Jangan Gopoh Menimba Ilmu

OLEH: Zulfikar Egar

Kata Imam Al-Zuhri rahimahullah dalam Al-Jaami’ li Akhlaq wa Adaab Al-Saami’

"Barangsiapa yang menuntut ilmu secara banyak (nak sekaligus faham kesemua ilmu dalam masa yang singkat) maka ilmu akan hilang dan menjauhinya dengan jumlah yang banyak, sesungguhnya menuntut ilmu itu perlu (berperingkat) melalui hari hari dan malam-malam (perlu lama dan bersabar)."

Dan juga ilmu ini tidak akan didapati dengan hanya bersantai-santai. Harus dengan berjuang dan sabar.

Seperti yang dikatakan oleh para salaf;

"Jika kau sudah berikan segalanya untuk ilmu. Ilmu itu akan memberikanmu sebahagian sahaja. Jika kau sudah berusaha memberikan waktumu untuk ilmu, kau tetap akan mendapatkan setengah daripada ilmu tersebut kerana ilmu ini tidak terbatas, sangat luas. Ini adalah agama Allah dan tidak terbatas.

Dan jika kau berikan untuk ilmu ini adalah sedikit sahaja, maka dia tidak akan memberikanmu apa-apa."

Bila membicarakan soal sabar dalam menuntut ilmu ini. Ada disebutkan sebuah kisah yang dilalui oleh penuntut-penuntut ilmu hadis pada suatu ketika dahulu.

Kisah ini turut disebut oleh ulama-ulama hadis yang lain mengenai seorang ulama yang bernama Al-A'mash yang juga merupakan seorang ulama hadis.

Dikatakan ketika Al-A'mash ini berbicara sewaktu mengajar, seringkali air liurnya bersembur-sembur keluar hingga terpercik kena ke muka anak-anak murid yang duduk di hadapannya.

Namun anak-anak murid ini tetap sabar mendengar dengan tekun sambil menulis hadis yang didengari daripada Al-A'mash.

Mereka tetap tabah dan tidak berganjak walaupun menghadapi percikan air liur Al-A'mash yang tersembur hingga kena ke muka mereka.

Dan seringkali itu jugalah, bila selesai anak-anak murid ini menulis hadis. Barulah mereka akan mengusap wajah mereka yang terkena percikan air liur guru mereka itu.

Bagi mereka apa yang penting, dapat dulu hadis daripada Al-A'mash terlebih dahulu. Biar pun wajah mereka terkena percikan air liur Al-A'mash.

Lihatlah betapa sabarnya para penuntut ilmu ketika itu dalam menuntut ilmu.

Itu belum lagi kisah Imam Ahmad bin Hambal yang sanggup menaiki kuda selama satu bulan mencari ilmu, iaitu satu hadis di hujung Iraq. Lepas dapat hadis tersebut terus pulang. Semata-mata hanya satu hadis.

Wallahualam.



*Rujukan:
-Sabar Di Dalam Menuntut Ilmu (Abu Al-Hasan.tv)
-Kisah Lucu, Sabar Dalam Menuntut Ilmu (Ustaz Dr. Khalid Basalamah)
- Nukilan Ustaz Muhammad Fashan akan Kata-kata Imam Al-Zuhri rahimahullah



___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments