Bilal Bin Rabbah Dijamin Syurga?

OLEH: Zulfikar Egar

Bilal bin Rabah R.A ini selain beliau merupakan khadam kepada baginda Nabi S.A.W dan juga muazin. Pada dirinya juga terdapat fadilat atau keistimewaannya yang tersendiri.

Walaupun Bilal bin Rabah R.A ini bukan berbangsa Quraisy. Walaupun Bilal bin Rabah R.A ini bukan orang Mekah. Walaupun Bilal bin Rabah R.A ini bukanlah dari kaum kerabat nabi atau orang yang ada kedudukan.

Tetapi nabi merapatkan Bilal bin Rabah R.A dengan diri baginda S.A.W sendiri atas dasar Akidah Islamiyyah. Iaitu atas dasar ikatan persaudaraan dengan iman.

Akidah ini berasal daripada perkataan (عَقَدَ) yang bermakna 'ikatan'. Ikatan Islam. Walaupun ikatan persaudaraan Islam sesama Islam. Tetapi kekuatan itu lebih terasa bila beriman bukan semata-mata muslim.

Bilal bin Rabah R.A ini walaupun tidak termasuk dalam kalangan 10 sahabat Nabi S.A.W yang dijamin syurga. Tetapi Bilal bin Rabah R.A ini adalah salah seorang daripada penghuni syurga.

Dan persaksian bahawa beliau ini masuk syurga itu telah pun dikhabarkan oleh Rasulullah S.A.W sendiri yang bersifat dengan sifat As-Sodiqul Masduq, iaitu yang kata-katanya itu benar dan dibenarkan.

Kerana apa yang datang daripada Rasulullah S.A.W itu sendiri yang disifatkan oleh Al-Quran dalam surah An Najam ayat 3-4;

"Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri."

"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."

Jadi inilah bukti yang boleh disebutkan yang mana nabi sendiri mempersaksikan bahawa Bilal bin Rabah R.A ini akan masuk ke dalam syurga.

Ini berdasarkan pada suatu kisah yang ada disebut dalam sebuah hadis yang sahih. Di mana nabi telah bertanya kepada Bilal bin Rabah R.A apakah amalan yang telah dilakukan olehnya hingga nabi mendengar bunyi tapak kakinya di syurga?

Lalu dijawab oleh Bilal bin Rabah R.A, bahawa amalan yang sering dilakukannya bila setiap kali mengambil wuduk, pasti beliau akan buat solat sunat 2 rakaat.

Maksudnya, ini menunjukkan sikap dan sifatnya yang suka mengambil wuduk kemudian akan solat sunat 2 rakaat selepas mengambil wuduk. Hingga perbuatannya itu telah menjadi warisan dan amalan salafussoleh.

Sebahagian ulama' mengatakan itu adalah merujuk kepada solat sunat wuduk. Dan itulah fadilat atau keistimewaan yang terdapat pada dirinya hingga dipersaksikan oleh baginda bahawa beliau akan masuk syurga.

Kemasyhuran Bilal bin Rabah R.A bukan sahaja membuatkan namanya terpahat di lembaran sejarah. Tetapi juga sampai tahap semua tukang azan dan muazin turut dipanggil bilal yang merujuk kepada nama Bilal bin Rabah R.A.

Wallahualam.



*Rujukan:
- Ustaz Muhammad Fahmi Rusli - Syarah Mukhtasar Zadul Maad (Februari 2020)

___________________________
Zulfikar Egar
_____________________________

Comments