Menyentuh Isu Amalan Daripada Mimpi

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Menyentuh isu amalan daripada mimpi yang dibincangkan secara hangat sehari dua ini, ingin dijelaskan bahawa pada asasnya Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah mempunyai sikap yang sederhana dalam masalah ini. Mereka tidak menjadikan mimpi orang yang soleh sebagai sandaran hukum, tetapi tidak pula sampai menganggapnya “mainan tidur” semata-mata.

Sebenarnya, menjadikan mimpi sebagai “rujukan” atau “penguat” (mengelak perkataan “hujah” dan “dalil”) dalam masalah agama sudah ada sejak zaman salaf dan mutaqaddimīn. Perkara ini bukanlah baharu, bahkan adakalanya ia dijadikan "rujukan" dalam masalah fiqh. Ibnu Abī Shaybah dalam bab “Orang yang Membenci Ciuman bagi Orang yang Berpuasa dan Tidak Memberi Keringanan dalam Hal Tersebut” memasukkan riwayat Saidina ‘Umar RA bermimpi bertemu Rasulullah SAW yang menguatkan hujah dalam bab berkenaan.

Riwayat yang lemah tersebut berbunyi, “aku menemui Rasulullah SAW dalam tidur, lalu aku mendapati baginda tidak memandangku. Aku pun bertanya, ‘Rasulullah, apa masalahku?’ Jawab baginda, ‘bukankah engkau yang bercium semasa berpuasa?’ [Katanya (‘Umar)], ‘demi Zat yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak akan bercium selepas daripada itu dalam keadaan berpuasa.’

Ulama-ulama berakidah dan bermanhaj salaf juga melakukan hal yang sama. Dalam fadilat menulis selawat, Imam Ibnu al-Qayyim memasukkan riwayat-riwayat ulama bermimpi orang-orang yang menulis selawat mendapatkan kebaikan. Sedia maklum bahawa tidak ada satu pun hadis sahih yang menganjurkan amalan menulis selawat, dan semuanya bersumberkan amalan ulama dan riwayat mimpi.

Tidak semua mimpi menganjurkan amalan baharu yang tidak disyariatkan dalam sunnah. Adakala mimpi itu dijadikan rujukan untuk menolak amalan bidaah. Telah disebutkan sebelum ini, Syeikh al-Sha‘rānī, ulama sufi terkenal bermimpi Rasulullah SAW yang difahami olehnya mengesahkan pendapat Syeikh ‘Abd al-Raḥmān al-Tājūrī yang menolak amalan membaca al-Fātiḥah ketika bersurai.

Riwayat-riwayat mimpi yang menceritakan pujian dan pengiktirafan – atau celaan dan penolakan – kepada iktikad, ulama, kitab, dan aliran tertentu yang kadang-kadang menjadi sebab ulama bertukar mazhab dan manhaj terlalu masyhur, maka rasanya tidak perlu diceritakan lagi. Namun, semua itu tidak menunjukkan mimpi bernilai hujah setaraf hadis sahih, kerana para ulama bersepakat menolak kehujahan mimpi dalam mensabitkan hukum syariat, baik untuk diri sendiri mahupun orang lain. Kerana itulah, dinukilkan ijmak bahawa mimpi tidak boleh dijadikan panduan untuk menentukan permulaan Ramadan, walaupun untuk diri sendiri dan meskipun yang dimimpikan itu adalah Rasulullah SAW.

Penolakan mimpi sebagai sumber pensyariatan adalah amalan yang masyhur. Ibnu ‘Abd al-Salām yang digelar “sultan ulama” menolak amalan menghadiahkan pahala kepada si mati dengan katanya, “dan anehnya, ada orang yang mengisbatkannya dengan mimpi sedangkan mimpi bukanlah sebahagian daripada hujah syarak yang boleh menyabitkan hukum. Boleh jadi mimpi itu datang daripada khayalan dan muslihat syaitan.”

Pada hemat saya, mimpi boleh dikatakan seperti hadis yang lemah atau seperti hadis ‘Amr b. Shu‘ayb daripada ayahnya, daripada datuknya yang disebutkan oleh Imam Aḥmad, “ahli hadis bilamana mahu, mereka berhujah dengan hadis ‘Amr b. Shu‘ayb daripada ayahnya, daripada datuknya; dan bilamana mahu, mereka meninggalkannya.” Dengan kata mudahnya, mimpi boleh dijadikan rujukan dan sokongan (bukan hujah atau dalil), tetapi pada masa yang sama boleh ditolak dan diingkari.

Sejauh mana mimpi boleh dijadikan rujukan dan sokongan memerlukan kajian yang lebih teliti. Demikian juga persoalan adakah boleh mengamalkan amalan khususnya zikir yang diambil menerusi mimpi para ulama dan orang soleh, bolehkah menghebahkan kepada orang lain, dan adakah amalan yang diambil daripada mimpi boleh digunakan dalam perubatan dan ruqyah - lebih-lebih lagi apabila disahkan dengan tajribah - semua ini perlu dibahaskan semula. (Apa yang saya tulis hanyalah masalah beramal dengan mimpi secara umum, tanpa menyentuh mana-mana tulisan atau pandangan secara khusus.)

Tidak terhad kepada masalah mimpi sahaja, persoalan adakah boleh mengamalkan doa atau zikir yang disusun oleh ulama dengan khasiat khusus juga perlu dirungkai dengan baik, kerana para ulama muktabar pun pernah mengamalkannya. Selain Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah, Imam al-Nawawī yang menulis kitab al-Adhkār pun mengamalkan bacaan ‘wahai Zat yang menghimpun manusia untuk hari yang tiada keraguan padanya, pulangkan semula barang yang aku hilang’ yang dikatakan dibaca oleh Ja‘far al-Khuldī. Katanya, “saya mengamalkan doa ini dan mendapatinya bermanfaat dan menjadi sebab menemui benda hilang - biasanya berhampiran dan tidak rosak.”

Walau bagaimanapun, semua yang tidak wārid daripada al-Quran dan sunnah boleh dipertikaikan. Jadi, untuk selamat dan mendapat jaminan, utamakan amalan yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. Inilah yang disepakati oleh ulama Islam seluruhnya. Syeikh Jamāl al-Dīn al-Ahdal dalam kitab ‘Umdah al-Muftī wa-al-Mustaftī menegaskan hal ini dan akhir kalamnya, “maka yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah memadai daripada selainnya. Hampir dengan itu adalah yang diambil daripada kedua-duanya seperti ḥizb al-Nawawī, al-Qārī, Ibnu ‘Arabī, dan lain-lain itu baik, tetapi yang datang daripada shāri‘ lebih elok dan indah.”


___________________________
 Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments