Group Whatsapp Tadarus dan Khatam Al-Quran

OLEH: Ustaz Idris Sulaiman

Soalan tentang bacaan tadarus dan khatam al-Quran pada bulan Ramadan.

Banyak tersebar di grup-grup media sosial seperti WhatsApp di mana setiap orang dibahagikan berapa juz untuk dibaca dengan tujuan tadarus dan khatam al-Quran.

Adakah dibolehkan?


JAWAPAN:

Ini bukan tadarus dan khatam al-Quran.

Perlu ditinjau terlebih dahulu makna tadarus dan khatam al-Quran.

Tadarus menjurus kepada erti membaca al-Quran secara berkumpulan dan dibaca bergilir-gilir seorang demi seorang di mana salah seorang daripada ahli kumpulan membaca manakala yang lain diam mendengar dan menyemak.

Ada pun khatam al-Quran bererti bahawa seseorang itu membaca seluruh al-Quran daripada mula hingga habis; daripada surah al-Fatihah hingga an-Nas.

Maka perbuatan membahagi-bahagikan juz tertentu al-Quran dalam grup-grup media sosial seperti WhatsApp untuk dibaca oleh setiap seorang ahli grup sebenarnya tidak menepati erti tadarus dan khatam al-Quran.

Ini kerana jika seseorang itu membaca al-Quran secara bersendirian tanpa ada sesiapa yang mendengar dan menyemak bacaannya maka ia tidak menepati erti tadarus yang telah disebutkan di atas.

Ia juga tidak menepati erti mengkhatamkan al-Quran kerana setiap seorang hanya membaca bahagian yang telah ditetapkan untuknya dan tidak membaca sendiri keseluruhan al-Quran itu.

Berdasarkan hakikat ini maka perbuatan menamakannya sebagai tadarus dan khatam al-Quran sangat tidak tepat.

Walau bagaimanapun ini tidak bererti bahawa perbuatan sedemikian tidak boleh dilakukan.

Hanya sahaja ia tidak boleh dinamakan sebagai tadarus atau khatam al-Quran.

Sebaliknya ia hanyalah program membaca al-Quran.

Sekian.


___________________________
Ustaz Idris Bin Sulaiman
_____________________________

Comments