OLEH: Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Orang yang gagal memahami pengertian bidaah sebenarnya selalu akan memberikan contoh yg bersifat keduniaan seperti naik kereta, pakai mic, guna speaker dll.
Padahal Nabi ﷺ bersabda:
أَنْتُمْ أَعْلَمُ بِأُمُورِ دُنْيَاكُمْ
“Kamu lebih tahu urusan dunia kamu.”
(HR. Muslim)
Jika ada yang memberikan contoh bidaah pada pembukuan Al-Quran di zaman Saidina Abu Bakar r.a, berjemaah tarawih sebulan di zaman Saidina Umar al-Khattab, dan azan kedua jumaat di zaman Saidina Uthman bin Affan, maka mereka adalah para Khalifah Ar-Rasyidin yang diberikan autoriti oleh Nabi ﷺ agar mengikuti mereka.
Sabda Rasulullah ﷺ:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيينَ
“Wajib kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khalifah Ar-Rasyidin yang beroleh petunjuk.”
(HR. At-Tirmizi dan Abu Daud)
Bukankah Imam Syafie r.h ada berpandangan bidaah itu ada dua, ada yang baik dan ada yang buruk. Ada pula ulama lain antaranya ‘Izzuddin Abdus-Salam menyatakan bidaah itu ada lima, iaitu wajib, sunnat, harus, makruh dan haram.
Perbezaan dalam menetapkan bahagian bidaah dikalangan ulama terjadi ekoran perbezaan para ulama dalam mentakrifkan bidaah dari sudut syarak. Maka jika kita hendak mengetahui apakah sesuatu amalan itu dikira bidaah atau pun tidak, maka lihatlah pendapat ulama tersebut pada contoh-contohnya, bukan pada pembahagiannya lalu kita sendiri yang memberikan contoh-contohnya.
Sebagai contoh:
Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata dalam kitabnya “Al-Umm”:
وأحب لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعملوا لاهل الميت في يوم يموت وليلته طعاما يشبعهم فإن ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا لانه لما جاء نعى جعفر قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم"
“Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnat dan ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang menyibukkkan kepada mereka.”
(Al-Umm, 1/317)
Beliau selanjutnya berkata:
وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة مع ما ضى فيه من الاثر
“Dan aku membenci membuat perkumpulan iaitu berkumpul, walaupun dalam majlis itu tidak terdapat tangisan (ratapan) kerana sesungguhnya perkara itu (berkumpul) akan mengembalikan kesedihan dan memberikan beban berdasarkan athar yang telah lalu.”
(Al-Umm, 1/318)
Imam An-Nawawi rahimahullah mengulas perkataan Imam Asy-Syafi’i di atas tadi dengan mengatakan:
واستدل له المصنف وغيره بدليل آخر وهو انه محدث
“Pengarang (Imam Asy-Syafi’i) dan ulama-ulama yang lain berpendapat berdasarkan dalil yang lain bahawa perbuatan itu (yakni mengadakan perkumpulan) adalah merupakan perkara yang baru (bidaah).” (Al-Majmu’, 5/306)
Peringatan!
Namun perlu dicatatkan, bahawa di sana ada juga bidaah yang diperselisihkan oleh para ulama, yang menurut ulama lain adalah bidaah namun tidak bidaah menurut ulama lainnya. Contohnya lafaz niat, menurut mazhab Hanafi bidaah, namun tidak menurut ulama Syafi'iyyah. Sama halnya dengan doa qunut dalam solat subuh. Ada pula bidaah yang disepakati oleh para ulama seperti bidaah khawarij, muktazilah dan jahmiyah. Maka hendaklah diutamakan mana yang utama kemudian yang utama.
Wallahu'alam
___________________________
Ustaz Mohd Safwan Mohd Rusydi
Telegram: https://t.me/gerakanpenamy
Instagram: https://www.instagram.com/gerakanpenamy
Sejarah: https://revolusimelayubaru.blogspot.com/
Sejarah: https://revolusimelayubaru.blogspot.com/
_____________________________
Comments
Post a Comment