Kepentingan Kitab-kitab Aqidah Salaf ASWJ

 OLEH: Ustaz Abid Annuriyy

Dalam sejarah Islam, muncul golongan-golongan sesat dalam bab al-Qadar yang mengingkari taqdir Allah kononnya demi mensucikan Allah dari kezaliman, lalu Ulama Salaf menulis kitab-kitab berkaiatan Qadr secara terperinci sebagai bantahan terhadap pemikiran-pemikiran sesat tersebut bagi menyelamatkan aqidah umat islam. Antara yang menulis tentang al-Qadr ialah ‘Abdullah ibn Wahb al-Misri (w197H), al-Firyabi (w301H), dan imam-imam hadith dalam kitab-kitab mereka. Kemudian diteruskan oleh Ibn Taymiyah, Ibn Qayyim, dan lain-lain ulama zaman khalaf.

Muncul juga golongan Murji’ah dari kalangan ulama dan ‘ubbad yang menghadkan makna iman kepada tasdiq qalbi atau lafaz semata-mata dan mengatakan maksiat tidak memudaratkan iman. Golongan Murjiah terpecah kepada 4 hingga 5 kelompok terbesar. Lalu ulama salaf menulis kitab al-Iman, dihuraikan di dalamnya bab iman, pertambahan dan pengurangannya, serta bab kufr dan nifaq secara terperinci. Ulama membantah fahaman irja’ tersebut dengan dalil-dalil al-Quran hadith dan kalam salaf. Ulama Salaf ijma’ bahawa iman yang sahih adalah gabungan aqidah, amalan dan lafaz lidah, bukan sekadar tasdiq hati atau lafaz. Kufr berlaku dengan perbuatan, perkataan, i’tiqad kufr atau keraguan.

Muncul golongan Rawafidh dan Khawarij. Lalu Ulama Salaf mendebat mereka dan menulis jawapan terhadap kesesatan-kesesatan mereka secara terperinci agar mereka kembali kepada aqidah islam yang sahih.

Apabila muncul golongan Jahmiyyah dan Mu’tazilah yang membantah Nama-nama dan Sifat-sifat Allah berselindung di sebalik nama “ta’wil”, ulama menulis kitab al-Tawhid, al-Sunnah, Usul al-Sunnah, al-‘Uluww, dan sebagainya. Walau telah ada kitab-kitab tafsir dan syarah kitab-kita hadith, tetapi kitab-kitab tersebut tidaklah menghuraikan bab Tawhid al-Sifat secara terperinci, berisikan mudhakarah, jidal ‘aqli naqli, dan soal jawab yang panjang lebar.

Fahaman kufr Jahmiyyah Mu’tazilah diteruskan oleh Kullabiyyah, Asha’irah dan Maturidiyyah. Ulama Sunnah juga terus berjihad menulis kitab-kitab sebagai jawapan terhadap kekeliruan dan kesesatan mereka itu.

Kitab-kitab Tawhid ini juga terkenal dengan nama kitab Radd atau kitab Rudud seperti al-Radd ‘ala al-Jahmiyyah karangan Ahmad ibn Hanbal, al-Bukhari, al-Darimi, Ibn Mandah dan ramai lagi. Ini kitab-kitab membahaskan sifat Allah secara terperinci, menggunakan istilah seperti ta’wil, ta’wil tahrifi, ta’wil tafsiri, ithbat, imrar, tafwidh al-kayfiyyah, tafwidh al-ma’na, dan lain-lain istilah yang agak sukar difahami golongan awam.

Kitab tawhid dan aqidah salaf mempunyai bab yang banyak. Secara mudah boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu;

1.kitab tawhid yang membincangkan Tawhid Asma’ wa Sifat seperti Kitab al-Tawhid oleh al-Bukhari, Kitab al-Tawhid oleh al-Imam Ibn Khuzaymah, ‘Aqidah al-Salaf wa Ashab al-Hadith oleh al-Sabuni dan lain-lain. Aqidah ini juga dinamakan ‘Aqidah Ahl al-Hadith.

2.Kitab tawhid salaf yang membincangkan tawhid uluhiyyah yang membantah syirik dalam uluhiyyah dan ibadah. Ketika muncul quburiyyah, ulama menulis kitab-kitab tawhid yang dinamakan kitab aqidah salaf.

Ulama menulis kitab Kitab al-Tawhid yang membincangkan tawhid uluhiyyah dan rububiyyah seperti kitab al-Tawhid oleh al-Imam Muhammad ibn ‘Abd al-Wahhab al-Tamimi, kitab al-Qawa’id al-Arba’, al-Usul al-Sittah. Sebelum itu Ibn Taymiyyah dan ulama lain menulis tentang tawhid uluhiyyah membantah golongan quburiyyah, batiniyyah dan rawafidh.

Pengajian Tawhid al-Sifat, Tawhid al-Uluhiyyah dan penulisan tentangnya berterusan kerana masih sangat ramai golongan yang menisbahkan diri mereka kepada Islam menganggap ta’wilan Jahmiyyah Mu’tazilah dan syirik-syirik dalam uluhiyyah sebagai aqidah ASWJ. Tawhid uluhiyyah yang membantah syirik-syirik dan bid’ah-bid’ah yang muncul dalam masyarakat.

Apabila berlakunya banyak riddah yang tidak disedar ramai dalam pelbagai aspek, ulama menulis kitab al-Riddah, Nawaqidh al-Islam, untuk menjelaskan perkara-perkara yang membatalkan aqidah islam agar umat islam berhati-hati dari ucapan, I’tiqad, perbuatan kufr akbar yang mengeluarkan seseorang dari islam.

Wajib difahami dan disedari bahwa sesiapa yang masih menganut aqidah jahmiyyah, bermakna ia masih musyrik dan masih belum mempunyai tawhid yang sahih. Sekiranya ia menghafaz semua kitab tafsir dan syarah hadith di dunia ini, semua itu sia-sia dan tidak berguna sedikit pun. Ini kerana ilmu dan amal yang banyak tidak berguna melainkan dengan adanya tawhid yang sahih.

Tidak timbul masalah ulama, asatizah atau agamawan “menolak al-Quran, meninggalkan tafsir, hanya berpada dengan kitab-kitab karangan makhluk.” Ucapan seperti ini hanya pemikiran awam, dangkal, cetek, bid’ah dan jahil yang membawa kepada kesesatan. Itu hanya anggapan golongan bodoh yang merasakan dirinya terlalu pandai sedangkan mereka hanyalah bayi yang baru bertatih mengenal agama. Bahkan ungkapan batil seperti adalah sangkaan buruk kepada ulama dan merupakan kalimah kufr yang mengeluarkan seseorang dari islam.

Tidak ada keperluan juga membanding-bandingkan antara al-Quran dengan kitab-kitab aqidah salaf seperti yang dilakukan oleh fasiq dan zindiq. Ini kerana hakikatnya kitab-kitab aqidah salaf adalah tafsiran kepada al-Quran dan al-Hadith secara lebih terperinci. Selain itu, Aqidah Islam bukan diambil dari al-Quran sahaja, bahkan juga dari hadith-hadith sahih dan ijma’-ijma’ salaf. Ilmu aqidah islam sangat luas, bukan sekadar tafsiran dangkal ‘versi sendiri’ sahaja.

Kesimpulannya, wajib mengambil aqidah dari al-Quran, hadith dan ijma’. Kitab-kitab Aqidah Salaf Ahl al-Hadith mesti dihargai dan dimuliakan serta disebarkan.



[Gerakan PENA Malaysia]


Comments