OLEH: Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya
Saya mengambil masa lama untuk bertanya khabar dengan beberapa sahabat termasuk berhubung langsung dengan salah seorang sahabat yang hadir pada makan malam yang kini mengundang kontroversi. Hari ini saya rasa saya perlu memberi sedikit ulasan dalam keadaan serba salah. Moga Allah beri petunjuk kepada kita semua.
Ibnu Hibban dalam karyanya al-Majruhin 2/15 meriwayatkan bahawa Imam Ali Bin al-Madini ketika ditanya tentang status ayah beliau sebagai perawi hadis. beliau berkata: “ tanyalah orang lain” Lalu penanya berkata:” kami bertanya status ayahmu dengan engkau”. Imam Ali Bin al-Madini menjawab: “ini adalah agama (merujuk kepada status perawi hadis). ayahku seorang yang LEMAH”
Apabila rakan taulan menghubungi saya untuk memberi komen berkaitan kunjungan S.S Dato Mufti Perlis dan rombongan beliau ke kedutaan Iran. Saya teringat kisah Ali Bin al-Madini.
Sukar untuk memberi pandangan yang objektif apabila ia membabitkan individu-individu yang ada kaitan emosi kasih sayang antara kita khususnya apabila ianya membabitkan guru dan sahabat-sahabat yang sangat kita kasihi.
Perasaan tersepit antara tanggungjawab dan tidak mahu mengguris perasaan mereka-mereka yang kita kasihi ini meletakkan kita dalam situasi yang sangat sukar.
Namun kepentingan AGAMA wajib didahulukan ke atas kepentingan peribadi. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
IRAN sebagai penyebar dakyah SYIAH bukan satu fakta yang perlu dibahaskan lagi. Umpama mentari di siang hari. Hakikat bahwa Gerakan Syiah Khomainiyyah ini semakin aktif di Malaysia juga bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi pendokong Sunnah.
Jika pun ada yang nak pertahan bahawa Kedutaan Iran adalah dari golongan Musta’man, keazaman mereka menyokong beberapa NGO Islam Malaysia termasuk beberapa IPTA untuk mengadakan sesi-sesi diskusi juga adalah sesuatu yang wajar disifat sebagai mencabar perlembagaan negara yang menetapkan Malaysia negara Ahlus Sunnah. Logo-logo Kedutaan Iran di sebalik program-program ini tidak diselindung bahkan dizahirkan dengan penuh berani.
Namun tindakan Duta Iran menjemput tokoh-tokoh sunnah ini ke kedutaan Iran merupakan gameplay yang sangat licik, murah dan efektif.
Jika seorang selebriti terkenal yang memiliki ramai follower diminta untuk mempromosi satu produk atas dasar “product awareness” supaya pelanggan sasaran dari kalangan follower artis tersebut mengetahui kewujudan produk tersebut.
Kos promosi tersebut akan menelan belanja beribu-ribu ringgit. Review product di media sosial hanya beberapa minit sahaja harganya sudah beribu-ribu. Ini adalah harga bayaran bagi influencer apabila kelibatnya dengan produk akan mempengaruhi ramai orang untuk tahu dan seterusnya membeli produk yang di pasarkan.
Sebagai contoh jika saya mahu kedai saya menjadi terkenal. Saya perlu bayar selebriti terkenal untuk datang ke kedai saya. Jika saya mahu produk saya terkenal. Saya perlu bayar selebriti terkenal jadi duta untuk produk saya. Jika saya mahu produk saya laku keras. Saya perlu bayar selebriti terkenal untuk review dan kempen produk saya.
Berbalik kepada gameplay Iran. Iran berjaya mendapatkan perhatian masyarakat apabila berjaya membawa selebriti Sunnah ke premis Iran. Namun dengan bayaran yang sangat murah. Ini adalah hakikat yang pahit dan pedih.
Namun ianya benar gameplay yang Iran gunakan sangat licik, murah dan efektif.
Sebelum anda melenting saya mohon baca hingga habis tulisan ini. Kemudian anda nilai dengan fikiran yang waras.
Selebriti terkenal yang tiada sijil Phd tidak akan promosi kurma Iran tanpa bayaran ribu riban.
Namun tokoh-tokoh yang memiliki Phd ini telah digame oleh Iran dengan mempromosikan Iran hanya dengan timbal balik jamuan makan di kedutaan.
Anda nilai siapa yang lebih cerdik dalam situasi ini? Pahit dan pedih.
Namun hakikatnya Iran telah dapat promosi yang luar biasa dengan kos yang sangat murah. Sesiapa yang terlibat dalam strategi marketing tahu hakikat ini.
Saya beri analogi lain untuk kita faham situasi ini dengan lebih tuntas.
Jika kedutaan Iran merupakan premis ajaran Syiah. Orang akan kehairanan mengapa tokoh-tokoh agama ini window shopping di kedai menjual ajaran-ajaran Syiah.
Jika analogi di atas sukar untuk dihadam. Saya berikan analogi yang lebih mudah.
Cuba kita andaikan kedutaan Iran itu merupakan premis pengedar bahan terlarang. Sudah pasti orang ramai akan merasa kehairanan mengapa polis yang sepatutnya memantau pengedaran bahan terlarang dilihat duduk semeja makan dan minum bersama pengedar bahan terlarang, sedangkan tugas asas polis anti bahan terlarang adalah membenteras gerakan mereka dan bukannya lepak bersama pengedar bahan tesebut.
Jika kehadiran mereka untuk memberi warning kepada pengedar bahan terlarang, kita belum lihat lagi kenyataan warning kepada pengedar bahan terlarang tersebut. Seolah polis takut kepada penjenayah.
Saya terpaksa ulang perkataan licik, murah dan efektif berulangkali supaya anda tahu betapa jahatnya Syiah ini.
Iran bukan saja mendapat promosi percuma dari kunjungan tokoh-tokoh Sunnah ini ke premis mereka. Strategi serampang dua mata Iran ini telah berjaya menghasilkan bonus-bonus lain iaitu memecahbelahkan orang-orang Sunnah, merosakkan imej dakwah Sunnah itu sendiri.
Emosi akan mendorong follower-follower tokoh-tokoh ini untuk backup tokoh-tokoh kesayangan mereka. Namun kebenaran itu pahit. Namun ia lebih baik dari racun yang manis.
Licik, murah dan efektif.
Pelanduk mungkin lupakan jerat, jerat tidak pernah lupakan pelanduk.
Iran tidak pernah melupakan pelanduk. Cuma kali ini pelanduk yang dijerat sangat besar dan lumayan.
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Iran telah berjaya menilakan dakwah sunnah. Ia kerana kenaifan tokoh-tokoh ini dengan gameplay Iran.
Tokoh-tokoh ilmuan ini mungkin bijak dari banyak sudut lain. Namun mungkin latarbelakang mereka yang tidak pernah hidup dalam lingkungan Syiah mungkin menyebabkan mereka mudah diperdaya dengan gameplay licik seperti ini.
Ya, ada di sana beberapa alasan yang cuba diberikan antaranya untuk urusan diplomasi. Urusan diplomasi sepatutnya diuruskan oleh pegawai diplomatik negara atau negeri. Dan setahu saya, apabila ia melibatkan Kedutaan kerajaan negeri kebiasaannya akan merujuk Kementerian Luar untuk urusan tersebut.
Namun jika benar pun untuk tujuan diplomasi, apa manfaatnya? Sepatutnya sahabat-sahabat yang hadir pada pertemuan tersebut yang merupakan pegawai-pegawai hal ehwal agama pergi untuk menzahirkan bangkangan juga amaran kepada Kedutaan Iran agar tidak terus bermain api membantu menyemarakkan lagi penyebaran dakyah Syiah di Malaysia.
Atas asas menjaga hubungan diplomasi, inilah yang wajarnya dilakukan dan pihak Kedutaan Iran juga wajib memahaminya kerana hal ini terdiri atas perlembagaan negara juga negeri bahawa ajaran Syiah adalah ajaran sesat dan haram disebarkan.
Apa yang mengejutkan, apabila pulang dari pertemuan para sahabat kita yang merupakan pemuka tokoh Sunnah negara dengan amat positif memberi reaksi kepada hasil pertemuan. Jika benar pun ingin mempraktikkan seni diplomasi, orang awam perlu tahu tujuan sebenar. Jika tak mahu dedahkan atas faktor-faktor sensitif, maka tidak perlulah dikongsi kepada awam berita pertemuan sensitif sebegini.
Saya terpaksa menulis supaya di masa hadapan tiada lagi orang-orang Sunnah yang bakal digame oleh Iran.
Saya pinjam kata-kata Ali Bin al-Madini apabila menulis status dengan pengubahsuaian.
“mereka semua adalah sahabat-sahabat saya, saya sayangkan mereka, saya bersangka baik dengan mereka, tetapi mereka telah digame oleh Iran”.

Comments
Post a Comment