Masalah Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Bercakap tentang Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī, orang yang bertanggungjawab dalam isu ucapan perayaan bukan Islam, niqab, muzik, dan banyak masalah lain, saya bawakan tulisan saya pada tahun 2013 dengan beberapa suntingan dan tambahan:

"Antara tokoh sensasi dunia Islam adalah susuk tubuh seorang ulama yang lahir daripada rahim Universiti al-Azhār, Mesir, lahir pada tahun 1926 bernama Syeikh Yūsuf al-Qaraḍāwī. Beliau seorang Ikhwānī dan pemikirannya lebih kepada Ikhwān berbanding al-Azhar. Keadaan ini berpunca daripada asuhan langsung Syeikh Ḥasan al-Bannā, pengasas gerakan selain penglibatan beliau secara terus-menerus dalam gerakan Ikhwān. Malah, beliau pernah dipenjarakan kerajaan Mesir kerananya. Beliau kini menjawat jawatan mufti di Qatar dan masih aktif menyuarakan pandangan ke seluruh pelosok dunia.

Dunia Islam pada hari ini mengangkat beliau sebagai ulama dunia. Nama tokoh ilmuwan yang dinobatkan sebagai Muslim yang ke-16 berpengaruh di dunia oleh The World's Influential Muslims edisi 2012 ini semakin menyerlah apabila diangkat sebagai pengerusi International Union for Muslim Scholars. Kehebatan beliau mengemukakan idea membuatkan umat Islam terpegun. Ahli-ahli agama di Malaysia menjadikan fatwa-fatwa beliau rujukan utama pada hari ini dan mendahulukannya daripada fatwa ulama-ulama lain termasuk Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī. Hanya pendapat-pendapat beliau yang dirasakan akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat Islam tempatan mungkin disenyapkan. Itupun ditimbulkan dalam sesetengah keadaan atau secara berlapik. Antara contoh, jamak solat kerana kesibukan yang nadir dan bersalam dengan lawan jantina.

Syeikh al-Qaraḍāwī sememangnya tokoh yang pintar, tetapi metodologi beliau dalam berinteraksi dengan nusus dan warisan ulama-ulama silam terbukti tidak sah dan melampau sehingga tertuduh melakukan jenayah ilmiah dalam membenarkan ideanya. Lantaran itulah, ramai ulama dan sarjana daripada pelbagai aliran dan negara mengadakan bantahan khusus terhadap beliau. Tidak terhad kepada golongan Salafī, kelompok bukan Salafī yang terdiri daripada pelbagai aliran akidah dan fiqh pun menyerang pemikiran yang dibawanya. Tetapi, sebahagian daripada kritikan itu bersifat melampau dan tidak ilmiah membuatkan ramai pengikut beliau tidak terkesan, malah menimbulkan rasa simpati pula.

Syeikh Wahbah al-Zuḥaylī, ulama tafsir dan fiqh Syria yang terkemuka pernah mengomentari pemikiran beliau. Menurutnya: 

يوسف القرضاوي ينحاز إلى بعض الآراء المنقولة، ولكنها تحتاج إلى تحقق، فذلك محل نظر حين نجد تصادمًا مع النصوص القطعية مثل القول بأن العذاب في نار جهنم مؤقت وليس خالدًا أو دائمًا، ومثل الميل لرأي المبيحين للغناء والموسيقى ومصافحة الرجل بعض النساء مما يصادم رأي أغلبية المجتهدين...

"Yūsuf al-Qaraḍāwī condong kepada sesetengah pendapat yang dinukilkan yang masih perlu disemak. Ini adalah masalahnya apabila kita melihat (pendapat-pendapat tersebut) bertentangan dengan nas-nas yang qaṭ’ī seperti pendapat bahawa azab dalam neraka Jahanam sementara dan tidak kekal atau sentiasa berlaku dan seperti kecenderungan kepada pendapat golongan yang mengharuskan nyanyian dan muzik serta (keharusan) lelaki bersalam dengan sebahagian wanita yang bertembung dengan pendapat majoriti mujtahid..."

Kata Syeikh al-Albānī, ulama hadis yang sering dirujuk oleh ramai pengikut al-Qaraḍāwī sendiri:

القرضاوي دراسته أزهرية , وليست دراسة منهجية على الكتاب والسنَّة, وهو يفتي الناس بفتاوى تُخالف الشريعة, وله فلسفة خطيرة جداً: إذا جاء الشيء محرماً في الشرع يتخلص من التحريم بقوله: ليس هناك نص قاطع للتحريم...

“Al-Qaraḍāwī manhaj pengajiannya Azharī dan bukan pengajian yang mengikut manhaj al-Quran dan sunnah. Beliau memberi fatwa kepada orang ramai dengan fatwa yang bercanggah dengan syariat. Dia mempunyai falsafah pemikiran yang teramat bahaya. Bilamana ada sesuatu yang haram dalam syarak, beliau mengeluarkannya daripada keharaman dengan berkata, ‘tiada nas yang qaṭ‘ī mengharamkan’.”

Antara kitab-kitab yang dikhususkan untuk mengkritik pemikiran beliau ialah:

1. Al-Qaraḍāwī fī al-’Arā‘.

2. Tanbīh al-Muslimīn min Ḍalālāt Yūsuf al-Qaraḍāwī oleh Syeikh Syed Irshād Aḥmad al-Bukhārī, dari Bangladesh, seorang anti-Wahābī.

3. Raf’ al-Lithām ’an Mukhālafah al-Qaraḍāwī li-Ahl al-Islām oleh Syeikh Aḥmad bin Muḥammad bin Manṣūr al-’Adīnī, dari Yaman beraliran Salafī.

3. Al-Qaraḍāwī fī al-Mīzān oleh Syeikh Sulaymān bin Ṣāliḥ al-Kharāshī, dari Arab Saudi beraliran Salafī.

4. Manhaj al-Baḥth wa-al-Fatwā fī al-Fiqh al-Islāmī Bayna Inḍibāt al-Sābiqīn wa-Iḍṭirāb al-Mu’āṣirīn al-Sayyid Sābiq wa-al-Ustādh al-Qaraḍāwī Anmūdhajan oleh Syeikh Muṣṭafā Bashīr al-Ṭarāblisī, dari Libya, bukan Salafī.

5. Al-Radd al-Qawī ’alā Ibn al-’Arabī wa-al-Qaraḍāwī oleh Syeikh ’Abd al-Ḥayy bin Muḥammad bin al-Ṣiddīq al-Ghumārī dari Maghribi, seorang sufi.

6. Al-Radd ’alā al-Qaraḍāwī wa al-Juday’ (dua jilid) oleh Syeikh ’Abd Allāh Ramaḍān Mūsā, dari Mesir beraliran Salafī.

Selain dalam bentuk kitab, para ulama juga mengadakan bangkangan dalam bentuk makalah, fatwa, dan sebagainya. Walaupun banyak kritikan terhadap ketokohan beliau dalam ilmu-ilmu agama, agamawan Malaysia langsung tidak mengendahkannya dan terus fanatik, hatta kelompok yang mendakwa ijtihad terbuka pun semacam bertaklid buta kepada fatwa-fatwa beliau. Kritikan demi kritikan "dibakulsampahkan" kononnya kerana beliau ulama antarabangsa, ulama rujukan dunia.

Benar, Imam Ibnu Taymiyyah dan Syeikh al-Albānī juga dikritik ramai, tetapi mereka tidak diam. Mereka menjawab kritikan dan membela pendapat yang diutarakan. Selepas meninggal, murid-murid dan para pengikut pula menjadi lidah penyambung. Puji-pujian dan pengiktirafan ramai kepada Ibnu Taymiyyah dan al-Albānī tidak membuat mereka sombong untuk menjawab kritikan. Bahkan, Ibnu Taymiyyah dan al-Albānī kadang-kadang dikritik oleh pengikut mereka sendiri, jika mereka didapati tersilap. Ini demikian kerana mereka mencari kebenaran, bukan kemenangan."


[Gerakan PENA Malaysia]


Comments