OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Sebenarnya di dalam hati sekian banyak orang Nasrani dan Yahudi terdetik kecintaan kepada Islam. Hanya sahaja Iblis sentiasa menghalangi mereka, seraya berkata: “Tak perlu tergesa-gesa, fikirlah sekali lagi secara matang.” Iblis terus-menerus membisikkan hal itu sehingga mereka meninggal dunia dalam keadaan kafir.
Iblis juga merintangi orang yang derhaka untuk bertaubat, lalu menjadikan syahwat sebagai tujuan hidupnya, sebagaimana yang dikatakan seorang ahli syair:
“Jangan tergesa melakukan dosa kerana berahi...
dan jangan berharap taubat untuk di kemudian hari.”
Berapa ramai orang yang mempunyai hasrat yang kuat dibuai angan-angan, dan berapa ramai orang hendak berbuat baik dirintangi iblis. Adakalanya seorang berilmu hendak mendalami lagi ilmunya. Namun Iblis membisikkannya, “Berehatlah dahulu sekejap.” Atau ada seorang ahli ibadah yang sengaja menangguhkan solat malamnya, lalu Iblis membisikkannya, “Engkau masih ada masa yang panjang.”
Iblis sentiasa mendorong manusia untuk bermalas-malasan, berandai-andaian dalam kerja dan menyandarkan segala urusan semata-mata kepada angan-angan.
Orang yang mempunyai semangat hendaklah bertindak berdasarkan semangatnya. Sebab semangat adalah roda waktu dan menghilangkan angan-angan. Orang yang takut tidak akan berasa selamat dan apa yang sudah pergi tak akan kembali lagi.
Penyebab dari segala keterbatasan dalam kebaikan atau kecenderungan kepada keburukan adalah angan-angan yang melampau. Manusia selalu mempunyai bisikan untuk mengerjakan keburukan dan kebaikan, kerana sememangnya mereka diciptakan dengan keadaan seperti itu. Tidak dapat diragukan bahawa orang yang berangan-angan dapat mengadakan perjalanan pada siang hari, tentu akan melakukannya tanpa semangat, dan siapa yang berangan-angan dan mengharapkan kedatangan pagi hari, tentu akan bekerja secara malas di malam harinya. Namun siapa yang membayangkan kematian tentu akan bersemangat.
Di kalangan Salaf ada yang berkata: “Aku memperingatkan kamu tentang berandai-andaian, kerana berandai-andaian itu merupakan pasukan Iblis yang paling besar.”
Perumpamaan orang yang bertindak secara berhati-hati dan orang yang santai kerana bergantung pada angan-angannya, seperti sekumpulan orang yang hendak bermusafir perjalanan yang jauh. Orang yang bertindak secara berhati-hati mencari bekal untuk perjalanannya, lalu duduk untuk mempersiapkan diri. Tetapi orang yang sombong dan bertindak berdasarkan angan-angannya, terus sahaja mengarahkan haiwan tunggangannya. Orang yang bersedekah dengan berhati-hati boleh selamat manakala orang yang sombong akan celaka.
Begitulah perumpamaan manusia di dunia, ada yang sedar dan mempersiapkan diri dan ada pula orang yang terpedaya. Orang pertama tidam akan terkejut jika kematiannya menghampirinya, sedangkan orang kedua menjadi ketakutan dan menyesal ketika saat meneruskan perjalanan hidupnya. Jika hal itu sudah menjadi sifatnya, tentu sukar untuk mengubahnya dengan mujahadah, kecuali jika dia benar-benar sedar, bahawa dia sedang berada di kancah peperangan, sementara musuh tidak pernah lalai mengintai dirinya. Jikalau pun secara zahir musuh tidak mengintainya, maka dia dapat menyusup ke dalam batinnya dan membuat tipu daya.
Kita memohon keselamatan kepada Allah dari tipu daya dan godaan syaitan, kejahatan jiwa dan dunia. Sesungguhnya Dia Maha Dekat dan Maha Mengabulkan doa. Semoga Allah menjadikan kita termasuk golongan orang-orang yang beriman.
(Talbis Iblis, bab 13, bab terakhir, Ibnul Jauzi)
Disunting oleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
___________________________
~Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi~
Pendakwah Bebas
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
_____________________________

Comments
Post a Comment