Kenapa Orang Lebih Ramai Mendengar Seminar Motivasi Berbanding Ceramah Agama?

OLEH: Zulfikar Egar

Kadang itu kita tertanya-tanya. Mengapa masih ramai orang suka pergi seminar motivasi mencari 'sesuatu' berbanding ceramah agama di surau masjid yang percuma.

Adakah ini disebabkan penyampaian asatizah yang ada sekarang di masjid surau ini tidak menyentuh hati?

Apa yang saya nampak, ini bukanlah disebabkan penyampaian asatizah yang mengajar di masjid surau itu tak menyentuh hati.

Sebab sekarang ini pun Alhamdulillah. Ramai sahaja asatizah sudah memiliki pengucapan awam yang bagus.

Sama ada yang pergi ke kelas pengucapan awam atau pun hasil dari pengalaman mengajar bertahun-bertahun di kerusi penceramah dan sering menjadi rujukan orang awam untuk masalah-masalah agama.

Bila berlalunya peredaran masa dan berkembangnya teknologi maklumat. Asatizah ini pun dengan sendiri atau atas nasihat dari rakan ustaz yang senior untuk mengubah cara penyampaian semasa kuliah.

Saya pernah bekerja di sebuah pusat pengajian Islam selama 3 tahun dan pernah juga membawa ustaz-ustaz berpogram di masjid surau apatah lagi kem. Lebih-lebih lagi kini saya terlibat dalam bidang latihan.

Kini, rata-rata ustaz pun penyampaian kuliah mereka di surau masjid sudah bagus.

Suara yang jelas, ada intonasi. Bila masa perlu cakap kuat, bila masa perlu cakap dengan nada perlahan. Kadang itu memang mampu menyentuh jiwa. Pastinya menarik perhatian orang audiotori.

Masa kuliah pula, tidak tumpu atau tengok pada kitab sahaja. Ada interaksi dengan jemaah yang hadir. Bersembang atau bersoal jawab dengan jemaah yang hadir.

Dan ada juga ustaz yang mengajar tidak hanya duduk sahaja. Berdiri seperti nak ada hubungan rapat pada hadirin. Bagus untuk tarik perhatian orang kinestatik.

Ada juga yang menggunakan 'white board' untuk pengajian. Bahkan ada yang lebih bagus menggunakan LCD Projektor ketika memberi kuliah. Bagi golongan visual, ia dapat membantu mereka faham akan isi kuliah.

Nak kata suasana tempat. Sound system yang bagus. Kini masjid surau sekarang ini pun dah baguslah sekarang.

LCD Projektor dan skrin layar putih besar pun dah ada di hampir semua masjid surau. PA System masjid surau pun memang bagus dan kuat dah.

Jadi kesimpulannya bukan pada ustaz-ustaz yang mengajar. Apatah lagi tempat mahupun PA System.

Tapi 2 perkara ini. (Bagi saya)
- Panjangnya masa
- Benda percuma

i) Panjangnya masa.
Bukannya tiada trainer atau penceramah terkenal yang sememangnya dia merupakan seorang ustaz yang buat pengajian di masjid surau. Ada saja.

Tetapi, kuliah-kuliah di masjid surau ini berasaskan kitab. Panjangnya masa bermaksud, kuliah tersebut akan bersambung-sambung. Memakan masa untuk menamatkan pengajian kitab tersebut.

Jika di universiti, kita akan tahu kitab atau silibus itu perlu dihabiskan dalam masa 1 semester yang tempohnya sekitar 3-4 bulan.

Ini berbeza dengan kelas pengajian berkitab di masjid surau. Tak pasti bila akan habis kitab itu walaupun tiap-tiap minggu ustaz datang mengajar. Bahkan mengajar pun bukannya lama, tak sampai 1 jam. Kuliah selepas maghrib sambil menunggu masuknya waktu menunggu Isyak.

Dan kita dapat lihat. Memang tak ramai jemaah yang hadir untuk mendengarnya. Ya, bulan pertama mungkin ramai. Selepas itu, bilangan jemaah yang hadir makin sedikit.

Walaupun yang menyampaikan kuliah adalah ustaz yang terkenal. Sebab itu pemandangan biasa kuliah di suarau masjid tak ramai dan kadang tu nak cecah 10 orang pun susah.

Tapi ia berbeza bila dibuat tajuk khas, kuliah khas. Mungkin sempena sambutan Maal Hijrah misalnya atau apa sahaja tajuk. Pasti ramai yang hadir.

Sebab program majlis ilmu itu hanya ada pada tarikh itu, dan habis pada masa itu juga.

Tidak menuntut hadirin yang hadir untuk hadir lagi tiap-tiap minggu pada masa akan datang.

ii) Benda percuma
Tak tahu mengapa, seolah seperti ada satu pemikiran. Program yang percuma tak akan dapat menarik hadirin untuk datang.

Contohnya di tempat saya kelmarin. Ada buat program motivasi 2 hari 1 malam untuk pelajar tingkatan 4 & 5. Program buat di masjid secara Percuma.

Makanan disediakan. Pengangkutan pun disediakan. Banner program dipasang di banyak tempat umum. Motivator yang hadir pula adalah motivator yang biasa buat program berbayar untuk sekolah-sekolah.

Tapi tak dapat sambutan walaupun surat-surat jemputan sudah dihantar ke sekolah-sekolah termasuklah whatsaap terus pada guru.

Tetapi berlainan dengan yang berbayar. Pasti berbeza keadaannya.

Itu program motivasi. Saya juga pernah terlibat dalam program 'Mufti Ismail Menk Live In KL' pada tahun 2014.

Dalam siri jelajah tersebut. 3 atau 4 program diadakan secara percuma buat di Masjid. 1 tempat berbayar di Pullman Hotel.

Program secara percuma di masjid UiTM Shah Alam, Masjid di Bangsar, Masjid UIAM.

Ya, memang ramai yang hadir. Tetap jumlahnya tak seramai hadirin yang hadir di program berbayar.

Bukan program Mufti Ismail Menk itu sahaja. Program-program pengajian hadis ke atau seminar fiqh. Atau lain-lain program agama yang lain.

Jika program yang berbayar, memang ramai yang hadir. Walhal apa yang diajar memang ada diajar di masjid surau atau pusat-pusat pengajian Islam lain yang tiada dikenakan bayaran.

Kadang program yang berbayar itu. Ustaz yang menjadi speaker turut ada mengajar di masjid surau secara percuma dengan tajuk yang sama. Tapi tiada nak hadir. Program yang berbayar yang dicari.

Disamping program tersebut tak panjang. Sebab paling lama pun program atau daurah itu selama 2 hari sahaja.

Wallahualam.



___________________________
~Zulfikar Egar~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments