Firasat Saidina Uthman b Affan RA

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Kisah firasat Saidina ‘Uthmān b. ‘Affān RA masyhur sekali. Diriwayatkan bahawa Anas b. Mālik yang berjalan di pasar dan ternampak perempuan masuk menemui ‘Uthmān. Apabila ‘Uthmān melihat Anas, beliau berkata, “ada orang yang ada kesan zina pada dan di matanya baru masuk.” Kata Anas, “adakah ada wahyu selepas Rasulullah SAW?” Jawabnya, “tidak, tetapi burhān, firasat, dan kebenaran.”

Orang pertama yang didapati menukilkan cerita ini ialah Muḥibb al-Dīn al-Ṭabarī (694 H) daripada kitab sirah yang dikarang oleh ‘Umar al-Mallā’ (570 H) dengan ṣīghah al-tamrīḍ dan tanpa menyebut nama Anas b. Mālik, sebaliknya menyebut “salah seorang sahabat.” Tiada sanad yang disebutkan oleh beliau atau oleh ulama-ulama lain untuk dikaji dan disahkan.

Walau bagaimanapun, kisah seperti ini, jikalau sahih sekalipun, tidak bercanggah dengan akidah. Ia bukan ramalan, penujuman, atau dakwaan mengetahui perkara ghaib, tetapi seperti ilham yang benar. 'Amr b. Qays al-Mulā'ī, ulama salaf mengatakan, "pernah dikatakan 'berhati-hati dengan firasat orang Mukmin, kerana mereka memandang dengan nur Allah'." Athar ini diriwayatkan oleh al-'Uqaylī dengan sanad yang hasan. Diriwayatkan juga secara marfū' tetapi tidak sahih.

Imam Ibnu Taymiyyah (728 H) sendiri mempunyai firasat yang tajam. Kata muridnya, Imam Ibnu al-Qayyim, “saya telah menyaksikan perkara-perkara yang pelik daripada firasat Shaykh al-Islām Ibnu Taymiyyah rahimahullah dan yang tidak saya saksikan lebih banyak dan lebih banyak. (Mencatat) kejadian-kejadian (yang menepati) firasatnya memerlukan kitab yang tebal.”

[Gerakan PENA Malaysia]

Comments