Bersugi (Berus Gigi) Ketika Berpuasa

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Imam al-Shāfi‘ī berpendapat bahawa orang yang berpuasa tidak digalakkan – atau dimakruhkan – bersugi selepas zawāl, iaitu waktu zohor sehingga maghrib. Nasnya dalam al-Umm, “dan aku membencinya (bersugi) pada waktu petang kerana aku menyukai bau mulut orang yang berpuasa.” Demikian yang disepakati oleh ulama-ulama mazhab sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawī. Walau bagaimanapun, menurut al-Rāfi‘ī, sebahagian aṣḥāb mengkhususkan kemakruhan untuk puasa fardu sahaja.

Namun begitu, al-Nawawī secara peribadinya berpendapat bahawa orang yang berpuasa tidak makruh untuk bersugi secara mutlak. Setelah membawa nukilan yang ganjil oleh al-Tirmidhī mengatakannya Imam al-Shāfi‘ī juga berpendapat begitu, katanya, “nukilan ini ganjil walaupun kuat dari sudut dalil. Demikian pendapat al-Muzanī dan jumhur ulama, dan ini adalah pendapat mukhtār.”

Terdapat riwayat daripada sahabat yang menunjukkan khilaf dalam masalah ini qadīm, iaitu oleh al-Ṭabarī - dengan sanad yang dikatakan jayyid oleh Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī dan ini lafaz beliau - daripada ‘Abd al-Raḥmān b. Ghanm, bahawa beliau bertanya Mu‘ādh b. Jabal, “adakah saya boleh bersugi dalam keadaan berpuasa?” Jawabnya, “ya.” Tanyanya lagi, “siang yang mana?” Jawabnya, “pagi atau petang.”

Kata Ibnu Ghanm, “mereka membencinya pada waktu petang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW mengatakan, ‘bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.’” Jawab Mu‘ādh, “subhanallah, baginda telah menyuruh mereka bersugi dan tidak wajar bagindalah yang menyuruh mereka sengaja membiarkan mulut mereka busuk. Demikian itu sedikit pun tidak baik, bahkan buruk.” Riwayat ini di sisi taḥqīq tidaklah jayyid, bahkan ḍa‘īf. Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments