Sikap Muslim Menangani Isu Khilafiah

OLEH: Dr Idris Sulaiman

Sebahagian berpandangan bahawa Muslim tidak perlu bertegas dalam isu-isu khilafiah.
Sebaliknya Muslim boleh memilih mana-mana pendapat mengikut mazhabnya, pandangan ulama atau guru yang dikenalinya, amalan masyarakat atau pendapat yang sesuai dengan situasi yang dihadapinya.
Seolah-olah semua pendapat yang berbeza itu betul dan boleh diterima.
Ini salah dan tidak betul.

Muslim sentiasa disuruh supaya berpegang teguh dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah.
Khilaf ulama tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk meninggalkan dalil Al-Quran dan al-Sunah.
Oleh itu, isunya bukan sama ada wujud khilaf atau tidak, tetapi pendapat mana yang disokong dalil Al-Quran dan al-Sunah.




Demikian perintah Allah ﷻ dalam firmanNya:
فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ
“Jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.”
[Al-Quran, al-Nisaa, 4:59]

Ini yang ditegaskan oleh Imam al-Syafie sendiri dengan berkata:
وَأَنَّهُ لَا يَلْزَمُ قَوْلٌ بِكُلِّ حَالٍ إلَّا بِكِتَابِ اللهِ أوْ سُنَّةَ رَسُولِهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَّ مَا سِوَاهُمَا تَبَعٌ لَهُمَا.
“Dan sesungguhnya tiada kata-kata yang wajib dalam apa jua keadaan melainkan Kitab Allah atau Sunah RasulNya ﷺ, dan bahawasanya apa yang selain daripada kedua-duanya kembali kepada kedua-duanya.”
[Jima’ al-Ilm, hlm. 3]

Yakni apa jua pendapat atau ijtihad ulama dan mazhab perlu disaring dan dinilai mengikut panduan Al-Quran dan al-Suna
Beliau turut menegaskan:
أَجْمَعَ ‌النَّاسُ عَلَى أَنَّ مَنْ اسْتَبَانَتْ لَهُ سُنَّةٌ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - لَمْ يَكُنْ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ مِنْ النَّاسِ.
"Umat Islam telah sepakat bahawa barang siapa sudah terjelas kepadanya Sunah Rasulullah ﷺ maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengambil pendapat orang lain."
[I’lam al-Muwaqqi’in oleh Ibnu al-Qayyim, 2/201]

Justeru andaian bahawa Muslim boleh memilih mana-mana pendapat yang lemah, yang salah atau yang bertentangan dengan dalil Al-Quran dan al-Sunah adalah batil sama sekali.
Muslim tidak bebas memilih pendapat-pendapat yang semacam ini.
Sebaliknya Muslim perlu sentiasa kembali kepada nas, menjauhi taasub dan menyaring pendapat-pendapat dengan melihat pendapat mana yang lebih kuat, mengikut keupayaannya sama ada dengan bertanya atau mengkaji, jika mampu.

[Gerakan PENA Malaysia]
Dapatkan Himpunan Risalah Aqidah yang ditulis oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab. Risalah-risalah beliau dihimpun sebagai sebuah kitab dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (Malaysia).
Boleh dapatkan  KLIK DI SINI


Comments