Jamak Solat: Solat Maghrib Dahulu Atau Isyak Dahulu?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi


Tentang jamak solat, saya dari dahulu difahamkan bahawa wajib mendahulukan solat asar dan isyak jika kita melakukan jamak ta’khīr, sebagaimana kita wajib mendahulukan solat zohor dan maghrib ketika jamak taqdīm.

Sebenarnya saya tersilap. Kewajipan tertib sedemikian hanya wajib pada jamak taqdīm. Untuk jamak ta’khīr, kita boleh memilih sama ada hendak bersolat asar dan isyak, atau bersolat zohor dan maghrib terlebih dahulu.

Bukan itu sahaja, muwālāh – iaitu melakukan solat kedua sejurus selepas solat pertama – juga tidak wajib untuk jamak ta’khīr. Jadi, seandainya kita solat asar pada pukul 5.00 petang, dan kemudian solat zohor pada jam 6.00 petang, jamak tetap sah. 

Selain itu, berbeza juga dengan jamak taqdīm, tidak wajib meniatkan jamak ta’khīr. Oleh yang demikian, seseorang boleh berniat solat seperti biasa tanpa waswas sebagaimana yang berlaku dalam sesetengah kalangan, kerana “perubahan” niat solat ketika musafir.

Kata Ibnu Qāsim al-Ghazzī:

ولا يجب في جمع التأخير ترتيب ولا موالاة ولا نية جمع على الصحيح في الثلاثة.

“Tidak wajib pada jamak ta’khīr sebarang tertib, muwālāh, mahupun niat jamak mengikut pendapat yang sahih pada ketiga-tiga perkara itu.”

Niat jamak yang dimaksudkan adalah niat semasa solat, bukan niat untuk melakukan jamak ta’khīr, kerana ia wajib. Maksudnya, seseorang wajib berniat untuk menangguhkan solat ke waktu kedua (asar atau isyak) dalam waktu pertama (zohor atau maghrib). Jika tidak, ia seperti sengaja meninggalkan solat yang pertama.

Walaupun tidak wajib, tertib dan muwālāh tetap disunatkan. (Walau bagaimanapun, saya masih keliru tentang tertib yang disunatkan itu). 

Semua yang dikatakan tadi mengikut mazhab kita, mazhab Shāfi‘ī. Daripada situ disimpulkan bahawa jamak ta'khir lebih longgar dan mudah berbanding jamak taqdim menurut ulama-ulama mazhab kita.

Wallahualam.

___________________________
Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi
_____________________________

Comments