OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
Untuk menjadi kaya semata-mata bukanlah susah. Kita boleh menjual tubuh, menipu kelayakan akademik, "overclaim" tentang produk, ciplak jenama terkenal, dan buat "content" bodoh di media sosial. Ada seribu satu cara mudah untuk kaya terbentang luas, tetapi apa gunanya kaya dengan cara haram?
Baru-baru ini saya membeli beg di Lazada yang dipanggil "backpack pencil case" dan dalam keterangan ditulis "termasuk bekas pencil." Tetapi, penjual tidak menyertakan bekas pencil bersama beg tersebut dan saya mendapati pelekat yang tertulis "bekas pencil" sengaja dicabut. Apa respons penjual? Katanya, tidak ditunjukkan gambar bekas pensil dalam gambar di Lazada!
Saya kagum dengan orang yang hidup serba mewah dengan cara haram, lalu berlagak dan menyombong kepada khalayak manusia seolah-olah itu adalah hartanya yang sah, padahal itu hakikatnya barang curi. Adakah patut kita berbangga dengan barang curi?
Saya menyeru rakan-rakan di luar sana untuk menjadi kaya dengan cara yang halal. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita boleh menjadi kaya tanpa rasuah, tanpa pecah amanah, dan tanpa menipu.

Comments
Post a Comment