Allah Adil Menentukan Hak Jantina

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Tidak dinafikan bahawa banyak kelebihan diberikan syarak kepada lelaki berbanding kepada perempuan, sehingga menyebabkan ramai perempuan cemburu dan adakalanya sampai memberontak.

Namun sebenarnya tiada sebab untuk mereka cemburu. Hal ini kerana, jika diteliti, kelebihan itu tidaklah lebih banyak berbanding tanggungjawab yang dipikul mereka. Misalnya dalam pembahagian pusaka, meskipun anak lelaki mendapat lebih banyak bahagian pusaka berbanding anak perempuan, harta kepunyaan mereka bukanlah milik mereka sepenuhnya.

Ini kerana tugas menyara keluarga - termasuk adik-beradik perempuan di bawah tanggungan mereka - menjadi tanggungjawab mereka, sementara perempuan, mereka boleh membelanjakan harta mereka sesuka hati kerana mereka tidak perlu menyara sesiapa.

Lelaki boleh keluar rumah pada bila-bila masa dan ke mana sahaja yang mereka mahu tanpa perlu ditemani mahram atau bertudung kepala, tetapi pada masa yang sama mereka diperintahkan untuk solat berjemaah di masjid lima kali sehari, keluar bekerja mencari rezeki, dan berjihad.

Perempuan, walaupun disuruh melazimi rumah dan berhijab, mereka tidak diwajibkan keluar walaupun untuk solat Jumaat. Mereka hanya perlu keluar untuk solat hari raya dan menunaikan haji. Tugas mencari rezeki atau berperang pula tidak dibebankan di bahu mereka.

Walaupun bapa adalah ketua keluarga, namun dalam berbakti kepada orang tua, ibulah yang lebih utama. Kesakitan yang dialami perempuan semasa haid dan bersalin pula, dibantu syarak dengan memberikan mereka rehat daripada menunaikan solat dan berpuasa - rehat yang tidak pernah diberikan kepada lelaki, walaupun yang sedang sakit tenat.

"Apabila wanita solat lima waktu, berpuasa pada bulannya, menjaga kemaluannya, dan mentaati suami, dikatakan kepadanya, 'masuklah syurga dari mana-mana pintu yang engkau kehendaki.'"


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments