Sembang Subuh Ramadhan PKP

OLEH: Zulfikar Egar

Tahun-tahun sebelum PKP ini. Masjid dan surau boleh dikatakan ramai jugalah jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Subuh berjemaah berbeza seperti Subuh hari-hari di luar Ramadan.

Yang tak biasa datang masjid surau lebih-lebih lagi pada waktu Subuh pun, ramai juga yang hadir. Alhamdulillah.

Hinggakan ada 'shocked' atau terkejut la juga bila solat Subuh pada hari Jumaat, tiba-tiba tok imam terus sujud sebelum rukuk masa rakaat pertama.

Sampai ada yang kata lepas habis solat; "Eh bang! Subuh hari ini ada 3 rakaat ke?" Padahal imam tu buat sujud sajadah. 😅

Bagi yang tak tahu. Di kebanyakan masjid surau pada hari Jumaat di waktu solat Subuh, imam akan bersujud terus selepas selesai membaca ayat ke-15 dalam surah as-Sajdah.

Sujud inilah yang dinamakan sujud sajadah atau sujud tilawah. Ia dilakukan setelah imam selesai membaca ayat sajadah, iaitu ayat yang mempunyai ‘tanda sujud’ atau sajadah pada wakafnya, (boleh buka dan lihat kat Al-Quran).

Kebiasannya imam akan membaca surah as-Sajdah pada rakaat pertama dan surah al-Insan pada rakaat kedua.

Amalan ini adalah berdasarkan sunnah Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya. Namun ia sunat saja, tak buat pun tak mengapa.

Tapi itulah. Sekarang ini krisis Covid-19 sedang melanda. Dan untuk keselamatan, PKP terpaksa dilaksanakan.

Antaranya termasuklah kita semua tidak dibenarkan hadir solat berjemaah di masjid surau disebabkan penularan wabak ini berlaku. Hanya 2-3 orang saja yang dibenarkan pergi. Apa yang pasti tok imam dan tok bilal lah orangnya yang direzekikan boleh mengimarahkan masjid surau.

Jadi mudah-mudahan. Lepas kita bangun Sahur tu, teruskanlah mendirikan solat Subuh berjemaah bersama keluarga dan tidak tidur terus lepas bersahur.

Semoleknya, buatlah solat sunat Subuh dua rakaat sebelum mendirikan solat fardu Subuh.

Sebab solat sunat sebelum fajar (Subuh) ini selain terdapatnya pahala yang besar, ia juga merupakan antara ibadat sunat yang Rasulullah S.A.W sangat menjaganya sepanjang hidup Baginda.

Dimana, dua rakaat solat itu tersangatlah besar pahala dan fadilatnya di sisi Allah S.W.T, hinggakan Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

“Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat Subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya” [Riwayat Muslim]

Bukannya apa, di kala tengah PKP ini dengan kita semua tak dapat keluar. Ditambahkan pula rata-rata dari kita ini pun berhenti sahur 10 minit sebelum masuknya azan Subuh.

Takut-takut ada yang tidur terus tanpa sempat solat Subuh terlebih dahulu.

Ini bukan sebarang cakap saja, sebab pernah nampak depan mata. Teringat masa zaman belajar kat kolej dulu. Rakan-rakan bujang yang duduk serumah.

Masa nak sahur, semuanya boleh pakat bangun belaka. Siap boleh cucuh berasap rokok lagi tu sambil tunggu azan Subuh berkumandang.

Lepas selesai saja azan Subuh. Semuanya pakat-pakat sambung tidur belaka. Aduhai..


___________________________
ZulfikarEgar
_____________________________

Comments