Etika Berpakaian

 OLEH: Ustaz Idris bin Sulaiman

Cara seseorang berpakaian mencerminkan peribadi.

Terdapat pakaian yang baik seperti mana terdapat pakaian yang buruk.

Ungkapan Inggeris menyebut 'First impression counts' (Tanggapan pertama sangat penting).

Kerana itu lumrah bagi manusia untuk menjaga pakaiannya apabila keluar rumah lebih-lebih lagi apabila ada urusan penting seperti temu duga kerja, majlis keramaian dan sebagainya.

Pakaian baik bukan sahaja akan mendatangkan tanggapan positif orang lain malah akan turut memberi kesan baik pada pemakainya untuk rasa ceria dan yakin.

Dalam Islam ia lebih daripada itu.

Pakaian mencerminkan isi hati.

Kerana itu terdapat pakaian yang mencerminkan keimanan dan pakaian yang menampakkan kekufuran.

Oleh yang demikian, pakaian yang baik layak dipuji manakala pakaian yang buruk layak dicela.


Hanya sahaja timbul kekeliruan apabila ada yang berkata:

"Pakaian tidak melambangkan hati seseorang..."


"Pakai jubah / tudung tidak bererti orangnya baik..."


"Jangan nilai orang ikut pakaian mereka..."


"Jangan lihat luaran kerana apa yang penting ialah hati..."


Dan sebagainya.

Ungkapan-ungkapan seperti ini sebenarnya keliru kerana hakikatnya terdapat hubungan antara zahir dan batin seseorang.


Perkara ini dijelaskan oleh Nabi ﷺ dalam sabdanya:

أَلا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَت فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلا وَهيَ القَلْبُ.

"Sesungguhnya dalam tubuh badan manusia terdapat segumpal daging. Sekiranya ia BAIK maka BAIKLAH SELURUH TUBUH BADAN itu. Dan sekiranya ia ROSAK maka ROSAKLAH SELURUH TUBUH BADAN itu. Ketahuilah bahawa ia adalah HATI JANTUNG."

Hadis sahih. Riwayat Bukhari dan Muslim.


Berbeza dengan golongan Murjiah, Ahli Sunah Wal Jemaah menegaskan bahawa iman bukan sahaja keyakinan dalam hati bahkan merangkumi kata-kata dan perbuatan.

Maka iman turut merangkumi perbuatan. Dan perbuatan merangkumi cara berpakaian.

Hadis di atas menetapkan bahawa perbuatan zahir boleh dijadikan dalil ukuran untuk apa dalam batin.

Hukum kita ke atas seseorang itu sama ada Muslim atau kafir, ahli taat atau ahli maksiat, orang baik atau jahat, ditentukan dengan melihat zahirnya.

Ini kerana batin merupakan urusan Allah dan hanya Dia mengetahui isi batin manusia. Adapun sesama manusia, kita hanya dapat menghukum seseorang itu mengikut zahir.

Memandangkan terdapat hubungan antara zahir dengan batin dan bahawasanya manusia hanya dapat menilai seseorang itu mengikut zahirnya maka syariat Islam SANGAT MENEKANKAN CARA BERPAKAIAN.

Seorang Muslim itu perlu mematuhi garis panduan cara berpakaian yang ditetapkan oleh Islam dan antaranya ialah TIDAK TASYABBUH menyerupai orang KAFIR.


Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:


مَنْ ‌تَشَبَّهَ ‌بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ.

"Barang siapa MENYERUPAI sesebuah kaum maka dia termasuk dalam kalangan mereka".

Hadis sahih. Riwayat Abu Daud.


Hadis di atas melarang perbuatan menyerupai orang kafir khususnya dalam apa yang berkait dengan hal-hal KEAGAMAAN mereka.

Ia termasuk dalam dosa besar dan sebahagiannya boleh jatuh kufur, bergantung pada keadaannya.

Justeru memakai PAKAIAN KEAGAMAAN sesebuah agama selain Islam termasuklah yang berkait dengan PERAYAAN mereka SANGAT DITEGAH oleh syariat Islam.

Justeru andaian bahawa pakaian tidak memberi apa-apa kesan pada diri pemakainya atau pada penilaian orang lain adalah naif dan jahil.


CATATAN:

Pernah nampak sami Buddha pakai kopiah? Mereka pun faham. Muslim sepatutnya lebih faham kerana syariat Islam jauh lebih sempurna.

Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan hidayah.


[Gerakan PENA Malaysia]



Comments