OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Firman Allah SWT:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّبِیُّ إِنَّاۤ أَرۡسَلۡنَـٰكَ شَـٰهِدࣰا وَمُبَشِّرࣰا وَنَذِیرࣰا وَدَاعِیًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ وَسِرَاجࣰا مُّنِیرࣰا
“Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.”
[Surah Al-Ahzab: 45 - 46]
Dalam ayat ini terdapat 5 sifat Rasulullah ﷺ, iaitu:
1. Syahid (saksi terhadap umat)
2. Mubasysyir (pembawa berita gembira)
3. Naziir (pemberi amaran ancaman)
4. Da’ie (penyeru/pendakwah)
5. Sirajun-Munir (lampu yang menerangi)
Imam Ibnu Kathir r.h menjelaskan makna "Syahid" kata beliau: “Yakni yang menyaksikan keEsaan Allah dan bahawa tidak ada Tuhan (yang berhan disembah) melainkan Allah, juga sebagai saksi terhadap umat manusia tentang amal perbuatan mereka kelak di hari kiamat, dan Kami datangkan kamu sebagai saksi atas mereka itu.”
Seterusnya berkenaan makna "Mubasysyir dan Naziir" dijelaskan: “Iaitu menyampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin dengan pahala yang berlimpah, dan pemberi peringatan kepada orang-orang kafir dengan siksaan yang mengerikan.”
"Da‘ie ila Allah", dijelaskan: “Maksudnya menyeru kepada semua makhluk untuk menyembah Tuhan mereka.”
"Sirajan-Munir", dijelaskan: “Yakni kebenaran yang kamu sampaikan sangat jelas dan terang perihalnya sama dengan kejelasan dan terangnya sinar matahari, tiada seorang pun yang mengingkarinya kecuali hanya orang yang membangkang tidak mahu tunduk kepada kebenaran.” (Tafsir Ibnu Kathir)
Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
فَإِنَّهُ قَدْ أُنْزِلَ عَلِيَّ: يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا عَلَى أُمَّتِكَ وَمُبَشِّرًا بِالْجَنَّةِ، وَنَذِيرًا مِنَ النَّارِ، وَدَاعِيًا إِلَى شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ بِإِذْنِهِ، وَسِرَاجًا مُنِيرًا بِالْقُرْآنِ
“Kerana sesungguhnya telah diturunkan kepadaku, "Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi atas umatmu dan pembawa khabar gembira syurga dan pemberi peringatan dari neraka serta menyeru (manusia) untuk bersaksi bahawa tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, "dengan izinNya, dan sebagai pembawa lampu pelita yang menerangi melalui Al-Quran.” (HR. Ibnu Abi Hatim dan At-Tabrani)
___________________________
Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________
Comments
Post a Comment