Sebelum Menasihati, Dengarlah Nasihat

OLEH : Shahrul Aiman

Tulisan ini ditujukan kepada pemuda pemudi yang diberikan anugerah oleh Allah untuk menasihati kaum muslimin.

Sejak akhir-akhir ini, saya telah melihat satu fenomena atau perubahan positif, yang telah ditonjolkan oleh para pemuda dan pemudi Islam di Malaysia. Perubahan yang dimaksudkan ialah tumbuhnya para dai', para pencegah amar makruf nahi munkar dari kalangan anak muda, khususnya di laman sosial. Namun begitu, saya telah mendapati beberapa kaedah atau disiplin dakwah yang telah ditinggalkan oleh sebahagian besar para penasihat, muda mahupun tua, lelaki mahupun perempuan.




1. Tauhid.
Kebanyakkan pemuda, apabila mereka ingin memberi nasihat, mereka sering mengeraskan soal fiqh berbanding tauhid. Sedangkan tiada guna mengajar fiqh kepada mereka yang mempunyai aqidah yang rosak. Bahkan tauhid merupakan tunjang utama bagi setiap muslim untuk menerima nasihat.

Sebelum nasihat berkaitan kesalahan fiqh, nasihatilah dahulu mereka tentang tuhan mereka. Rasa berharap mereka kepada siapa, dan pelbagai persoalan dan nasihat yang penting berkaitan akidah.

Tauhid adalah kunci ibadah, tanpa tauhid ibadah akan sia-sia. Syaikh Muhammad At-Tamimi menjelaskan,

اعلم أن العبادة لا تسمى عبادة إلا مع التوحيد، كما أن الصلاة لا تسمى صلاة إلا مع الطهارة، فإذا دخل الشرك في العبادة فسدت 
“Ketahuilah, Ibadah tidak bisa disebut ibadah (tidak sah) tanpa tauhid. Sebagaimana shalat tidak bisa disebut shalat (tidak sah) tanpa thaharah (bersuci). Apabila ibadah termasuki oleh syirik maka akan menjadi rusak.” 
[Matan Qawaidul Arba’].



2. Ilmu.
Para pemuda yang ingin menasihati pelaku maksiat, pelaku kesalahan, perlulah mempunyai ilmu asas yang cukup kuat, terutama sekali berkaitan dengan apa yang dia nasihatkan. Contoh dia ingin memberi nasihat berkaitan kesalahan didalam solat, dia perlulah memahami dalil dan pendapat ulama berkaitan dengan solat.

Rujukan para da'i pula haruslah berpandukan Al-Quran, Hadis dan atsar yang sahih serta ulama yang berpandukan kepada pemahaman salafussoleh.

Pemahaman salah berkaitan memberi fatwa ialah, hanya jawapan mufti layak disebut fatwa manakala jawapan orang biasa berkaitan hukum hakam tidak dikatakan sebagai fatwa. Sebenarnya, fatwa itu juga dikira sekiranya orang biasa yang memberi jawapan berkaitan hukum hakam agama.

Imam Abu Ja’far Ath-Thahawi rohimahulloh menyatakan di dalam aqidah Thahawiyahnya yang masyhur: “Dan kami berkata: “Wallahu A’lam (Allah Yang Mengetahui)”, terhadap perkara-perkara yang ilmunya samar(tidak jelas) bagi kami”.
[Minhah Ilahiyah Fii Tahdzib Syarh Ath-Thahawiyah, hal: 393]



3. Adab.
Seorang penasihat hendaklah beradab dengan orang yang ingin dinasihatinya. Saya pernah melihat sebahagian pemuda termasuklah orang-orang tua apabila menasihati tentang agama, mereka menggunakan kara-kata kesat, menggunakan perumpamaan yang buruk dan huduh, sehinggakan ia tidak mencerminkan Islam bahkan mencerminkan kesesatan.

Perbaikilah bahasamu, lunakkan suaramu, dan ingatlah Allah dalam dakwahmu. Maka saya mengharapkan semoga Allah membantu para pendakwah dalam memperbaiki akhlak mereka.

Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِى شَىْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَىْءٍ إِلاَّ شَانَهُ 
Ertinya, “Setiap sikap kelembutan yang ada pada sesuatu, pasti akan menghiasinya. Dan tidaklah ia dicabut dari sesuatu, kecuali akan memperburuknya. 
(HR. Muslim).


4. Sikap Ketika Nasihat Kita Ditolak.
Tidak semua manusia mampu menerima kebaikan nasihat secara serta-merta. Pasti akan ada yang menolak, menentang dan menempelak. Ini merupakan jalan yang perlu ditempuh oleh para pendakwah sunnah, sejak dari zaman berzaman. Namun penolakan terhadap dakwah/nasihat ini tidaklah melelahkan kita kerana kita mengharapkan pahala pada setiap kesakitan fizikal atau mental, atau keduanya sekali. Jangan berkeras dan memaksa dalam dakwah/nasihatmu. Kerana hidayah Allah tidaklah masuk kedalam hati manusia dalam keadaan terpaksa/memaksa.

Sikap kita apabila ditolak ialah dengan mendoakan kebaikan serta sentiasa berprasangka baik. Mungkin Allah akan memberikan hidayah pada akhir hidupnya InsyaAllah. Perlu kita ingat kembali bahawa kita adalah pendakwah bukannya pemberi hidayah. Jangan kerana terlalu mengikut emosi kita terus mengkafirkan atau menghina pelaku maksiat, orang fasik dsb.

Dari Ibnu Mas'ud radhiyallahu 'anhu dia berkata, 

Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ 
"Mencela seorang muslim merupakan kefasikan dan memeranginya merupakan kekufuran." 
(Muttafaqun 'alaih, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)



5. Taksub Terhadap Nasihatnya.
Ini merupakan kesalahan yang banyak berlaku dalam diri para pendakwah khususnya mereka yang masih muda umurnya. Apabila sifat ini berada dalam diri, maka mulalah isu kafir mengkafir, sedangkan mereka berselisih dalam hal yang boleh dipersilisihkan kecuali dalam hal aqidah.


6. Tidak Beramal Dengan Nasihatnya.
Dari Abu Zaid Usamah bin Zaid bin Harithah radhiAllahu anhuma berkata, saya mendengar Rasulullah sallAllahualaihi wa sallam bersabda:

 يُؤتى بالرجل يومَ القيامةِ . فيُلقى في النارِ . فتندلِقَ أقتابُ بطنِه . فيدورُ بها كما يدورُ الحمارُ بالرَّحى . فيجتمع إليه أهلُ النارِ . فيقولون : يا فلانُ ! مالَكَ ؟ ألم تكن تأمرُ بالمعروفِ وتنهى عن المنكرِ ؟ فيقول : بلى . قد كنتُ آمُرُ بالمعروفِ ولا آتِيه ، وأنهى عن المنكرِ وآتِيه 

“Didatangkan seorang lelaki pada Hari Kiamat, lalu dicampakkan dia ke dalam Api Neraka. Maka terkeluarlah usus dari perutnya. Lalu dia berputar-putar dengannya sebagaimana berputarnya seekor keldai di dalam penggiling. Lantas penghuni neraka berkumpul dan bertanya: “Wahai fulan, kenapa kamu begini? Bukankah kamu dulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran?” Maka lelaki itu menjawab: “Ya, bahkan benar. Saya dulu menyuruh kepada kebaikan tetapi saya sendiri tidak melakukannya. Dan saya menegah kemungkaran tetapi saya sendiri melakukannya.” 
(HR al-Bukhari & Muslim)



7. Nasihatnya Mencemarkan Agama.
Nasihat tanpa ilmu dan adab akhirnya akan mencemarkan dan menjatuhkan martabat agama. Meskipun dia seorang yang ikhlas ingin memperjuangkan ketinggian agama.


Rujukan : 

https://binbaz.atturots.or.id/berita-mencaci-muslim-adalah-kefasikan-dan-membunuhnya-adalah-kekufuran.html
https://muzir.wordpress.com/2013/04/02/ancaman-buat-orang-yang-cakap-tak-serupa-bikin/
muslim.or.id
muslimah.or.id


___________________________
~Shahrul Aiman~
Lajnah Agama
_____________________________

Comments