Dosa Dan Kemungkaran Dinormalisasikan

OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Dunia berubah begitu cepat. Perkara dosa dan kemungkaran menjadi umum balwa - menular dan meratai setiap tempat dan ruang. Berpegang dengan syariat ketika ini seumpama menggenggam bara api.

Lantaran kesukaran yang dialami, ramai yang menyerah diri sampai meninggalkan syariat sama sekali. Ada yang mengubah fatwa supaya lebih memudahkan, mengambil pendapat makruh atau harus kononnya supaya tidak berdosa.

Sebenarnya, para sahabat dan salaf juga menghadapi perubahan suasana yang sama, pertukaran keadaan yang mengganggu pengamalan agama, realiti yang berbeza daripada realiti pada zaman Rasulullah SAW. Namun, mereka tidak mengubah ijtihad, sebaliknya "bertaqwa mengikut kemampuan" dan memperbanyak istighfar.

Contohnya, Abu Ayyub al-Ansari RA. Dalam riwayat al-Tirmidhi dengan sanad yang sahih, beliau mendengar Rasulullah SAW melarang membuang air dalam keadaan menghadap kiblat. Larangan ini difahami secara umum, walaupun di tempat tertutup.

Ketika pergi Syam, beliau mendapati tandas dibina dalam keadaan menghadap kiblat. Beliau tidak mengubah kefahaman beliau tentang hadis tadi atau mentakwilnya, tetapi berusaha mengamalkan arahan tersebut dengan mengiring sedikit dan beristighfar.

Contoh kedua, dalam riwayat al-Bukhari secara ta'liq dengan sighah jazam Sa'id b. Abu al-Hasan mengadu kepada saudara lelakinya, al-Hasan al-Basri kerana di tempat mereka, "wanita-wanita bukan Arab mendedahkan dada dan kepala."

ِAl-Hasan al-Basri tidak berfatwa mengatakan perkara itu umum balwa, maka memandang mereka dianggap dimaafkan. Namun, beliau berkata "alihkan pandanganmu daripada mereka," dan beliau membacakan ayat 30, surah al-Nur, "katakan kepada lelaki-lelaki yang beriman, supaya mereka tundukkan pandangan dan menjaga kemaluan."

Inilah manhaj sahabat dan tabiin, dan inilah manhaj kami.
Wallahualam.



___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments