Menuntut Ilmu

OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi

Teringat pesan Ustaz Abd Wahab -semoga Allah menjaganya- ramai orang bersungguh-sungguh pada hari ni dalam bermain bola untuk meraih johan/juara, bukankah bagus kalau semangat itu juga digunakan oleh mereka dalam menuntut ilmu agama.

Saya kata -semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya- ramai orang bersungguh-sungguh pada hari ini dalam berkerja untuk mendapatkan gaji/alaun demi untuk menyara diri dan keluarga, bukankah bagus kalau semangat itu juga digunakan oleh mereka dalam menuntut ilmu agama.

Persiapan bermain bola mampu kita siapkan dengan membeli kasut, jersi, dan lain-lain. Persiapan kita dalam kerjaya mampu kita siapkan dengan membeli baju formal, peralatan-peralatan kerja dan sebagainya.

Bagaimana persiapan kita dalam menuntut ilmu? Berapa ramai orang datang mendengar kuliah/ceramah hanya sekadar mendengar namun tidak ada pun buku yang digunakan oleh ustaz yang mengajar tersebut? Berapa ramai orang datang kuliah mencatat semua poin-poin penting yang disampaikan? Jika ditanya semula apa yang diajarkan, adakah mampu diterangkan semula apa yang diajarkan?

Kisah Imam Syafie -semoga Allah merahmatinya- yang biasa kita dengar iaitu beliau menulis nota-nota gurunya hanya dengan air liur di atas tapak tangannya, namun bila ditanya semula, beliau mampu menjawab sebijik apa yang diajarkan oleh gurunya.

Moga-moga kita semua dapat menjadikan semangat para ulama, serta orang-orang soleh terdahulu dalam menempuh jalan menuntut ilmu agama, agar kita juga jadi seperti mereka meskipun kita jauh beza dengan mereka bagaikan langit dan bumi.

Rasulullah ﷺ bersabda:

ومن سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة
“Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” 
(HR. Muslim)


___________________________
~Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments