Siapa Yang Mempengaruhi Syeikh Yusuf Al-Qardawi?

 OLEH: Ustaz Muhammad Izzat Al-Kutawi

Manhaj yang dipegang Syeikh al-Qaraḍāwī sebenarnya berasal usul daripada madrasah pemikiran yang diasaskan oleh Jamāl al-Dīn al-Afghānī, diteruskan oleh (Imam) Muḥammad ‘Abduh, dan diubah suai dan disempurnakan oleh Syeikh Rashīd Riḍā. Gerakan yang diberi nama Madrasah al-Manār sempena nama majalah yang diterbitkan oleh Rashīd Riḍā ini berpusat di Mesir inilah yang menjadi guru kepada Kaum Muda di Nusantara.

Seperti tokoh-tokoh kontroversi lain, status (Imam) Muḥammad ‘Abduh diperselisihkan oleh umat Islam. Ada yang mengangkatnya sebagai imam dan mujaddid, dan ada yang menuduhnya dengan tuduhan yang berat. Namun, yang penting beliau bukan seorang Salafī atau Ash‘arī, bahkan seorang yang membawa pemikiran Rasionalis atau ‘Aqlānī yang digelar sebagai Neo-Muktazilah. Beliau mentakwil banyak ḍarūriyyāt dalam akidah, antaranya mengenai Dajjāl. Katanya:


إِنَّ الدَّجَّالَ رَمْزٌ لِلْخُرَافَاتِ وَالدَّجَلِ وَالْقَبَائِحَ الَّتِي تَزُولُ بِتَقْرِيرِ الشَّرِيعَةِ عَلَى وَجْهِهَا وَالْأَخْذِ بِأَسْرَارِهَا وَحِكَمِهَا. وَإِنَّ الْقُرْآنَ أَعْظَمُ هَادٍ إِلَى هَذِهِ.

“Dajjāl adalah lambang kepada khurafat, kedustaan, dan kejelekan yang hilang dengan menegakkan syariat yang sebenar dan berpegang dengan rahsia dan hikmah-hikmahnya. Al-Quran adalah sebesar-besar petunjuk kepada perkara ini.”

Selain dalam akidah, beliau juga membawa banyak pendapat bidaah dalam fiqh dan syariat Islam. Antaranya, menolak pemakaian niqab kepada wanita Islam. Jika sebelum ini kita difahamkan bahawa idea ini disampaikan oleh Qāsim Amīn melalui satu bab dalam buku Taḥrīr al-Mar’ah, namun setelah disemak didapati bahawa ia sebenarnya ditulis oleh Muḥammad ‘Abduh. (Dan tulisan tersebut diterjemahkan ke Tanah Melayu oleh Syed Sheikh Al-Hadi melalui buku Kitab Alam Perempuan). Jadi, Muḥammad ‘Abduh adalah orang yang sebenarnya bertanggungjawab mencetuskan revolusi pakaian wanita Islam – daripada asalnya berniqab kepada berpakaian seksi ala Barat – yang berlaku pada awal kurun ke-20. 

Pada masa yang sama, pemikiran antipoligami yang dijaja oleh Ustazah Fatimah Syarha dan ramai ustaz-ustazah Malaysia hari ini sebenarnya berakar umbi daripada tokoh ini. Hal ini demikian kerana beliaulah tokoh Islam yang pertama kali mempertikaikan syariat poligami dengan mengatakan poligami pada zaman sekarang tidak lagi sesuai, bahkan menimbulkan mudarat kepada umat Islam. Katanya:

فَمَنْ تَأَمَّلَ الْآيَتَيْنِ عَلِمَ أَنَّ إِبَاحَةَ تَعَدُّدِ الزَّوْجَاتِ فِي الْإِسْلَامِ أَمْرٌ مُضَيَّقٌ فِيهِ أَشَدَّ التَّضْيِيقِ كَأَنَّهُ ضَرُورَةٌ مِنَ الضَّرُورَاتِ الَّتِي تُبَاحُ لِمُحْتَاجِهَا بِشَرْطِ الثِّقَةِ بِإِقَامَةِ الْعَدْلِ، وَالْأَمْنِ مِنَ الْجَوْرِ. وَإِذَا تَأَمَّلَ الْمُتَأَمِّلُ مَعَ هَذَا التَّضْيِيقِ مَا يَتَرَتَّبُ عَلَى التَّعَدُّدِ فِي هَذَا الزَّمَانِ مِنَ الْمَفَاسِدِ جَزَمَ بِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ لِأَحَدٍ أَنْ يُرَبِّيَ أُمَّةً فَشَا فِيهَا تَعَدُّدُ الزَّوْجَاتِ، فَإِنَّ الْبَيْتَ الَّذِي فِيهِ زَوْجَتَانِ لِزَوْجٍ وَاحِدٍ لَا تَسْتَقِيمُ لَهُ حَالٌ... ثُمَّ يَجِيءُ الْأَوْلَادُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ، فَمَفْسَدَةُ تَعَدُّدِ الزَّوْجَاتِ تَنْتَقِلُ مِنَ الْأَفْرَادِ إِلَى الْبُيُوتِ، وَمِنَ الْبُيُوتِ إِلَى الْأُمَّةِ.

“Sesiapa yang memperhatikan dua ayat ini (ayat 6 dan 129 surah al-Nisā’) akan tahu bahawa keharusan poligami dalam Islam sangat-sangat diperketatkan seperti satu perkara darurat yang diharuskan kepada orang yang memerlukannya dengan syarat dipercayai, berlaku adil, dan bebas daripada kezaliman. Bilamana seseorang memerhatikan kerosakan-kerosakan yang dibawa oleh poligami, bersama pengetatan ini, pada zaman sekarang, yakilah bahawa tidak mungkin seorang individu boleh mendidik ummah yang diamalkan poligami secara meluas, kerana rumah yang ada dua isteri untuk seorang suami tidak terurus... kemudian, anak-anak saling menjadi musuh. Maka, kerosakan poligami berpindah daripada individu kepada rumah, dan daripada rumah kepada ummah.”


Dalam sebuah fatwa yang dinisbahkan kepada Muḥammad ‘Abduh disebut:

يجوز للحاكم رعاية للمصلحة العامة أن يمنع تعدد الزوجات بشرط او بدون شرط حسب ما يراه موافقا لمصلحة الأمة.

“Harus bagi pemerintah demi menjaga maslahat umum untuk menghalang poligami dengan syarat atau tanpa syarat mengikut yang dirasakan sesuai dengan maslahat ummah.”

Ibnu Sīrīn mengatakan, “ilmu ini agama, maka lihatlah daripada siapa kamu ambil agama kamu.” 

Wallahualam.


[Gerakan PENA Malaysia]




Comments