Pengharaman Muzik, Lagu dan Nasyid

OLEH: Ustaz Abid Annuriyy

Pengharaman Muzik, Lagu dan Nasyid.

Muzik adalah arak kepada jiwa. Apabila manusia mabuk dengan suara-suara muzik dan nyanyian, berlakulah syirik lalu mereka cenderung kepada fawahish dan kezaliman. Ulama 4 mazhab bersepakat mengharamkan semua jenis alat muzik. Mereka berdalilkan ayat-ayat al-Quran dan beberapa hadis yang menyebut tentang alat-alat muzik yang ditegah oleh syarak.


Dalil Pengharaman Muzik.

Ulama Sunnah telah mendatangkan beberapa nas-nas al-Quran dan hadith-hadith sahih dalam fatwa mereka. Antara dalil dari al-Quran ialah: surah Luqman ayat 6 dan Surah al-Isra’ ayat 63-64. Al-Furqan ayat 72.
.
Firman Allah:
.
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ (6) وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّى مُسْتَكْبِرًا كَأَنْ لَمْ يَسْمَعْهَا ...
.
Maksudnya:
Dan ada di antara manusia ada orang yang memilih serta membelanjakan hartanya untuk lahwal hadith iaitu cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama ALLAH dengan tidak berdasarkan sebarang ilmu pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama ALLAH itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.
(Surah Luqman: 6)
.
Perkataan ‘lahwal hadith’ di dalam ayat ini ditafsirkan sebagai nyanyian (nasyid). Ini menurut riwayat yang sahih daripada Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Ibnu ‘Umar. Malah Ibnu Mas’ud telah bersumpah 3 kali dengan berkata, “Demi Allah, yang tiada sembahan yang benar melainkan DIA, maksudnya adalah nyanyian.” Mujahid berkata al-lahw ialah hiburan gendang. (al-Tabari). Al-Hasan al-Basri berkata, “Ayat ini turun berkenaan nyanyian dan seruling-seruling.” (Ibn Kathir).
.
Al-Wahidi berkata, “Ini menunjukkan pengharaman nyanyian (muzik).” Ini disebut oleh Ibnu al-Qayyim dalam Ighathat al-Lahfan dan lain-lain. Lihat Tafsir al-Qurtubi dan al-Jalalayn.
.
Al-Hakim dalam kitabnya pula menyebut bahawa tafsir sahabat berada pada tahap hadis yang marfu’. Ibnul Qayyim turut menambah yang hadis para sahabat adalah lebih berautoriti dan lebih layak diterima berbanding tafsiran para ulama yang datang selepasnya.

Abu Umamah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
.
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ بَعَثَنِي هُدًى وَرَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ ، وَأَمَرَنِي بِمَحْقِ الْمَعَازِفِ ، وَالْمَزَامِيرِ ، وَالأَوْثَانِ ، وَالصُّلُبِ ، وَأَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ ،
“Bahawa ALLAH telah membangkitkan saya menjadi Nabi dengan membawa hidayat dan rahmat kepada orang-orang mukminin. ALLAH telah memerintahkan saya supaya menghapuskan alat ma’azif (alat bunyi-bunyian), alat-alat mazamir (seperti seruling) dan alat-alat awtar (alat-alat muzik bertali), salib dan perkara-perkara jahiliyyah ….”.
(Sahih Hadith Riwayat Abu Dawud al-Toyalisi, no. 1218).

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Dawud al-Toyalisi dan lafaz hadis ini dari riwayatnya dan juga diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad ibn Hanbal.

Hadis Abu Umamah ini terdapat pada rawinya ‘Ali ibn Yazid al-Alhani dan dia adalah lemah keadaannya, tetapi oleh kerana ia disokong oleh sumber yang lain seperti hadis Ibn Mas’ud dan lain-lain sahabat maka hadis ini menjadi hasan.


___________________________
Ustaz Abid Annuriyy ~
Pendakwah Bebas
_____________________________

Comments