OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Dalam bermuamalat dengan manusia, Islam mempunyai sifat yang sangat manusiawi. Islam meraikan psikologi, situasi, dan keadaan individu yang berbeza-beza. Demikian yang dipotretkan dalam tatacara Rasulullah SAW berinteraksi dengan manusia sekeliling mengikut keadaan masing-masing.
Tatkala seorang Badwi kencing dalam masjid, para sahabat ingin mengapa-apakannya. Tetapi kerana memahami budaya hidup Badwi yang kasar dan kurang adab, Nabi SAW tidak menunjukkan reaksi marah atau menjerkahnya. Baginda hanya menyuruh para sahabat menjirus air ke atas tempat dan sabdanya:
فإنما بعثتم ميسرين ولم تبعثوا معسرين.
“Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan, bukan menyulitkan.”
Pada suatu ketika, seorang wanita menangis di kubur. Melihatnya, baginda menasihatkannya supaya bertakwa dan bersabar. Wanita itu dalam keadaan emosi kerana terlalu sedih. Dia tidak mampu menerima nasihat itu. Jawabnya, “pergilah, engkau tidak terkena dengan apa yang aku kena,” tanpa mengetahui dengan siapa ia bercakap.
Baginda tidak marah, apalagi mencelanya. Sebaik sahaja wanita tersebut tahu bahawa yang menasihatinya adalah Rasulullah SAW, ia pun pergi menemui baginda. Katanya, “saya tidak kenal Rasulullah.” Rasulullah SAW sekadar membalas:
إنما الصبر عند الصدمة الأولى.
“Sesungguhnya kesabaran itu pada awal musibah.”
Memanjangkan ibadat pada asalnya baik dan digalakkan. Namun, tidak semua mampu melakukannya dan perkara ini diberi perhatian oleh syariat. Ada orang mengadu kepada Rasulullah SAW kerana terpaksa keluar daripada solat berjemaah kerana imam membaca panjang. Baginda amat marah dan mengatakan:
.إِنَّ مِنْكُمْ مُنَفِّرِينَ، فَأَيُّكُمْ مَا صَلَّى بِالنَّاسِ فَلْيَتَجَوَّزْ، فَإِنَّ فِيهِمُ الضَّعِيفَ وَالكَبِيرَ وَذَا الحَاجَةِ
“Antara kamu ini ada yang menjauhkan orang. Jadi, sesiapa yang menjadi imam kepada orang ramai, maka ringankanlah, kerana ada antara mereka yang lemah, tua, dan mempunyai urusan.”
Inilah Islam dan begitulah Rasulullah SAW.

Comments
Post a Comment