Salafi Bukan Aliran

OLEH: Muhd Faiz Sazali

Salafi bukan suatu aliran tetapi orang Islam yang mengikuti Manhaj Salaf walaupun mereka tidak menyedari yang mereka ikuti itu adalah benar iaitu mengikut metodologi pemahaman Sahabat.

Mereka yang menganggap Salafi adalah sebuah aliran kita boleh katakan orang tersebut adalah keliru. Mereka tidak amati dan belum memahami apa itu Manhaj Salaf.

Manhaj Salaf itu adalah prinsip dan pemahaman yang mana caranya adalah mengikut pemahaman Salaf. Pemahaman yang wajib diikuti adalah pemahaman Sahabat. Tidak boleh kita memperselisihi pemahaman Sahabat.

Sahabat lebih dekat dengan Nabi Muhammad solallahu alaihi wa sallam. Sahabat lebih faham dengan Islam. Sahabat menyaksikan sendiri bagaimana wahyu diturunkan. Mengapa kita mahu mengetepikan Sahabat dalam memahami agama Islam? Menolak Sahabat samalah kita menolak Rasulullah solallahu alaihi wa sallam, menolak Rasulullah solallahu alaihi wa sallam samalah kita menolak Kalamullah.

Pertama-tamanya, tidak lain tidak bukan untuk memahami agama ini WAJIB kita ikut faham bagaimana Sahabat faham dengan Kalamullah. Siapa ahli ilmu iaitu penafsir Al Quran dikalangan Sahabat? Antaranya Khulafa' Ar Rasyidin yang Empat, kemudian Abdullah bin Mas’ud rodhiyallahu anhu, Abdullah bin Abbas rodhiyallahu anhu, Abdullah bin Zubair rodhiyallahu anhu, Zaid bin Thabit rodhiyallahu anhu, Ubay bin Kaab rodhiyallahu anhu dan Abu Musa Al-Asy’ari rodhiyallahu anhu.

Kedua, tidak lain tidak bukan untuk memahami agama ini WAJIB kita ikut faham bagaimana Sahabat faham dengan Hadis Rasulullah solallahu alaihi wa sallam. Siapa ahli Hadis dikalangan Sahabat? Pastinya yang banyak meriwayat hadis dikalangan Sahabat adalah Abu Hurairah rodhiyallahu anhu, Ibnu Umar rodhiyallahu anhu, Anas Bin Malik rodhiyallahu, Aisyah Bintu Abu Bakr rodhiyallahu anha, Ibnu Abbas rodhiyallahu anhu, Jabir Bin Abdullah rodhiyallahu anhu, Abu Said Al-Kudri rodhiyallahu dan lainnya.

Sekiranya kita mengetepikan mereka (Sahabat) samalah kita mengetepikan Rasulullah solallahu alaihi wa sallam kerana tanpa mereka Islam ini tidak akan ditegakkan dan dakwah Islam tidak bertebaran sampai kepada kita.

Setelah itu barulah mengikuti Tabien dan Tabiut Tabien iaitu generasi yang mendapat kemulian dari Nabi solallahu alaihi wa sallam sebagai generasi Islam yang terbaik. Tabien mempelajari ilmu agama daripada Sahabat dan Tabiut Tabien mempelajari ilmu agama daripada Tabien.

Malah mengetepikan mereka, bermakna kita telah menyeleweng dan tersasar daripada agama Islam yang sebenar.


___________________________
Muhd Faiz Sazali
_____________________________

Comments