Benarkah 4 Imam Mazhab Sepakat Tarawih Adalah 20 Rakaat?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kerap kali saya mendengar para imam dan ustaz-ustaz mengatakan keempat-empat mazhab bersepakat mengatakan bilangan rakaat tarawih adalah 20 rakaat. Kalau ada pendapat lain, itu adalah 36 rakaat, bukan lapan. Maksud mereka, solat tarawih lapan rakaat yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam di negara ini adalah mengikut pendapat syaz.

Lebih dahsyat, disebabkan pendapat tersebut sangat asing dan dimasyhurkan oleh Kaum Muda dan Wahabī, mereka menyangka pendapat tersebut rekaan golongan yang dianggap sesat itu, sampaikan ada yang berkeras bertarawih sebanyak 20 rakaat demi mengelak mengamalkan pendapat tarawih lapan, walaupun dengan sangat laju!

Lama sebelum ini saya mencari-cari ulama yang menyokong pendapat yang mengatakan bilangan rakaat tarawih ialah lapan rakaat, tetapi tidak berjaya menemukan mana-mana ulama mutaqaddimīn yang jelas berpendapat begitu, biarpun ia disokong dengan hadis yang sahih.

Selepas mentaḥqīq pendapat Imam al-Shāfi‘ī dalam masalah afḍaliyyah berjemaah atau bersendirian dalam solat tarawih tahun lepas, saya berhasil menemukan sesuatu perkara yang menarik. Antaranya, senarai ulama mutaqaddimīn yang berpendapat solat tarawih adalah lapan rakaat iaitu:

1. Imam Mālik (179 H) dalam satu riwayat.

2. Dāwūd al-Ẓahīrī (270 H).

3. Kadi Abu al-Ḥasan al-Jūrī al-Shāfi‘ī (selepas 300 H).

Semua ini diambil daripada kata-kata Imam al-Damīrī (808 H) dalam al-Najm al-Wahhāj:

وقال مالك: التراويح إحدى عشرة ركعة بالوتر، واختاره الجوري من أصحابنا، وهو مذهب داوود...
"Kata (Imam) Mālik, tarawih 11 rakaat bersama witir dan dipilih oleh al-Jūrī daripada aṣḥāb kita. Itu juga mazhab Dāwūd…"

Pendapat ketiga Imam Mālik itu juga dinukilkan oleh Ibnu Sha‘bān al-Mālikī (355 H). Al-Lakhmī (478 H) menukilkan dalam al-Tabṣirah bahawa Ibnu Sha‘bān mengatakan dalam kitabnya, Mukhtaṣar Mā Laysa bi-al-Mukhtaṣar:

الذي يأخذ بنفسي في ذلك الذي جمع عليه عمر - رضي الله عنه - الناس إحدى عشرة ركعة بالوتر، وهي صلاة رسول الله - صلى الله عليه وسلم -، وإحدى عشرة ركعة من ثلاث عشرة ركعة قريب.
"Yang aku pilih dalam hal itu (rakaat tarawih) ialah bilangan rakaat yang orang ramai dihimpunkan oleh 'Umar RA iaitu 11 rakaat bersama witir dan ia adalah solat Rasulullah SAW. 11 rakaat dan 13 rakaat itu hampir."

Sebenarnya, nukilan Ibnu Sha'bān daripada Mālik lemah kerana banyak gharā'ib di sisi ulama mazhab Mālikī, tetapi ia disokong oleh nukilan al-Jūrī daripada Imam Mālik, sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Sayuti (911 H) dalam al-Maṣabiḥ fī Ṣalāh al-Tarāwiḥ daripada al-Subkī (756 H), iaitu:

وَقَالَ الجوري مِنْ أَصْحَابِنَا: عَنْ مالك أَنَّهُ قَالَ: الَّذِي جَمَعَ عَلَيْهِ النَّاسَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ أَحَبُّ إِلَيَّ، وَهُوَ إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً، وَهِيَ صَلَاةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قِيلَ لَهُ: إِحْدَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بِالْوَتْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ وَثَلَاثَ عَشْرَةَ قَرِيبٌ، قَالَ: وَلَا أَدْرِي مِنْ أَيْنَ أُحْدِثَ هَذَا الرُّكُوعُ الْكَثِيرُ؟
"Kata Mālik, 'yang orang ramai dihimpunkan oleh 'Umar b. al-Khaṭṭāb lebih aku sukai iaitu 11 rakaat dan ia adalah solat Rasulullah SAW.' Beliau ditanya, '11 rakaat bersama witir?' Jawabnya, 'ya, dan 13 rakaat itu hampir.' Katanya lagi, 'aku tidak tahu daripada mana mereka mengada-adakan rakaat yang banyak ini.'

Jika sumber mereka berbeza sebagaimana berbezanya bentuk dan lafaz masing-masing, riwayat ini kuat dan boleh dijadikan asas untuk mengatakannya pendapat ketiga Imam Mālik.

Nukilan al-Damīrī daripada al-Jūrī tentang pendapat beliau mungkin tidak tepat. Yang tepat barangkali ialah pendapat tiada bilangan khusus rakaat tarawih sebagaimana yang dinisbahkan oleh beliau kepada Imam al-Shāfi‘ī (204 H). Katanya – sebagaimana nukil al-Sayūṭī:

إِنَّ عَدَدَ الرَّكَعَاتِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ لَا حَدَّ لَهُ عِنْدَ الشَّافِعِيِّ ; لِأَنَّهُ نَافِلَةٌ.
"Bilangan rakaat dalam (qiyām) bulan Ramadan tiada had di sisi al-Shāfi‘ī kerana ia adalah solat sunat."

4. Imam Ibnu al-'Arabī al-Malikī (543 H). Katanya dalam 'Āriḍah al-Aḥwadhī:

والصحيح أن يصلي إحدى عشرة ركعة صلاة النبي عليه الصلاة والسلام وقيامه فأما غير ذلك من الأعداد فلا أصل له ولا حد فيه... وهذه الصلاة هي قيام الليل فوجب أن يقتدى فيها بالنبي عليه السلام.
"Yang sahihnya adalah solat sebanyak 11 rakaat seperti solat Nabi SAW dan qiyām baginda. Adapun bilangan-bilangan selain daripada itu, tiada asalnya dan tiada had di dalamnya... Dan solat (tarawih) ini adalah qiamullail, maka wajib mengikut Nabi SAW di dalamnya."

Kesimpulannya, pendapat yang mengatakan bilangan rakaat tarawih adalah lapan rakaat - walaupun bukan pendapat masyhur dan muktamad dalam mazhab empat - telah difatwakan oleh sebahagian ulama mutaqaddimīn dari pelbagai mazhab. Bahkan, pendapat yang dianggap keras dan keterlaluan selama ini iaitu tidak boleh bertarawih lebih daripada lapan rakaat yang masyhur daripada Syeikh al-Albānī telah didahului oleh Ibnu al-'Arabī pada kurun keenam Hijrah.

Saya menulis semua ini bukan kerana saya berpendapat rakaat tarawih adalah lapan rakaat atau mempunyai bilangan tertentu, bahkan bagi saya, yang penting adalah kepanjangan dan mutu, bukan bilangan rakaat sebagaimana pendapat yang dinukilkan oleh al-Jūrī daripada Imam al-Shāfi‘ī tadi.

Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments