Doa Arafah | Ikut Waktu Mekah / Malaysia?

OLEH: Dr Idris Sulaiman


Doa hari Arafah pada tanggal 09 Zulhijah ada kelebihan dan fadilatnya.
Sabda Nabi ﷺ:
خَيْرُ ‌الدُّعَاءِ ‌دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Sebaik-baik doa ialah doa hari Arafah.”
[Hasan. Riwayat Tirmizi]

أَفْضَلُ ‌الدُّعَاءِ ‌دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
“Doa paling afdal ialah doa hari Arafah.”
[Hasan. Riwayat Imam Malik]

Ulama ada beberapa pandangan sama ada fadilat doa Arafah ini khusus buat mereka yang berada di Arafah atau ia umum untuk mereka yang berada di tempat lain.

Sebetulnya ia adalah umum dan bahawasanya fadilat doa Arafah bukan sekadar merujuk pada tempatnya iaitu Arafah malah juga harinya iaitu hari Arafah itu sendiri.
Ini tidak menafikan bahawa mereka yang berada di Arafah pada hari itu telah menghimpunkan antara kelebihan tempat dan juga kelebihan masa.

Cumanya telah sabit daripada sebahagian Salaf bahawasanya mereka mengharuskan perbuatan berkumpul di masjid pada hari Arafah di selain Arafah untuk berdoa dan berzikir termasuklah Ibnu Abbas RA.

Ini menunjukkan bahawa mereka tidak melihat kelebihan doa Arafah itu khas buat mereka yang berada di Arafah semata-mata, tetapi untuk mereka yang berada di tempat lain juga.

Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa perbuatan berkumpul di masjid pada hari Arafah untuk berdoa dan berzikir tidak sabit daripada perbuatan Nabi ﷺ dan kerana itu apabila Imam Ahmad ditanya mengenainya beliau menegaskan bahawa beliau tidak melakukan hal tersebut.

Maka dianjurkan untuk memperbanyakkan doa pada hari Arafah iaitu pada tanggal 9 Zulhijah, dari masuk waktu Zuhur sampai terbenam matahari.

Adapun soal sama ada fadilat doa Arafah ini ikut waktu Mekah atau Malaysia (untuk mereka yang tinggal di Malaysia) jawapannya ikutlah waktu Malaysia.

Seperti mana puasa Arafah untuk mereka yang tinggal di Malaysia ikut waktu terbit dan terbenam matahari di Malaysia maka begitu juga dengan doa Arafah ikut waktu di Malaysia, bermula dari masuk waktu Zuhur sampai terbenam matahari pada tanggal 9 Zulhijah.

CATATAN
Hari Arafah di Malaysia tahun ini jatuh pada hari Rabu, 28 Jun 2023.

Ada yang kata doa Arafah hanya untuk jemaah haji di Arafah.
Tetapi ada pula yang kata doa Arafah boleh juga untuk selain jemaah haji di Arafah TETAPI...
Mereka kata doa Arafah kena ikut waktu di Arafah, dari masuk waktu Zohor sampai matahari terbenam di Arafah.

Pendek kata kena ikut waktu di Mekah, kata mereka.
Ini salah dan keliru.

Sebetulnya ikut waktu di tempat masing-masing.
Di Malaysia, waktu PUASA hari Arafah bermula dari terbit matahari sampai terbenam matahari pada tanggal 09 Zulhijah mengikut waktu di MALAYSIA.
Maka begitulah DOA hari Arafah ikut waktu MALAYSIA.

Musykil jika PUASA hari Arafah ikut waktu Malaysia tetapi DOA hari Arafah ikut waktu Mekah.
Ini tidak betul.
Barakallahufikum.



[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments