Pemerintah Dipuji Hanya Jika Tuntutan Diberi

OLEH: Ustaz Idris Bin Sulaiman

Demikian sikap sebahagian mereka yang hanya akan berdiam jika permintaan mereka ditunaikan oleh kerajaan.

Mereka mahukan semua harga barangan keperluan dikurangkan, segala kemudahan awam disediakan, perkhidmatan-perkhidmatan awam memenuhi standard piawaian dunia mereka, dan jika boleh mereka mahu hidup bebas daripada segala bentuk kesusahan dan kepayahan.

Jika tidak, nahaslah kerajaan dan pemimpin!

Dia akan mencemuh, memaki hamun, memberi gelaran buruk, memperlekehkan pemimpin negara dengan apa jua cara dan bentuk walaupun dengan menghina rupa paras dan tubuh badan; isteri dan ahli keluarga pun tidak akan terlepas daripada caciannya.

Demikian sikap mereka.

Berikutnya mereka akan mengajak masyarakat termasuk anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, supaya membenci pemerintah, berburuk sangka terhadap pemerintah dan menyebarkan persepsi-persepsi negatif, fitnah memfitnah, menyebarkan apa jua berita tentang pemerintah asalkan ia buruk walaupun ternyata kemudian ia palsu; melakarkan syair-syair mencela pemerintah; semuanya ini mereka lakukan dengan mengatas namakan nasihat (kononnya), amar makruf (walhal perbuatan mereka itu sendiri adalah mungkar), dan untuk membanteras kezaliman (dengan cara yang tak kurang zalimnya?)

Kemuncaknya, mereka akan mengajak masyarakat menjatuhkan pemerintah dengan apa sahaja cara; termasuklah dengan cara demonstrasi dan ketika pilihanraya.

Hujah mereka: demokrasi menghalalkannya. Ya, demokrasi turut menghalalkan arak dan judi jika anda mahu.

Betapa mereka adalah pengekor hawa nafsu yang terperangkap dalam syubhat talbis iblis dan mainan Yahudi Nasrani.

Wahai saudaraku yang beriman, hayatilah sabda Nabi ini:

ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة و لا ينظر إليهم و لا يزكيهم و لهم عذاب أليم ..... و رجل بايع إماما لا يبايعه إلا لدنيا فإن أعطاه منها وفى و إن لم يعطه لم يف
"Tiga golongan yang Allah tidak akan berbicara dengan mereka, melihat mereka mahupun mengampuni dosa mereka, dan bagi mereka azab yang pedih..... Dan seorang lelaki yang menyatakan taat setianya kepada pemerintah, dia hanya berbaiah kerana dunia; jika diberi kepadanya sebahagian daripadanya (habuan dunia itu) dia akan terus taat; dan jika tidak, dia akan menarik ketaatannya."
Riwayat Bukhari & Muslim.

Dia akan menarik ketaatannya dan melakukan hal-hal yang telah disebutkan di atas jika bukan lebih buruk lagi.

Semoga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka.

___________________________
~Ustaz Idris Bin Sulaiman~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments