Takut Kubur, Keramat, Tempat Keras, Tok Nenek Cucu Tumpang Lalu..

 OLEH: Abu Aqif

Takut kubur, takut kubur keramat, tempat ni 'keras', kalau niat tak baik kena balasan, seolah-olah kubur-kubur atau kawasan-kawasan tertentu mempunyai kuasa sakti yang boleh memudaratkan seseorang. Tambah-tambah lagi pelbagai filem yang direka seakan menjadikan kepercayaan itu seolah-olah betul.

Takut seperti ini dinamakan sebagai Khaufus Sirr.

Khaufus Sirr adalah rasa takut yang dialami seorang hamba terhadap selain Allah bahawa makhluk tersebut, dengan kuasa dan kehendaknya, dapat menyebabkan bahaya pada si hamba itu walaupun tanpa interaksi. [Taisiirul ‘Aziz, 1/23].

Syaikh Shalih Fauzan menjelaskan, "Khaufus sirr adalah takut terhadap selain Allah dan meyakini mereka mampu menimpakan sesuatu yang tidak disukainya. Baik takut terhadap berhala, thoghut, orang mati, makhluk ghaib berupa jin atau manusia yang tidak ada di hadapannya. [Al Irsyad Ilaa Shahihil I'tiqaad, 1/74].

Khaufus sirr merupakan ibadah yang hanya boleh ditujukan kepada Allah sahaja. Syaikh Ibnu Baaz berkata;

"Khaufus sirr hanya dikhususkan kepada Allah semata kerana sesungguhnya kepada-Nya-lah manusia patut (takut, -pent) kerana Allah-lah yang memiliki kuasa menimpakan sesuatu secara sirr (rahsia, -pent) tanpa boleh dirasa oleh pancaindera." [Syarh Tsalatsatil Ushul, 1/51].

Syaikh Sulaiman At Tamimi berkata, "khauf jenis ini dalam realitinya dialami oleh para penyembah kubur. Mereka takut kepada orang-orang soleh (yang sudah mati) atau bahkan kepada para thaghut sebagaimana takutnya mereka kepada Allah." [Taisiirul ‘Aziz, 1/417].

Sebagaimana yang diyakini sebahagian orang, mereka takut penghuni kubur 'marah' sehingga memberikan pelbagai sajian, atau kerana takutnya bila melewati kubur mereka membongkok sambil meminta izin.

Oleh kerana itu, jika seseorang takut melewati kawasan kuburan dengan disertai keyakinan bahawa mayat-mayat di dalam kubur atau jin-jin yang ada di sana dapat menyebabkan keburukan (padahal Allah yang mentakdirkan keburukan pada makhluknya), maka yang demikian tidak dibolehkan kerana dikhuatiri terjerumus dalam SYIRIK AKBAR iaitu SYIRIK BESAR yang mana membuatkan seseorang itu terkeluar dari Islam. 

Sepatutnya kubur itu membuatkan seseorang menjadi insaf, ingat tentang kematian yang bakal menimpanya, meningkatkan iman dan amalannya. Bahkan menziarahi kubur itu adalah sunnah Nabi yang mulia.


Nabi ﷺ bersabda;


زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ

"Berziarahlah ke kuburan, kerana iadapat mengingatkan engkau akan kematian." [HR. Muslim no.108, 2/671].


dalam riwayat lain menyatkan;


زوروا القبور ؛ فإنها تذكركم الآخرة

"Berziarahlah ke kuburan, kerana ia dapat mengingatkanmu akan akhirat." [HR. Ibnu Maajah no.1569].


Namun janganlah mencari kubur-kubur tertentu sehingga terpaksa bermusafir kerana Agama melarang perkara itu.


Rasulullah ﷺ bersabda;


وَلاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ، مَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَسْجِدِ الْأَقْصَى وَمَسْجِدِي

"Dan tidak boleh 'syaddur rihal' kecuali tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjid Al-Aqsha, dan masjidku." [HR. Al-Bukhari no. 1132 dan Muslim No. 1397].


Ibnu Jarir Ath-Thabari رحمه الله‎‎ berkata;

"Demikian juga, tidak boleh syaddur rihal kepada kuburan nabi, wali, atau semisal dengannya, kerana hal itu merupakan sarana (wasilah) menuju kesyirikan, sementara wasilah itu hukumnya sama seperti hukum tujuannya. Oleh kerana itu, kita menemukan Rasulullah ﷺ telah mengharamkan hal itu. Beliau bersabda;

"Dan jangan ada syaddur rihal melainkan kepada tiga masjid iaitu Masjidil Haram, masjidku ini, dan Masjid Al-Aqsha."

Ini maknanya bahawa safar tidak boleh dilakukan demi kuburan orang soleh, kuburan wali, atau selainnya... [Rujuk Tawassul Al-Masyru' wal Mamnu', 1/14].


Boleh ziarah kubur di kawasan masing-masing. Tidak perlulah mencari-cari kubur tertentu. Kubur tidak boleh memberi apa-apa manfaat kepada yang hidup melainkan mendatangkan rasa insaf. Allahua'lam.


Kredit: muslim.or.id / asysyariah.com

[Gerakan PENA Malaysia]


Comments