Pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani tentang Imsak

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kata Imam Ibnu Ḥajar al-‘Asqalānī (852 H) dalam Fatḥ al-Bārī bi-Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī tentang tindakan ghuluww sebahagian umat Islam pada zamannya beriḥtiyāṭ dalam bersahur dan berbuka:

“Peringatan: termasuk dalam bidaah mungkar ialah perbuatan yang diada-adakan pada zaman sekarang berupa melaungkan azan kedua kira-kira satu pertiga jam sebelum fajar serta memadam lampu yang dijadikan tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang ingin berpuasa dengan dakwaan bahawa ia iḥtiyāṭ dalam ibadat.”

“Yang mengetahuinya (perkara sebenar yang dilakukan mereka) hanyalah segelintir orang. (Anggapan) itu telah menyebabkan mereka sampai tidak azan melainkan selepas terbenamnya matahari satu darjah untuk memastikan waktunya (sudah masuk) – dakwa mereka – justeru mereka melewatkan berbuka, mencepatkan sahur, dan menyalahi sunnah.”

Dalam hal ini terdapat dua jenis kesalahan sebenarnya. Yang disebutkan oleh Ibnu Ḥajar ialah kesalahan terlampau berhati-hati dengan memulakan puasa lebih awal dan berbuka puasa lebih lewat daripada waktunya yang sebenar.

Kesalahan kedua ialah sengaja berbuka sebelum masuk waktu maghrib. Saya mendengar rakan sekelas saya semasa di sekolah dulu menceritakan bahawa ayahnya melakukan demikian, bahkan menyalahkan orang yang berbuka tepat pada waktu maghrib kononnya kerana melanggar hadis suruhan mempercepatkan berbuka.

Sambungan petikan kalam Ibnu Ḥajar tadi, “itulah sebabnya sedikit kebaikan dan banyak keburukan pada diri mereka. Allah jualah tempat memohon pertolongan.”


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments