Imam Shafie: Solat Terawih

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Telah dijelaskan dalam tulisan sebelum ini bahawa pendapat sebenar Imam al-Shāfi‘ī adalah lebih utama solat bersendirian berbanding berjemaah di masjid. Saya yakin, bagi kebanyakan orang, pendapat ini memusykilkan. Selain hadis “sesiapa solat bersama imam sehingga imam bersurai...” dan ijmak sahabat, pendapat ini juga bertentangan dengan hadis “tetapi aku takut ia difardukan ke atas kamu.”

Pendapat ini, bagi saya, sabit daripada Imam al-Shāfi‘ī. Selain nas, nukilan, dan qarīnah yang telah disebutkan, pendapat ini juga dinukilkan oleh Imam Ibnu ‘Abd al-Barr al-Mālikī (463 H) daripada al-Shāfi‘ī. Katanya dalam al-Tamhīd:

وَاخْتَلَفُوا أَيْضًا فِي الْأَفْضَلِ مِنَ الْقِيَامِ مَعَ النَّاسِ أَوِ الِانْفِرَادِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ فَقَالَ مَالِكٌ وَالشَّافِعِيُّ صَلَاةُ الْمُنْفَرِدِ فِي بَيْتِهِ فِي رَمَضَانَ أَفْضَلُ.
“Dan mereka berselisih juga tentang qiyām yang manakah lebih afdal, bersama orang ramai atau bersendirian, dalam bulan Ramadan. Kata Mālik dan al-Shāfi‘ī, ‘solat bersendirian di rumah pada bulan Ramadan lebih afdal.’”

Tidak cukup dengan itu, Ibnu ‘Abd al-Barr membawakan pula dalil yang digunakan oleh Imam al-Shāfi‘ī, yang kiranya boleh menjawab kemusykilan mengenai sandaran pendapat beliau. Katanya:

وَاحْتَجَّ الشَّافِعِيُّ بِحَدِيثِ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فِي قِيَامِ رَمَضَانَ أَيُّهَا النَّاسُ صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلَاةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ. قَالَ الشَّافِعِيُّ وَلَا سِيَّمَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَسْجِدِهِ عَلَى مَا كَانَ فِي ذَلِكَ كُلِّهِ مِنَ الْفَضْلِ.
“Dan al-Shāfi‘ī berhujah dengan hadis Zayd b. Thābit bahawa Nabi SAW mengatakan tentang qiyām Ramadan, ‘solatlah di rumah kalian kerana seafdal-afdal solat seseorang adalah di rumah kecuali solat fardu.’ Kata al-Shāfi‘ī, ‘lebih-lebih lagi bersama Rasulullah SAW di masjid baginda dengan semua kelebihannya.’”

Barangkali maksudnya, sekiranya solat tarawih di rumah lebih afdal berbanding solat bersama Nabi SAW di Masjid Nabawī pada zaman baginda, apatah lagi solat bersama orang lain, di masjid lain, dan pada zaman lain. Dan, hadis ini jelas tentang tarawih, bahkan diucapkan selepas kata-kata "tetapi aku bimbang..." tadi.

Dan begitulah yang difahami dan diamalkan oleh sebahagian salaf, termasuk sahabat. ‘Abd al-Razzāq al-Ṣan‘ānī meriwayatkan dengan sanad yang sedikit lemah bahawa “Ibnu ‘Umar tidak solat di belakang imam semasa Ramadan.”

Dengan sanad yang sahih pula, ‘Abd al-Razzāq meriwayatkan daripada Mujāhid, katanya, “seorang lelaki datang berjumpa Ibnu ‘Umar. Katanya, ‘saya solat bersama imam dalam bulan Ramadan?’ Katanya, ‘adakah kamu (boleh) membaca al-Quran?” Jawab Ibnu ‘Umar:

أفتنصت كأنك حمار؟ صل في بيتك!
“Jadi, adakah kamu senyap sahaja seperti keldai? Solatlah di rumah kamu!”

Diperhatikan bahawa sebahagian ulama melazimkan solat di masjid dengan berjemaah dan solat di rumah dengan bersendirian, namun barangkali sebenarnya tidak. "Solat di rumah” atau “bersendirian” boleh jadi maksudnya solat dengan membaca sendiri sama ada dengan solat bersendirian atau sebagai imam kepada makmum lain.

Hal ini demikian kerana yang menjadi ‘ibrah atau maqṣūd dalam solat tarawih adalah bacaan al-Quran oleh diri sendiri, sebagaimana yang jelas dalam athar Ibnu ‘Umar tadi, dan hal ini memerlukan perbahasan dan perincian lanjut.

Wallahualam.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments