OLEH: Zulfikar Egar
Kita kena jaga diri kita sungguh-sungguh. Lebih-lebih lagi di zaman kini orang suka tular atau viralkan apa saja jua cerita mahupun kisah.
Maksudnya, seboleh-bolehnyanya kita elakkan dari timbulnya fitnah pada diri sendiri.
Tapi itulah, kadang itu kita kebiasaannya sebagai insan biasa terlupa dan terlepas hingga terbuat perbuatan yang dari akibatnya mampu menjerumuskan kita pada fitnah, lantas mengundang tohmahan.
Siapa yang mengundang tohmahan maka dia akan ditohmah.
Bila membicarakan akan hal ini, ada satu kisah yang pernah terjadi pada baginda Nabi S.A.W dalam kehidupan sehariannya.
Pada suatu hari, ketika mana baginda Nabi S.A.W beriktikaf di dalam masjid, tiba-tiba baginda keluar rumah pada suatu malam. Rumah nabi dan masjid bersebelahan saja.
Dan baginda Nabi pada ketika itu dilihat berdua-duaan dengan seorang perempuan yang pakaiannya tutup litup. Tak nampak wajahnya.
Baik, jika diikutkan hukum. Maka adalah salah bagi seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram berdua-duaan.
Nak dijadikan cerita, ada dua orang lelaki telah melalui kawasan tersebut dan mereka berdua itu nampak nabi tengah berdua-duaan dengan seorang perempuan yang tidak dikenali.
Disebabkan itu adalah baginda nabi, kedua lelaki ini tidaklah mereka menyangka buruk.
Maka kedua lelaki itu mempercepatkan langkah mereka, jalan laju-laju macam buat-buat tak nampak.
Tetapi nabi nampak mereka berdua, walaupun dalam kegelapan malam. Harus diingat pada zaman itu tiada lampu jalan yang menerangi.
Nabi terus kata;
"Nanti dulu wahai kamu berdua".
Kemudian nabi terus buat penjelasan pada ketika itu juga. Kata nabi;
"Ini isteri aku Safiyya binti Huyay"
Nabi cakap macam itu sahaja. Memberi penjelasan bahawa perempuan yang bersama baginda ketika itu adalah isterinya Safiyah binti Huyay R.A.
Ialah, perempuan yang dilihat itu bertutup litup, tak kelihatan wajahnya. Tentu orang yang melihat akan terfikir, siapakah gerangan perempuan itu?
Bila mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W itu, kedua lelaki itu pun berkata;
"Ya Rasulullah, Ya Subhanallah"
"Wahai Rasulullah, Maha suci Allah. Kami tak fikir buruk pun kepada kamu."
Tapi kata Nabi S.A.W menjawab jawapan mereka itu;
"Syaitan ini mengalir dalam tubuh badan manusia ikut saluran darah. Aku takut syaitan campakkan kejahatan dan keburukan dalam hati kamu..."
Ya, betul. Mula-mula memang tidak sangka buruk pada nabi. Tapi bila sampai ke rumah, boleh jadi dua lelaki tersebut akan menceritakan apa yang dilihatnya pada isteri mereka di rumah.
Iaitu Rasulullah berdua-duaan dengan perempuan yang tidak dikenali. Mungkin si isteri yang mendengarnya, pun tak fikir apa-apa.
Tapi esoknya si isteri akan bercerita pula apa yang didengar daripada si suami kepada jiran-jiran masa duduk berbual dengan jiran.
Kesudahannya, tersebar terus kisah itu. Dah jadi panjang ceritanya.
Di situlah kita dapat melihat betapa bijaknya nabi dengan awal-awal lagi walaupun kedua lelaki itu nak jalan laju-laju, tapi nabi selagi boleh nak tutup pintu fitnah pada dirinya. Bagi penjelasan terus.
Maka di sinilah kita kena sehabis mungkin juga cuba tutup pintu fitnah. Sedangkan nabi pun berbuat demikian, apatah lagi kita.
Itulah sebaik-baik pengajaran pada kita, tidak kira orang biasa mahupun asatizah.
Wallahualam.
*Rujukan:
- Ustaz Muhammad Fahmi Rusli - Syarah Muktasar Zadul Maad (2019)
___________________________
Zulfikar Egar
Lajnah Agama
Lajnah Agama
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment