Haruskah Wanita Makan Bersama Lelaki Ajnabi yang Ada Hubungan Keluarga?

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Di sini ingin dijelaskan satu kesilapan fakta yang terkandung dalam Bersama Niqab, iaitu dalam halaman 122-123 di mana saya mengatakan Imam al-Bājī (474 H) memahami kata-kata Imam Mālik (179 H) tentang keharusan wanita makan bersama lelaki ajnabi dengan makna lelaki ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Kata-kata tersebut berbunyi begini:

وَفِي ذَلِكَ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّ الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ يَجُوزُ لِلْقُرْبَى أَنْ يَرَوْهُ مِنْ الْمَرْأَةِ.
Dalam (nas) itu terdapat petunjuk bahawa muka dan tapak tangan boleh dilihat oleh qurbā daripada (badan) perempuan.

Sebenarnya, kata-kata ini merupakan sambungan kata-kata Kadi Abu Isḥāq (282 H) yang dinukilkan oleh beliau sebelumnya, sebagai menjelaskan makna “yang zahir daripadanya” dalam ayat 31, surah al-Nūr, iaitu:

وَالظَّاهِرُ - وَاَللَّهُ أَعْلَمُ - يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ الْوَجْهُ وَالْكَفَّانِ ؛ لِأَنَّ الْمَرْأَةَ يَجِبُ عَلَيْهَا أَنْ تَسْتُرَ فِي الصَّلَاةِ كُلَّ مَوْضِعٍ مِنْهَا إِلَّا وَجْهَهَا وَكَفَّيْهَا.
Dan yang zahir, wallahualam, ia menunjukkan bahawa ia adalah muka dan tapak tangan kerana perempuan wajib menutup dalam solat seluruh bahagian daripada (tubuh)-nya kecuali muka dan tapak tangan...

Semasa menulis Bersama Niqab, saya menyangka kata-kata pertama merupakan kata-kata al-Bājī sendiri sementara kata-kata kedua adalah kata-kata Kadi Abu Isḥāq, sehinggalah saya mendapati al-Bājī menukilkan keseluruhan ayat dengan lafaz yang hampir sama daripada Kadi Abu Isḥāq dalam jilid sebelumnya daripada kitab yang sama, al-Muntaqā Sharḥ al-Muwaṭṭa’, iaitu:

الظَّاهِرُ أَنَّهُ يُرِيدُ الْوَجْهَ وَالْكَفَّيْنِ ؛ لِأَنَّ الْمَرْأَةَ يَجِبُ عَلَيْهَا أَنْ تَسْتُرَ مِنْهَا فِي الصَّلَاةِ كُلَّ مَوْضِعٍ لَا يَجُوزُ أَنْ يَرَاهُ الْقُرَبَاءُ ، وَلَيْسَ يَجُوزُ لَهَا أَنْ تُظْهِرَ فِي الصَّلَاةِ إِلَّا وَجْهَهَا وَكَفَّيْهَا ، وَفِي ذَلِكَ دَلِيلٌ عَلَى أَنَّهُ لَا يَجُوزُ لِلْقُرْبَى أَنْ يَرَوْا مِنْهَا ذَلِكَ.
Zahirnya yang dimaksudkan ialah muka dan tapak tangan, kerana perempuan wajib menutup daripada (tubuh)-nya dalam solat semua tempat yang tidak boleh dilihat oleh qurabā’. Tidak harus baginya mendedahkan dalam solat selain muka dan tapak tangan. Dalam (ayat) itu terdapat petunjuk bahawa qurbā tidak boleh melihat (bahagian) itu daripada (tubuh)-nya.Wallahualam.

Qurbā atau qurabā’ yang digunakan dalam kata-kata ini zahirnya merujuk kepada mahram, dan bukannya ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan.

Kata-kata ini sebenarnya disebutkan oleh Kadi Abu Isḥāq dalam kitab Aḥkām al-Qur’ān dan kitab ini telah dicetak, namun petikan ini tidak ditemui dalam kitab tersebut kerana termasuk dalam bahagian yang telah hilang.

Daripada kata-kata tadi disimpulkan bahawa Kadi Isḥāq berpendapat rambut, lengan, dan betis tidak boleh dilihat walaupun oleh mahram. Kata al-Bājī mengomentari kata-kata tadi:

وَاَللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا أَرَادَ مِنْ ذَلِكَ فَاقْتَضَى قَوْلُ الْقَاضِي أَبِي إسْحَاقِ أَنَّهُ مَنَعَ رُؤْيَةَ ذَوِي الْمَحَارِمِ لِشَعْرِ الْمَرْأَةِ وَأَبَاحَ لَهُ رُؤْيَةَ الْوَجْهِ وَالْكَفَّيْنِ .
Wallahualam dengan apa yang dimaksudkan daripada yang demikian. Kata-kata Kadi Abu Isḥāq bererti bahawa beliau melarang mahram daripada melihat rambut perempuan dan mengharuskannya melihat muka dan tapak tangan.

Pendapat ini ada asasnya daripada athar salaf, tetapi memerlukan kajian dan penelitian untuk mengetahui hakikat sebenar pendapat tersebut. Namun begitu, kata-kata ini masih boleh ditakwil, dengan menganggap bahawa qurbā adalah ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan seperti kefahaman asal saya, dan ini lebih boleh diterima, kerana mengatakan ahli keluarga sendiri tidak boleh melihat rambut, meskipun ada asasnya daripada salaf, agak berat.

Kesimpulannya:
Kata-kata tersebut bukan kata-kata al-Bājī, tetapi kata-kata yang dinukilkan oleh al-Bājī daripada Kadi Isḥāq.

Kata-kata tersebut bukan mentafsirkan nas Imam Mālik, tetapi ayat 31, surah al-Nūr.
Penisbahan pendapat harus mendedahkan muka secara khusus kepada ajnabi yang mempunyai hubungan kekeluargaan kepada al-Bājī adalah silap.

Walau bagaimanapun, pendapat tersebut ada kemungkinan merupakan pendapat Kadi Isḥāq.
Dengan ini saya memohon maaf atas sebarang kesulitan yang disebabkan kesilapan ini. Insya-Allah, saya akan lebih berhati-hati dalam penulisan akan datang.


___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments